CPR, AED pastikan kita bersukan dengan yakin dan selamat

Tiada pemeriksaan kesihatan yang mampu menghapuskan semua risiko kerana ada keadaan yang berlaku secara tiba-tiba walaupun seseorang kelihatan sihat, cergas dan aktif.

Feature Image (1)

Oleh: DR. MOHD HAFYZUDDIN MD YUSUF dan DR. AHMAD HAZWAN AHMAD SHUSHAMI

DALAM tempoh hanya 45 hari, Malaysia dikejutkan dengan empat tragedi membabitkan pemain ragbi dan pelajar yang meninggal dunia. Bermula dengan Allahyarham Mohamad Khairul Abdillah Ramli pada 10 Mei, diikuti Muhammad Adam Putra Syahril pada 23 Mei, Muhammad Azlan Azhari pada 25 Mei, dan yang terbaru seorang pelajar Tingkatan Dua dari SMK Telok Mas, Melaka yang rebah selepas latihan ragbi pada 24 Jun 2026.

Empat tragedi dalam tempoh yang begitu singkat bukan sekadar angka. Ia adalah empat keluarga yang kehilangan insan tersayang, empat komuniti yang berduka dan satu peringatan bahawa keselamatan sukan memerlukan perhatian yang lebih serius. Walaupun setiap kejadian mempunyai latar belakang dan punca yang mungkin berbeza serta ada yang masih dalam siasatan pihak berkuasa, rentetan tragedi ini menuntut semua pihak melihat semula sejauh mana kita benar-benar bersedia menghadapi kecemasan di padang.

Kejadian-kejadian ini tidak seharusnya menjadikan masyarakat takut untuk bersukan. Sebaliknya, ia perlu menjadi pemangkin untuk membina budaya sukan yang lebih selamat. Aktiviti fizikal tetap penting untuk kesihatan, tetapi keselamatan perlu menjadi sebahagian daripada setiap latihan, pertandingan dan program komuniti.

Sehubungan dengan itu, kenyataan media Malaysian Association of Sports Medicine (MASM) pada 26 Jun 2026 hadir tepat pada masanya. MASM menggesa supaya Pre-Participation Evaluation (PPE) atau penilaian kesihatan sebelum penyertaan sukan diperkasakan bagi membantu mengenal pasti atlet yang mungkin mempunyai risiko tertentu sebelum menyertai latihan atau pertandingan.

PPE merupakan langkah penting dalam usaha pencegahan. Melalui pemeriksaan kesihatan yang sistematik, sebahagian masalah kesihatan dapat dikenal pasti lebih awal. Namun begitu, tiada pemeriksaan kesihatan yang mampu menghapuskan semua risiko. Ada keadaan yang berlaku secara tiba-tiba walaupun seseorang kelihatan sihat, cergas dan aktif.

Di sinilah pentingnya Emergency Action Plan (EAP), latihan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) dan penyediaan Automated External Defibrillator (AED). Jika PPE ialah benteng pertama sebelum tragedi berlaku, maka CPR dan AED ialah peluang terakhir untuk menyelamatkan nyawa apabila kecemasan benar-benar terjadi.

Setiap minit amat bernilai apabila seseorang rebah akibat serangan jantung atau mengalami henti jantung mengejut. Tanpa CPR, peluang mangsa untuk terus hidup menurun sekitar 7 hingga 10 peratus bagi setiap minit yang berlalu. Sebaliknya, CPR yang dimulakan segera oleh orang awam mampu mengekalkan aliran darah ke otak dan jantung sehingga pasukan perubatan tiba.

Begitu juga dengan AED. Ramai masih menganggap alat ini hanya boleh digunakan oleh doktor atau paramedik. Hakikatnya, AED direka khas supaya orang awam boleh menggunakannya dengan mudah melalui arahan suara automatik. Alat ini akan menganalisis ritma jantung dan hanya memberikan renjatan elektrik sekiranya diperlukan. Dalam banyak keadaan, penggunaan CPR bersama AED dalam beberapa minit pertama mampu meningkatkan peluang kelangsungan hidup dengan ketara.

Masyarakat juga perlu mengubah persepsi bahawa kecemasan jantung hanya berlaku kepada warga emas atau individu yang mempunyai penyakit kronik. Hakikatnya, kecemasan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk pemain ragbi, pelari maraton, pemain futsal hujung minggu, penunggang basikal, peserta larian amal, pendaki bukit, pemain badminton, mahupun individu yang hanya sekali-sekala bersukan.

Oleh sebab itu, setiap sekolah, universiti, kelab sukan, stadium, padang latihan, dewan sukan, pusat rekreasi dan lokasi penganjuran acara sukan perlu bertanya tiga soalan asas. Adakah terdapat pelan tindakan kecemasan? Adakah individu di lokasi tersebut tahu melakukan CPR? Dan adakah AED mudah dicapai apabila diperlukan?

Kenyataan MASM turut menekankan keperluan mewujudkan Emergency Action Plan, latihan CPR, ketersediaan AED serta kesiapsiagaan pasukan perubatan di lokasi sukan. Ini bukan lagi kemewahan atau pilihan tambahan. Ia sepatutnya menjadi piawaian minimum bagi setiap penganjuran aktiviti sukan.

Dalam konteks ini, usaha Program Walking Football Universiti Malaya melalui UMCares wajar diberikan perhatian. Walking football bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan dewasa dan warga emas, malah program ini turut memasukkan latihan CPR sebagai sebahagian daripada aktivitinya. Peserta bukan sahaja belajar bergerak untuk menjaga kesihatan diri, tetapi turut mempelajari kemahiran menyelamatkan nyawa orang lain.

Pendekatan sebegini perlu diperluaskan kepada semua program komuniti. Sama ada larian amal, pertandingan sekolah, kejohanan universiti, liga futsal, acara berbasikal, aktiviti mendaki bukit mahupun senamrobik komuniti, latihan asas CPR dan kesedaran mengenai AED perlu menjadi komponen tetap. Tidak semestinya kursus yang panjang; latihan ringkas tetapi berkualiti sudah mampu memberi keyakinan kepada orang awam untuk bertindak apabila berlaku kecemasan.

Selari dengan aspirasi tersebut, Inisiatif MyResQ UMCares, yang disokong oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sedang memperkukuhkan kesiapsiagaan masyarakat melalui latihan CPR, kesedaran penggunaan AED, kesiapsiagaan bencana dan tindakan kecemasan komuniti.

MyResQ membawa mesej yang mudah tetapi sangat penting: menyelamatkan nyawa bukan hanya tanggungjawab hospital atau anggota kesihatan. Ia adalah tanggungjawab seluruh masyarakat. Apabila lebih ramai rakyat Malaysia mengetahui cara mengenal pasti mangsa yang rebah, menghubungi talian kecemasan, memulakan CPR dan menggunakan AED, lebih ramai nyawa berpotensi diselamatkan sebelum ambulans tiba.

Malaysia memerlukan perubahan budaya. Budaya masyarakat yang tidak hanya menjadi pemerhati atau merakam video ketika kecemasan berlaku, tetapi berani bertindak dengan ilmu yang betul. CPR bukan sekadar teknik menekan dada, ia adalah lambang keprihatinan dan tanggungjawab sosial. AED pula bukan sekadar peralatan yang tergantung di dinding bangunan, tetapi simbol kesiapsiagaan sesebuah komuniti.

Kita mungkin tidak mampu menghalang semua kecemasan daripada berlaku. Namun kita mampu memastikan bahawa apabila kecemasan berlaku, akan ada seseorang di tempat kejadian yang tahu apa yang perlu dilakukan. Dalam detik yang menentukan antara hidup dan mati, tangan orang awam yang melakukan CPR mungkin menjadi jambatan yang menghubungkan mangsa kepada peluang kedua untuk terus hidup.

Empat tragedi dalam tempoh 45 hari ini harus menjadi titik perubahan kepada sistem keselamatan sukan negara. Setiap kehilangan perlu diterjemahkan kepada tindakan yang lebih baik, bukannya sekadar ucapan takziah. Sekolah perlu melatih guru dan pelajar. Universiti perlu melatih kakitangan dan mahasiswa. Kelab sukan perlu melatih jurulatih serta pengurus pasukan. Masjid, komuniti dan pihak berkuasa tempatan pula perlu memperluaskan latihan CPR serta memastikan AED tersedia di lokasi strategik.

Akhirnya, matlamat kita bukan untuk menghapuskan sukan daripada kehidupan masyarakat, tetapi memastikan rakyat Malaysia dapat terus bersukan dengan yakin, aktif dan selamat. Tragedi mungkin tidak dapat dielakkan sepenuhnya, tetapi dengan sistem yang lebih baik, latihan CPR yang meluas, AED yang mudah dicapai dan komuniti yang bersedia bertindak, lebih banyak nyawa dapat diselamatkan.

* Dr. Mohd Hafyzuddin Md Yusuf merupakan seorang Pakar Perubatan Kecemasan di Jabatan Perubatan Kecemasan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya dan Dr. Ahmad Hazwan Ahmad Shushami seorang Pakar Perubatan Sukan di Universiti Malaya.