Industri Vape Rayu Campur Tangan PM Tangani Ketidakpastian Pelaksanaan Akta 852 dan Akta Racun
KUALA LUMPUR, 17 Jun 2026 – Pemain industri vape Malaysia menggesa campur tangan segera Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menangani ketidakpastian undang-undang dan pentadbiran yang timbul susulan keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan pengecualian nikotin daripada Senarai Racun pada Mei lalu.
Gesaan itu dibuat menerusi memorandum yang diserahkan kepada Perdana Menteri semalam oleh gabungan lima pertubuhan industri, iaitu Malaysia E-Vaporizers and Tobacco Alternative Association (MEVTA), Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA), Persatuan Peniaga Vape Melayu (PPVM), Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) dan Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM).
Dalam memorandum tersebut, pihak industri menyatakan kebimbangan terhadap ketidakjelasan hubungan antara Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dan Akta Racun 1952 (Akta 366), yang menurut mereka telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pemain industri walaupun Akta 852 masih berkuat kuasa.
Menurut memorandum itu, antara isu yang dibangkitkan termasuk laporan bahawa proses pendaftaran produk vape telah ditangguhkan atau dibekukan tanpa penjelasan rasmi mengenai asas undang-undang tindakan tersebut, selain ketiadaan garis panduan yang jelas sepanjang proses rayuan mahkamah berlangsung.
Pihak industri menegaskan bahawa mereka telah mematuhi pelbagai keperluan kawal selia yang ditetapkan kerajaan, termasuk pendaftaran produk, pelabelan mandatori, ujian makmal, pensijilan teknikal dan pembayaran cukai eksais.
Malah, memorandum itu memaklumkan bahawa kira-kira 2,000 produk telah didaftarkan di bawah rangka kerja kawal selia sedia ada dengan anggaran kutipan fi kerajaan sekitar RM10 juta, tidak termasuk kos pematuhan lain yang ditanggung oleh syarikat-syarikat terlibat.
“Pelaburan industri dibuat berdasarkan dasar dan kerangka kawal selia yang diperkenalkan kerajaan. Sebarang ketidakkonsistenan dalam pelaksanaan dasar boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta kestabilan perniagaan,” menurut memorandum tersebut.
Selain menekankan kepentingan prinsip kepastian undang-undang, konsistensi pentadbiran awam dan kedaulatan undang-undang, memorandum itu turut menyatakan bahawa ketidakpastian berpanjangan boleh memberi kesan kepada peluang pekerjaan, aktiviti pengilangan tempatan, rantaian bekalan serta hasil cukai kerajaan.
Sehubungan itu, pihak industri menggesa kerajaan memberikan penjelasan rasmi mengenai status produk vape bernikotin yang telah didaftarkan dan yang masih dalam proses pendaftaran, selain menjelaskan kedudukan perundangan antara Akta 852 dan Akta Racun 1952.
Mereka turut memohon supaya semua tindakan pentadbiran berkaitan industri vape dilaksanakan berdasarkan asas undang-undang yang jelas serta mengambil kira kepentingan syarikat yang telah mematuhi semua keperluan kawal selia yang ditetapkan kerajaan.
“Isu ini bukan hanya melibatkan industri vape, tetapi turut menyentuh integriti pentadbiran, keyakinan pelabur dan kredibiliti sistem perundangan negara,” menurut memorandum itu.
Pihak industri berharap Akta 852 dapat dilaksanakan secara konsisten, telus dan selaras dengan tujuan asal penggubalannya oleh Parlimen.
