PMKL cipta sejarah miliki plot pemuliharaan marin kekal di Pulau Redang
Blue Legacy 2026: GAS PETRONAS Eastern Region & PMKL Engineered Reef Initiative berlangsung dari 11 hingga 15 Jun di Pulau Redang, Terengganu.
KUALA LUMPUR, 17 Jun 2026 – Politeknik METrO Kuala Lumpur (PMKL) mencipta sejarah apabila menjadi institusi pertama dalam sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) yang memperoleh kelulusan Jabatan Perikanan Malaysia bagi pemasangan tukun tiruan serta memiliki plot pemuliharaan marin kekal di Pantai Mak Simpan, Pulau Redang baru-baru ini.
Plot yang dinamakan “GAS PETRONAS Eastern Region X PMKL Coral Garden” itu akan berfungsi sebagai tapak pemantauan biodiversiti marin, penyelidikan, pendidikan serta pembelajaran berterusan dalam menyokong agenda kelestarian negara.
Pencapaian itu direalisasikan menerusi pelaksanaan program Blue Legacy 2026: GAS PETRONAS Eastern Region & PMKL Engineered Reef Initiative yang berlangsung dari 11 hingga 15 Jun di Pulau Redang, Terengganu hasil kerjasama strategik antara PMKL dan GAS PETRONAS Eastern Region.
Program bertemakan “Restoring Reefs, Empowering Future Generations” itu merupakan inisiatif pemuliharaan marin yang menggabungkan elemen Environmental, Social and Governance (ESG), pendidikan TVET, pembangunan komuniti serta konservasi biodiversiti marin.
Inisiatif tersebut melibatkan pemasangan satu unit Signature Reef GAS PETRONAS Eastern Region dan 15 unit Castle Reef bagi menyediakan habitat baharu kepada hidupan marin, menyokong pemulihan biodiversiti laut, mengurangkan tekanan terhadap terumbu semula jadi serta menjadi tapak pemantauan biodiversiti marin jangka panjang.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Pengarah Politeknik METrO Kuala Lumpur, Ts. Roseman Mat Jidin @ Jidin, yang mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah pada 14 Jun di Delima Resort, Pulau Redang.
Dalam ucapan yang disampaikan, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti menegaskan bahawa program berkenaan membuktikan peranan besar TVET dalam menyokong agenda pembangunan mampan negara.
Beliau turut menyifatkan Blue Legacy 2026 sebagai contoh kolaborasi strategik antara pendidikan, industri dan komuniti dalam menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada alam sekitar serta masyarakat.
Menurut beliau, program seperti Blue Legacy 2026 memberi nilai tambah kepada pelajar melalui pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar apabila mereka bukan sahaja terlibat dalam aktiviti lapangan, malah berpeluang membangunkan kemahiran insaniah, kepimpinan, kerja berpasukan, komunikasi, penyelesaian masalah serta kesedaran terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar.
Sementara itu, Pengurus Jabatan Jualan LPG Wilayah Timur, Mohd Shahrir Mohd Fathil berkata Blue Legacy 2026 mencerminkan kekuatan kerjasama antara industri, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan komuniti dalam meninggalkan legasi yang memberi manfaat jangka panjang kepada manusia dan alam sekitar.
“Kejayaan sebenar adalah apabila pertumbuhan ekonomi dapat bergerak seiring dengan pembangunan masyarakat dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata program itu dibangunkan selaras dengan aspirasi PETRONAS Social Impact Management Framework melalui tiga teras utama iaitu Planting Tomorrow, Powering Knowledge dan Uplifting Lives.
Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja menyokong pemuliharaan biodiversiti marin, malah memberi peluang kepada pelajar PMKL untuk terlibat secara langsung dalam projek dunia sebenar yang menggabungkan elemen kejuruteraan, kelestarian dan inovasi.
Melalui pelaksanaan program itu, ratusan peserta dan penerima manfaat secara langsung serta ribuan penerima manfaat secara tidak langsung dijangka menerima impak positif melalui peningkatan kesedaran terhadap pemuliharaan marin, pembangunan modal insan, pengukuhan jaringan komuniti serta sokongan kepada agenda kelestarian alam sekitar negara.
Selain pemasangan tukun tiruan, program tersebut turut melibatkan aktiviti pembelajaran berasaskan lapangan seperti Kursus Open Water Scuba Diving, Kursus Asas Snorkeling, Kursus Discovery Scuba Diving dan ESG Marine Initiative.
Aktiviti berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai keselamatan laut, penyelaman, dokumentasi impak ESG serta kesedaran terhadap kepentingan memelihara ekosistem marin.
Pengarah Program Blue Legacy 2026, Rizuan Zainal berkata program itu membawa mesej pemuliharaan yang besar kepada komuniti, industri dan generasi muda.
“Blue Legacy 2026 merupakan satu legasi pemuliharaan marin yang menghubungkan pendidikan, industri dan komuniti dalam usaha memelihara khazanah laut negara demi generasi akan datang,” katanya.
Program itu turut mendapat sokongan strategik daripada Jabatan Perikanan Malaysia, Pondok Rahmat Project dan Alumni PMKL.
Kerjasama pelbagai pihak itu memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan, industri, agensi kerajaan dan komuniti dalam menjayakan agenda kelestarian marin negara.
Blue Legacy 2026 diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak projek pemuliharaan marin yang melibatkan institusi pendidikan, industri dan komuniti, sekali gus membuktikan bahawa pendekatan TVET mampu memberi kesan langsung kepada pembelajaran pelajar, pembangunan komuniti serta usaha pemuliharaan biodiversiti marin negara.
