Ubat yang dibuang bukan sekadar pembaziran

Ada yang disimpan bertahun-tahun di dalam laci, ada yang tamat tempoh tanpa disentuh, malah ada yang dibuang begitu sahaja.

Feature Image

Oleh: DR SITI HAWA NGALIM

SETIAP kali doktor menyerahkan preskripsi, harapan turut diberikan kepada pesakit. Harapan untuk sembuh, mengurangkan kesakitan atau sekurang-kurangnya menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Namun, berapa ramai antara kita yang benar-benar menghabiskan ubat seperti yang diarahkan?

Realitinya, banyak ubat berakhir di tempat yang tidak sepatutnya. Ada yang disimpan bertahun-tahun di dalam laci, ada yang tamat tempoh tanpa disentuh, malah ada yang dibuang begitu sahaja. Apa yang kelihatan seperti perkara kecil sebenarnya membawa implikasi besar kepada pesakit, sistem kesihatan dan alam sekitar.

Inilah mesej yang cuba disampaikan melalui instalasi seni “Sayangnya”, sebuah karya ArtScience yang dipamerkan di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia. Berbeza daripada pameran seni biasa, karya ini menggunakan ratusan lepuh (blister pack) ubat, kotak ubat dan bahan farmasi terpakai untuk mengajak pengunjung merenung semula nilai sebenar setiap ubat yang diterima.

Dari hadapan, pengunjung melihat susuk tubuh manusia yang dihiasi warna-warni ubat, seolah-olah melambangkan harapan dan ikhtiar untuk sembuh. Namun apabila melangkah ke bahagian belakang, suasananya berubah sama sekali. Longgokan lepuh ubat kosong, kotak ubat yang tidak digunakan dan rongga berbentuk hati menjadi simbol kepada sesuatu yang lebih mendalam daripada sekadar pembaziran.

Persoalannya, apakah sebenarnya yang sedang dibazirkan?

Ramai menganggap ubat yang tidak dihabiskan hanyalah kerugian dari segi kewangan. Hakikatnya, setiap ubat yang dipreskripsikan membawa tiga pelaburan yang sering tidak disedari, iaitu harapan pesakit, usaha petugas kesihatan dan wang rakyat yang membiayai sistem kesihatan negara.

Malaysia bertuah kerana memiliki sistem penjagaan kesihatan awam yang menyediakan ubat pada kos yang sangat rendah kepada rakyat. Namun setiap ubat yang tidak digunakan bermakna sumber yang boleh dimanfaatkan oleh pesakit lain turut hilang begitu sahaja. Lebih membimbangkan, ubat yang dibuang secara tidak betul boleh mencemarkan tanah dan sumber air serta memberi kesan kepada ekosistem.

Walau bagaimanapun, isu ini tidak wajar dilihat dengan menyalahkan pesakit semata-mata.

Ada pesakit yang berhenti mengambil ubat kerana mengalami kesan sampingan. Ada yang terlupa akibat rutin harian yang sibuk. Ada pula yang menghentikan rawatan apabila merasakan diri sudah sihat. Sebahagian pesakit kronik pula berdepan tekanan emosi, kemurungan atau keletihan mengambil ubat untuk tempoh yang panjang.

Ini menunjukkan bahawa pematuhan rawatan ialah isu yang kompleks dan memerlukan empati, bukannya hukuman.

Di sinilah seni memainkan peranan yang unik.

Tidak semua orang akan membaca artikel saintifik atau memahami statistik kesihatan. Namun seni mampu menyampaikan mesej yang sama melalui pengalaman visual dan emosi. Apabila seseorang berdiri di hadapan karya “Sayangnya”, mereka bukan sekadar melihat susunan lepuh ubat. Mereka melihat kisah seorang pesakit, pengorbanan petugas kesihatan dan amanah masyarakat yang diletakkan pada sistem kesihatan negara.

Inilah kekuatan komunikasi sains melalui seni. Fakta yang sukar difahami diterjemahkan menjadi pengalaman yang mampu menyentuh hati.

Lebih membanggakan, karya ini lahir daripada kolaborasi antara penyelidik bioperubatan, ahli farmasi, pengamal klinikal, pensyarah seni dan pelajar daripada pelbagai disiplin. Dalam tempoh hanya dua minggu setengah, mereka berjaya membuktikan bahawa penyelesaian kepada cabaran kesihatan awam tidak semestinya lahir daripada makmal semata-mata, tetapi juga melalui kreativiti dan kerjasama rentas bidang.

Pendekatan seperti ini wajar diperluaskan. Universiti bukan sahaja menjadi pusat penyelidikan dan penerbitan ilmiah, malah perlu berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan ilmu dengan masyarakat. Penyelidikan yang baik tidak seharusnya berhenti dalam jurnal akademik, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada bahasa yang mampu difahami dan dihayati oleh orang ramai.

Akhirnya, mesej “Sayangnya” jauh lebih besar daripada kisah ubat yang tidak dihabiskan. Ia mengingatkan kita bahawa setiap pil yang diterima bukan sekadar produk farmaseutikal. Di dalamnya terkandung harapan untuk hidup lebih lama, usaha petugas kesihatan yang merawat tanpa mengenal penat serta kepercayaan rakyat terhadap sistem kesihatan negara.

Sebelum kita membuang ubat yang masih berbaki, mungkin wajar kita bertanya kepada diri sendiri: yang sebenarnya kita buang itu ubat atau peluang untuk menghargai sebuah amanah yang telah diberikan?

Barangkali di situlah letaknya makna sebenar “Sayangnya”.

* Penulis merupakan seorang Pensyarah Kanan di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia.