Penerimaan adalah permulaan perubahan

Faktanya, semakin banyak kita memendam luka-luka emosi, semakin banyak badan kita menyimpan memori kesakitan dan semakin banyak juga kita tersiksa.

Feature Image (4)

Oleh: NURHIDAYAH JOHARI

DALAM dunia yang bergerak terlalu pantas, kita sering kali sibuk mengejar dan memenuhi tuntutan kehidupan harian. Kemajuan sering kali menghambat kita untuk terus bergerak ke hadapan tanpa memberi sedikit ruang untuk kita merefleksi tentang diri kita sendiri dan memahami ‘luka-luka’ yang mungkin pernah tercipta.

Dari satu tugasan, beralih ke satu tugasan. Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Keadaan ini terus-terusan berlaku sehinggalah satu hari, ‘luka emosi’ yang dahulu disembunyi, akhirnya kembali terzahir tanpa diduga.

Ramai di antara kita yang menyangka bahawa memendam segala ‘luka-luka emosi’ adalah satu-satunya cara untuk membaikkan diri. Namun, perkara itu tidak berlaku. Faktanya, semakin banyak kita memendam luka-luka emosi, semakin banyak badan kita menyimpan memori kesakitan dan semakin banyak juga kita tersiksa.

Kajian yang dijalankan oleh Pennebaker dan Susman (1988) dan Pennebaker (1997) menunjukkan bahawa individu yang sentiasa memendam emosi dan pengalaman traumatik cenderung mengalami tekanan fisiologi yang berpanjangan, sekali gus meningkatkan risiko masalah kesihatan fizikal dan psikologi.

Oleh itu, persoalannya bukanlah bagaimana untuk melupakan kesakitan tetapi bagaimana untuk menerima bahawa pengalaman tersebut pernah berlaku. Ramai individu beranggapan bahawa penerimaan terhadap pengalaman pahit bermaksud menyerah kalah atau melupakan apa yang telah berlaku. Hakikatnya, dalam perspektif psikologi, acceptance atau penerimaan bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya merupakan titik permulaan kepada proses penyembuhan dan perubahan diri.

Penerimaan ialah kesediaan individu untuk mengakui bahawa sesuatu pengalaman telah berlaku, menerima emosi yang hadir tanpa menafikannya, dan seterusnya memilih untuk bergerak ke hadapan dengan lebih bermakna. Selagi seseorang terus menafikan atau melawan realiti yang berlaku, tenaga emosi akan terus digunakan untuk mempertahankan diri daripada kesakitan tersebut, sekali gus menghalang proses pemulihan.

Seseorang yang pernah mengalami trauma tidak dapat mengubah apa yang telah berlaku pada masa lalu, namun individu tersebut masih mempunyai pilihan untuk menentukan bagaimana pengalaman tersebut akan mempengaruhi kehidupannya pada masa hadapan. Apabila seseorang menerima bahawa pengalaman traumatik merupakan sebahagian daripada sejarah hidupnya, dia akan lebih bersedia memahami kesan trauma tersebut, mengenal pasti keperluan dirinya serta mencari bantuan dan sokongan yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan dengan lebih sihat dan bermakna.

Persoalannya, bagaimanakah seseorang boleh belajar menerima luka-luka emosi? Langkah pertama ialah mengakui kewujudan emosi tersebut. Tidak mengapa untuk berasa sedih, marah, kecewa atau takut. Emosi bukanlah musuh yang perlu dihapuskan, tetapi isyarat yang menunjukkan bahawa terdapat sesuatu dalam diri yang memerlukan perhatian. Apabila emosi diterima tanpa dihukum, individu akan lebih mudah memahami punca sebenar kesakitannya.

Langkah kedua ialah berhenti menyalahkan diri sendiri. Ramai individu yang pernah mengalami luka emosi cenderung mempersoalkan diri dengan kata-kata seperti, “Kalaulah aku lebih berhati-hati,” atau “Semuanya berlaku kerana aku.” Pemikiran seperti ini hanya menambahkan penderitaan. Sebaliknya, belajar melihat pengalaman tersebut dengan belas kasihan terhadap diri sendiri (self-compassion) akan membantu proses penyembuhan berlaku dengan lebih sihat.

Langkah ketiga ialah meluahkan emosi melalui cara yang selamat dan sihat. Menulis jurnal, berkongsi dengan individu yang dipercayai, berdoa, melakukan aktiviti seni atau mendapatkan bantuan kaunselor merupakan antara medium yang dapat membantu seseorang memproses pengalaman emosinya. Meluahkan perasaan bukan bererti lemah, sebaliknya merupakan tanda keberanian untuk berhadapan dengan kesakitan yang selama ini dipendam.

Langkah keempat ialah membina sokongan sosial yang positif. Kehadiran ahli keluarga, rakan, pasangan atau individu yang mampu mendengar tanpa menghakimi boleh menjadi sumber kekuatan yang sangat besar. Seseorang tidak perlu melalui proses penyembuhan seorang diri kerana hubungan yang sihat mampu mengurangkan rasa keseorangan dan meningkatkan harapan untuk pemulihan.

Langkah kelima ialah memberi masa kepada diri sendiri. Penyembuhan emosi bukanlah satu perkara yang boleh dicapai dalam masa sehari. Ada hari seseorang berasa kuat, dan ada hari luka lama kembali terasa. Semua itu merupakan sebahagian daripada proses pemulihan. Yang penting ialah individu terus melangkah walaupun perlahan, kerana setiap langkah kecil tetap membawa dirinya lebih dekat kepada kehidupan yang lebih sejahtera.

Malah, pelbagai kajian menunjukkan bahawa individu yang berjaya menerima pengalaman traumatik dan membina sistem sokongan yang baik mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mengalami perkembangan psikologi yang positif (post-traumatic growth). Mereka bukan sahaja mampu bangkit daripada pengalaman pahit, malah menjadi individu yang lebih matang, lebih menghargai kehidupan, lebih empati terhadap orang lain dan lebih mengenali kekuatan diri yang selama ini tersembunyi.

Kesimpulannya, penerimaan bukan bermaksud melupakan atau meredakan kepentingan pengalaman traumatik. Tetapi penerimaan trauma merupakan kesediaan untuk mengakui bahawa pengalaman tersebut adalah sebahagian daripada sejarah kehidupan. Apabila individu menerima realiti tersebut, mereka lebih berupaya membina daya tahan, memanfaatkan sokongan sosial, mengembangkan strategi daya tindak yang sihat, mencapai perubahan psikologi yang lebih positif dan membina kehidupan yang lebih bermakna.

Sesungguhnya, setiap luka mempunyai kisahnya yang tersendiri. Luka mungkin tidak dapat dipadamkan, tetapi ia tidak semestinya menentukan seluruh kehidupan seseorang. Penerimaan bukanlah pengakhiran sebuah kisah, sebaliknya merupakan langkah pertama menuju perubahan. Apabila kita berani menerima kesakitan yang pernah hadir, pada saat itulah proses penyembuhan sebenar bermula.

* Penulis merupakan mahasiswa jurusan kaunseling pendidikan tahun akhir Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.