USM bentuk kepimpinan, empati pelajar melalui khidmat komuniti global di Medan
Program selama empat hari itu membuka ruang kepada mahasiswa dan pensyarah untuk belajar di luar bilik kuliah melalui aktiviti khidmat komuniti.
Oleh: NATHIR MEHAMAD
KUALA LUMPUR, 5 Julai 2026 – Universiti bukan sekadar tempat untuk menimba ilmu dan memperoleh segulung ijazah. Dalam dunia yang semakin mencabar dan saling berhubung, pendidikan tinggi perlu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki kemahiran insaniah, kepimpinan, empati serta kesedaran untuk menyumbang kepada masyarakat.
Hakikat ini dibuktikan melalui Program International Community Services yang disertai delegasi Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Asosiasi Perguruan Tinggi Swasta Indonesia (APTISI) Sumatera Utara baru-baru ini. Program selama empat hari itu membuka ruang kepada mahasiswa dan pensyarah untuk belajar di luar bilik kuliah melalui aktiviti khidmat komuniti, kesedaran kesihatan, pertukaran budaya serta jaringan akademik antarabangsa.
Delegasi PKTAAB-USM yang terdiri daripada 10 pensyarah dan lima pelajar siswazah berpeluang berinteraksi secara langsung dengan masyarakat setempat di Medan dan Berastagi, Indonesia bermula 11 hingga 14 Jun 2026. Pengalaman ini membolehkan mereka memahami realiti kehidupan masyarakat, memperkukuh kemahiran komunikasi serta mengembangkan perspektif global yang amat diperlukan dalam dunia pekerjaan masa kini.
Antara pengalaman paling bermakna ialah lawatan ke Sekolah Luar Biasa (SLB) di Medan yang menempatkan kanak-kanak berkeperluan khas. Melalui aktiviti bersama golongan ini, para peserta dapat memahami cabaran yang dihadapi kanak-kanak tersebut dengan lebih dekat. Pengalaman sebegini sukar diperoleh melalui pembacaan atau di dewan kuliah semata-mata kerana ia membentuk nilai empati, keprihatinan sosial dan kesedaran bahawa ilmu yang dimiliki perlu diterjemahkan kepada manfaat untuk masyarakat.

Program ini turut memperlihatkan kepentingan jaringan antarabangsa dalam memperkasa pendidikan tinggi. Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai antara PKTAAB-USM dan institusi pengajian tinggi di bawah APTISI Sumatera Utara membuka peluang baharu dalam bidang penyelidikan, mobiliti pelajar dan staf, pertukaran budaya serta pembangunan komuniti.
Bagi mahasiswa, pengalaman antarabangsa seperti ini menjadi aset yang amat bernilai. Majikan hari ini mencari graduan yang mempunyai perspektif global, mampu bekerja dalam persekitaran pelbagai budaya serta memiliki jaringan profesional yang luas. Pendedahan rentas negara memberi nilai tambah yang membezakan mereka dalam pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif.
Selain itu, pelbagai aktiviti kesihatan komuniti turut dijalankan bersama masyarakat setempat. Antaranya termasuk pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma yang dikendalikan oleh pakar serta pegawai perubatan dari PKTAAB-USM. Mahasiswa turut terlibat membantu melancarkan perjalanan program, sekali gus memberi peluang kepada mereka mempelajari aspek komunikasi, kerja berpasukan dan pengurusan program kesihatan masyarakat.
Program kesedaran kesihatan wanita turut mendapat sambutan menggalakkan apabila peserta diberi pendedahan mengenai kepentingan pemeriksaan payudara kendiri dan pengesanan awal kanser payudara. Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan wanita, malah membuktikan bagaimana kepakaran universiti dapat dimanfaatkan secara langsung oleh masyarakat.
Bagi menggalakkan pembangunan bakat dan kreativiti mahasiswa, pelbagai pertandingan turut dianjurkan termasuk pertandingan poster, fotografi, ping pong dan nyanyian. Penyertaan aktif mahasiswa dalam program sebegini membantu meningkatkan keyakinan diri, semangat berpasukan dan kemahiran komunikasi. Lebih membanggakan, wakil PKTAAB-USM berjaya meraih kedudukan lima terbaik dalam pertandingan fotografi.

Di sebalik jadual program yang padat, delegasi turut berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi Sumatera Utara. Perjalanan menaiki feri merentasi Tasik Toba menuju Pulau Samosir memberikan ruang kepada peserta untuk berehat seketika daripada kesibukan penyelidikan, penulisan tesis dan tugasan akademik. Keindahan tasik gunung berapi terbesar di Asia Tenggara itu menjadi terapi semula jadi yang menyegarkan minda dan emosi.
Delegasi turut didedahkan kepada budaya masyarakat Batak melalui lawatan ke rumah adat tradisional serta penyertaan dalam tarian Tor-Tor yang melambangkan kesyukuran dan perpaduan. Pengalaman ini membantu peserta memahami kepelbagaian budaya serantau dan menghargai nilai warisan masyarakat setempat.
Kemuncak program menyaksikan delegasi PKTAAB-USM menakluk Bukit Holbung di Pulau Samosir. Pendakian tersebut bukan sekadar aktiviti rekreasi, sebaliknya membawa simbolik yang mendalam tentang perjalanan seorang mahasiswa dalam mengejar ilmu dan kecemerlangan. Setiap langkah menuju puncak menggambarkan cabaran yang perlu ditempuhi sepanjang pengajian, manakala kejayaan tiba di puncak menjadi lambang ketabahan, disiplin dan semangat untuk terus maju.
Sesungguhnya, pembelajaran yang bermakna tidak hanya berlaku di dalam dewan kuliah atau makmal. Ia juga lahir melalui pengalaman berinteraksi dengan masyarakat, memahami budaya yang berbeza, menyumbang kepada komuniti dan mengharungi cabaran kehidupan sebenar.
Inilah wajah pendidikan tinggi masa hadapan. Melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berjiwa besar, berfikiran global dan sentiasa bersedia menyumbang kepada masyarakat. Apabila mahasiswa berani melangkah keluar daripada dewan kuliah dan tembok universiti, mereka bukan sahaja membina masa depan diri sendiri, malah menjadi pemangkin perubahan kepada komuniti, negara dan dunia.
* Penulis merupakan Presiden Persatuan Pelajar di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia beliau juga peserta Program International Community Services PKTAAB-USM bersama APTISI Sumatera Utara, Indonesia.

