PRN Johor 2026: Menilai pilihan raya melangkaui keputusan PRN 2022
Satu pendekatan analisis yang lebih dinamik dengan memberi tumpuan kepada perubahan semasa yang menjadi pemboleh ubah terhadap keputusan PRN Johor 2026 berbanding keputusan PRN Johor 2022.

PILIHAN Raya Negeri Johor 2026 menjadi antara pilihan raya negeri yang paling menarik untuk diperhatikan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Walaupun hanya melibatkan sebuah negeri, implikasinya jauh melangkaui sempadan Johor kerana keputusan yang bakal lahir berpotensi menjadi petunjuk awal terhadap perubahan landskap politik negara menjelang PRU16.
Dalam suasana sedemikian, pelbagai analisis mula beredar sama ada melalui media arus perdana, media sosial mahupun pemerhati politik bebas. Persoalannya ialah, apakah kerangka analisis yang paling sesuai digunakan untuk memahami pilihan raya ini?
Sebahagian besar analisis yang dikemukakan masih menjadikan keputusan PRN Johor 2022 sebagai titik rujukan utama. Pendekatan tersebut sememangnya mempunyai asas kerana keputusan pilihan raya terdahulu merupakan data empirikal yang tidak boleh diketepikan.
Namun demikian, terdapat satu kelemahan yang sering berlaku dalam analisis politik, iaitu kecenderungan menjadikan keputusan terdahulu sebagai asas utama untuk meramalkan keputusan akan datang tanpa menilai sama ada pemboleh ubah yang membentuk keputusan tersebut masih kekal atau telah berubah.
Dalam disiplin sains politik, keadaan ini sering dikaitkan dengan fenomena historical anchoring, iaitu kecenderungan menjadikan peristiwa lalu sebagai sauh utama dalam membuat jangkaan terhadap masa hadapan.
Pendekatan seperti ini sesuai sekiranya struktur politik, komposisi pengundi dan sentimen masyarakat tidak banyak berubah. Namun apabila pemboleh ubah berubah secara ketara, maka model analisis juga perlu berubah.
Johor pada tahun 2026 tidak lagi sama seperti Johor pada tahun 2022. Dalam tempoh tersebut berlaku perubahan dalam demografi pengundi, landskap persaingan parti politik, hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan serta perkembangan isu-isu nasional yang membentuk persepsi baharu dalam kalangan pengundi.
Oleh sebab itu, analisis terhadap PRN Johor 2026 perlu bermula dengan persoalan yang berbeza. Soalan yang perlu ditanya bukanlah “siapa menang pada tahun 2022?” tetapi “apakah yang telah berubah sejak tahun 2022?”
Perubahan pertama yang perlu diberikan perhatian ialah pertukaran generasi pengundi. Setiap pilihan raya membawa masuk kumpulan pengundi baharu, sementara sebahagian pengundi yang lebih berusia semakin berkurangan. Perubahan ini bukan sekadar perubahan angka, tetapi perubahan budaya politik. Generasi muda memperoleh maklumat melalui media sosial, podcast, video pendek dan platform digital yang berbeza daripada generasi terdahulu.
Corak pembentukan pendapat politik mereka juga tidak semestinya mengikuti kecenderungan keluarga atau masyarakat setempat seperti yang berlaku pada dekad-dekad sebelumnya. Justeru, perubahan generasi perlu dilihat sebagai pemboleh ubah yang mampu mengubah pola pengundian.
Perubahan kedua ialah persaingan dalam segmen pengundi Melayu. Jika pada suatu ketika dahulu persaingan utama di Johor sering dilihat antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, perkembangan selepas PRU15 menunjukkan wujudnya persaingan tiga penjuru yang lebih kompleks.
Perikatan Nasional kini muncul sebagai pencabar yang lebih signifikan dalam kalangan sebahagian pengundi Melayu. Sama ada perkembangan ini cukup besar untuk mengubah keputusan pilihan raya hanyalah dapat dipastikan selepas pengundian, namun kewujudannya sebagai pemboleh ubah politik tidak boleh diketepikan.
Dalam masa yang sama, Pakatan Harapan masih mempunyai kekuatan di beberapa kawasan bandar dan kawasan bercampur. Hal ini menjadikan persaingan politik Johor tidak lagi boleh difahami melalui kerangka dua gabungan utama seperti sebelum ini.
Sebaliknya, setiap gabungan mempunyai kekuatan tersendiri dalam segmen pengundi yang berbeza. Persoalan utama bukan lagi siapa mempunyai penyokong paling ramai secara keseluruhan, tetapi siapa yang mampu menterjemahkan sokongan tersebut kepada kemenangan di kawasan-kawasan yang dipertandingkan melalui keluar beramai-ramai mengundi pada hari kejadian.
Selain itu, faktor pentadbiran negeri juga memainkan peranan. Prestasi kerajaan negeri, isu pembangunan, keutamaan projek, persepsi terhadap hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan serta keupayaan menyelesaikan isu-isu tempatan boleh mempengaruhi pertimbangan pengundi. Walaupun sukar diukur secara kuantitatif, faktor-faktor ini sering menjadi sebahagian daripada pertimbangan pengundi apabila mereka berada di hadapan peti undi.
Namun begitu, semua faktor tersebut tidak seharusnya membawa kepada kesimpulan bahawa keputusan pilihan raya boleh diramal secara tepat. Dalam politik, sentimen boleh berubah dalam tempoh yang singkat.
Sebuah ceramah yang berkesan, isu tempatan yang timbul pada saat akhir, kadar keluar mengundi atau kekuatan jentera parti pada hari pengundian mampu mengubah keputusan di kerusi-kerusi marginal. Oleh sebab itu, pendekatan yang lebih sesuai ialah membina beberapa senario yang munasabah, bukannya menetapkan satu keputusan yang dianggap pasti berlaku.
Senario pertama ialah keadaan yang menyaksikan perubahan berlaku secara sederhana. Dalam keadaan ini, parti yang menguasai kerajaan negeri masih mengekalkan kedudukan sebagai gabungan terbesar, manakala gabungan lain mempertahankan kubu tradisi masing-masing dengan sedikit perubahan di beberapa kawasan marginal.
Senario kedua ialah berlakunya perubahan sokongan yang lebih ketara dalam kalangan pengundi Melayu sehingga mewujudkan persaingan yang lebih seimbang antara tiga gabungan utama. Dalam keadaan seperti ini, keputusan pilihan raya menjadi lebih sukar dijangka kerana perubahan kecil dalam pola pengundian boleh memberikan kesan besar terhadap jumlah kerusi yang dimenangi.
Senario ketiga ialah kemunculan sebuah Dewan Undangan Negeri yang lebih seimbang sehingga tiada satu gabungan memperoleh majoriti yang benar-benar selesa. Sekiranya keadaan ini berlaku, pembentukan kerajaan negeri akan bergantung kepada bentuk kerjasama politik selepas keputusan diumumkan.
Walaupun senario ini mungkin dianggap kurang berkemungkinan oleh sesetengah pihak, ia tetap wajar dimasukkan dalam kerangka analisis kerana politik Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan bahawa pembentukan kerajaan tidak lagi semestinya bergantung kepada satu parti atau satu gabungan sahaja.
Hakikatnya, tujuan analisis politik bukanlah untuk menjadi “tok nujum” yang menentukan masa hadapan, tetapi untuk memahami bagaimana perubahan pemboleh ubah boleh menghasilkan keputusan yang berbeza daripada pilihan raya terdahulu. Keputusan pilihan raya ialah hasil interaksi pelbagai faktor yang sentiasa berubah. Oleh sebab itu, keputusan PRN Johor 2022 perlu dilihat sebagai data sejarah yang penting, namun bukan sebagai formula yang pasti berulang.
Jika pendekatan ini terbukti membantu memahami keputusan PRN Johor 2026, maka kerangka yang sama boleh diuji pula terhadap PRN Negeri Sembilan, PRN Melaka dan akhirnya PRU16. Dengan kata lain, nilai sebenar sesuatu analisis bukan terletak pada kemampuan meneka jumlah kerusi tetapi pada kemampuan mengenal pasti pemboleh ubah yang benar-benar menentukan tingkah laku pengundi.
Kesimpulannya, politik ialah disiplin yang dinamik. Sejarah memberikan panduan, tetapi perubahan menentukan arah. Oleh itu, penganalisis yang baik bukanlah mereka yang paling berani membuat ramalan, sebaliknya mereka yang paling teliti menilai perubahan sebelum membuat kesimpulan. Wa Allah a’lam.

