Signature Lancar HomeFest 2026, Perkenal Ekosistem Kehidupan Kediaman Lengkap 360°
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Signature melancarkan HomeFest 2026 sempena HOMEs Exhibition 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre, sekali gus memperkukuhkan transformasinya daripada jenama kabinet bina dalam tersuai kepada penyedia penyelesaian kehidupan kediaman lengkap 360°.
Pelancaran itu mencerminkan perubahan keperluan pemilik rumah masa kini yang bukan sahaja mahukan produk berkualiti, malah penyelesaian menyeluruh yang menggabungkan reka bentuk, renovasi, kelengkapan kediaman dan teknologi rumah pintar di bawah satu ekosistem yang saling berhubung.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature International Berhad, Lau Kock Sang berkata, pemilik rumah kini semakin mengutamakan pengalaman yang lebih mudah dan terurus sepanjang proses mengubah suai kediaman.
“Pemilik rumah hari ini mahukan lebih daripada produk individu. Mereka mahukan kualiti yang boleh dipercayai, projek yang diurus secara profesional, serta satu rakan yang bertanggungjawab untuk memudahkan keseluruhan perjalanan transformasi kediaman mereka.
“HomeFest 2026 menandakan lembaran baharu dalam evolusi Signature. Dengan menghimpunkan keupayaan kami yang diperluaskan, kami membolehkan pemilik rumah merealisasikan kediaman impian mereka dengan penyelarasan yang lebih baik, ketelusan, keyakinan dan ketenangan fikiran,” katanya.
Ekosistem Signature kini merangkumi empat komponen utama iaitu Signature Customised Built-In Cabinets, Signature Reno Works, Signature Smart Home Solutions serta Wall Panelling, Furnishings & Interior Finishes.
Melalui integrasi keempat-empat komponen ini, pemilik rumah dapat merancang, mengubah suai, memperibadikan, melengkapkan dan mengautomasikan kediaman mereka tanpa perlu berurusan dengan pelbagai kontraktor atau pembekal secara berasingan.
Antara sorotan utama HomeFest 2026 ialah pelancaran rasmi Signature Reno Works yang menawarkan perkhidmatan renovasi menyeluruh meliputi kerja basah, kerja mekanikal dan elektrikal, pemasangan jubin, siling, pencahayaan, pengecatan serta kemasan dinding.
Perkhidmatan itu turut menyediakan perancangan projek yang didokumentasikan, penyeliaan tapak khusus, kemas kini kemajuan secara berkala, pemeriksaan kualiti berperingkat dan jaminan kualiti selama 24 bulan selepas penyerahan bagi memberikan keyakinan lebih tinggi kepada pelanggan.
Dalam masa sama, Signature turut memperkenalkan Signature Smart Home Solutions yang membolehkan pelbagai peranti rumah pintar daripada jenama berbeza diintegrasikan melalui satu hab pusat dan aplikasi tunggal.
Penyelesaian itu membolehkan pemilik rumah mengawal pencahayaan, sistem keselamatan, langsir, suhu serta peranti pintar lain secara serentak melalui rutin automasi yang diperibadikan, selain memastikan teknologi rumah pintar dirancang sejak peringkat awal reka bentuk kediaman.
HomeFest 2026 turut menyaksikan pengenalan AGMO by Signature Wall Panel Solutions sebagai penambahan terbaharu di bawah segmen Wall Panelling, Furnishings & Interior Finishes.
Sebagai jenama panel dinding premium yang menggunakan sistem panel dinding prafabrikasi mesra alam, AGMO melengkapkan penawaran dapur, almari pakaian, perabot dan perkhidmatan renovasi Signature dengan menyediakan penyelesaian panel dinding yang tahan lasak, mudah diselenggara serta meningkatkan keseragaman visual kediaman.
Bagi menyokong pelancaran tersebut, Signature menganjurkan kempen HomeFest 2026 yang berlangsung dari 9 Julai hingga 9 Ogos 2026 di HOMEs Exhibition 2026 serta bilik pameran Signature di seluruh negara.
Sepanjang tempoh kempen, pelanggan berpeluang menikmati ganjaran dan penjimatan bernilai sehingga RM8 juta menerusi diskaun eksklusif, Ganjaran Trade-In, Ganjaran Refer & Earn serta pelbagai hadiah menarik.
Signature turut menjalin kerjasama strategik dengan RHB Bank Berhad bagi menawarkan kemudahan pembiayaan renovasi menerusi RHB Renovation Loan kepada pelanggan yang layak.
Majlis pelancaran turut memperkenalkan pelakon Diana Danielle sebagai Duta Jenama bagi Program Trade-In 48 Jam Signature yang menawarkan ganjaran trade-in, perkhidmatan pembongkaran dan pelupusan profesional serta perkhidmatan fast-track terpilih bagi kerja naik taraf dapur, almari pakaian dan ruang kediaman.
Selain itu, Signature Grand Rewards Giveaway 2026 akan berlangsung sehingga 31 Disember depan dengan menawarkan ganjaran keseluruhan bernilai RM300,000, termasuk RM180,000 menerusi Purchase & Win, RM100,000 Home Makeover Giveaway serta pakej percutian ke Hokkaido, Jepun bernilai RM20,000 tajaan RHB Bank Berhad.
Ditubuhkan pada 1994, Signature Group kini berkembang daripada pengeluar kabinet bina dalam kepada penyedia penyelesaian kehidupan kediaman menyeluruh yang merangkumi kabinet tersuai, renovasi, kelengkapan rumah, teknologi rumah pintar, panel dinding dan pelbagai penyelesaian pelengkap bagi memenuhi keperluan pemilik rumah moden.
