Mahasiswa UM dalami amalan pertanian baik di Cameron Highlands

Bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada mahasiswa mengenai pengurusan pertanian tanah tinggi, pengeluaran tanaman secara lestari dan kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

Feature Image (3)

KUALA LUMPUR, 15 Julai 2026 – Seramai 13 mahasiswa Kursus Pengurusan Pertanian Lestari, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) menyertai lawatan akademik ke Cameron Highlands bagi mendalami amalan pertanian baik serta memahami peranan sains dan teknologi dalam menyokong keterjaminan makanan negara.

Lawatan yang diketuai oleh pensyarah kursus, Dr. Rosazlin Abdullah yang bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada mahasiswa mengenai pengurusan pertanian tanah tinggi, pengeluaran tanaman secara lestari serta kepentingan pemeliharaan alam sekitar dalam sistem agromakanan negara.

Sepanjang lawatan, mahasiswa mengunjungi Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands dan sebuah ladang teh bagi melihat sendiri amalan pertanian yang dilaksanakan di lapangan. Mereka turut berpeluang menyertai aktiviti penuaian tomato dan didedahkan kepada konsep Amalan Pengurusan Perosak Bersepadu (Integrated Pest Management, IPM) sebagai salah satu komponen penting dalam Amalan Pertanian Baik (MyGAP).

Selain itu, mahasiswa menjalankan tinjauan lapangan bagi menilai tahap pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) dan Skim Pensijilan Organik Malaysia (MyOrganic). Aktiviti tersebut memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan kaedah penyelidikan lapangan serta memahami kepentingan pensijilan dalam menjamin keselamatan makanan, kualiti hasil pertanian dan kelestarian alam sekitar.

Aktiviti tersebut memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan kaedah penyelidikan lapangan serta memahami persepsi pengguna terhadap amalan pertanian yang selamat dan lestari.

Menurut Dr. Rosazlin, pengalaman pembelajaran di lapangan membolehkan mahasiswa menghubungkan teori yang dipelajari di universiti dengan amalan sebenar industri pertanian.

“Keterjaminan makanan bukan hanya bergantung kepada peningkatan hasil pertanian tetapi juga kepada pengurusan yang berasaskan sains, penggunaan teknologi yang sesuai serta pelaksanaan Amalan Pertanian Baik. Pendedahan seperti ini penting dalam melahirkan graduan yang memahami cabaran sektor agromakanan dan mampu menyumbang kepada pembangunan pertanian negara,” katanya.

Beliau berkata, lawatan akademik berasaskan pengalaman seperti ini turut memperkukuh kemahiran pemerhatian, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah dalam kalangan mahasiswa, sekali gus menyokong usaha Universiti Malaya melahirkan graduan yang berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran sektor pertanian masa hadapan.

Program ini mencerminkan komitmen Universiti Malaya dalam memperkukuh pendidikan berasaskan pengalaman bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang sains, malah mempunyai kesedaran terhadap kepentingan pertanian lestari, keselamatan makanan dan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan negara.