Mahasiswa UM didik pelajar SKS2AS bahaya penipuan siber

Program ini bertujuan untuk mendidik murid sekolah rendah mengenai risiko penipuan siber dalam masyarakat yang semakin maju dan bergantung kepada teknologi digital.

Feature Image

KUALA LUMPUR, 15 Julai 2026 – Sekumpulan pelajar daripada Kumpulan 4, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya yang dikenali sebagai Beyond The Click telah melaksanakan sebuah projek SULAM di bawah kursus Undang-Undang dan Kemasyarakatan dengan kerjasama SK Sultan (2) Alam Shah, Petaling Jaya.

Program ini bertujuan untuk mendidik murid sekolah rendah mengenai risiko penipuan siber dalam masyarakat yang semakin maju dan bergantung kepada teknologi digital.

Bagi pihak kumpulan, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Suhaidi, Penolong Kanan Pentadbiran atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini serta kesudian menerima kehadiran kami dengan tangan terbuka. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kanak-kanak terhadap ancaman penipuan siber yang semakin membimbangkan, termasuk online grooming (umpanan seksual dalam talian), penipuan menggunakan kecerdasan buatan (artificial Intelligence, AI), dan pelbagai bentuk penipuan dalam talian yang lain.

Melalui penyertaan dalam permainan interaktif dan sesi pembelajaran praktikal, para peserta didedahkan kepada taktik-taktik yang lazim digunakan oleh penjenayah siber. Pada masa yang sama, mereka turut mempelajari cara mengenal pasti aktiviti dalam talian yang mencurigakan serta langkah-langkah melindungi diri daripada ancaman digital.

“Kami mahu mereka belajar dalam suasana yang menyeronokkan, dan menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan setiap aktiviti yang dijalankan bersifat interaktif, menarik serta memberi nilai pendidikan,” kata Nurhafyzatul Ilmiah, Pengarah Projek Beyond The Click daripada Fakulti Undang-Undang.

Program ini digerakkan oleh dua isu utama. Mereka sering kali belum memiliki kematangan dari sudut perundangan, kognitif dan emosi yang mencukupi. Kemahiran ini penting bukan sahaja untuk keselamatan mereka, malah bagi membantu mereka membuat keputusan yang bijak dan bertanggungjawab ketika melayari dunia digital. Salah satu topik utama yang diketengahkan sepanjang program ialah isu online grooming.

Di Malaysia, statut utama yang mengawal kesalahan jenayah ialah Kanun Keseksaan [Akta 574]. Bagi kesalahan online grooming, Seksyen 377E Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa:

“Mana-mana orang yang merangsang seorang kanak-kanak di bawah umur empat belas tahun untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau dengannya atau dengan orang lain hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat.”

Walaupun peruntukan ini boleh digunakan untuk menghukum pesalah, cabaran masih wujud dalam pelaksanaannya. Pihak pendakwaan sering berdepan kesukaran untuk membuktikan unsur “kelucahan melampau” serta niat jenayah (mens rea) pesalah melampaui keraguan munasabah.

Tambahan pula, masih terdapat kelompongan perundangan dalam menangani perbuatan persediaan untuk memperdaya kanak-kanak secara dalam talian. Walau bagaimanapun, Seksyen 11 hingga Seksyen 15 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] memperuntukkan kesalahan berkomunikasi dengan atau memperdaya kanak-kanak bagi tujuan seksual. Oleh itu, projek SULAM ini menggabungkan pendekatan pendidikan dan perundangan bagi meningkatkan kesedaran kanak-kanak serta menggalakkan amalan penggunaan internet yang lebih selamat dalam era digital masa kini.

Seramai 58 orang pelajar sekolah rendah tahap dua, termasuk 10 orang pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) telah menyertai program ini yang dimulakan dengan sesi penerangan ringkas mengenai penipuan siber. Selain itu, lima stesen permainan interaktif turut disediakan bagi mengukuhkan pemahaman peserta terhadap tema yang diketengahkan secara praktikal dan menyeronokkan.

Para pelajar dibahagikan kepada 10 kumpulan dengan setiap kumpulan terdiri daripada 10 orang peserta. Setiap kumpulan melantik seorang ketua dan mengikuti jadual pergerakan yang sistematik ke setiap stesen bagi memastikan kelancaran program serta penglibatan aktif semua peserta.

“Program ini sangat tersusun dan bermakna, bukan sahaja kepada para pelajar tetapi juga kepada komuniti sekolah secara keseluruhannya. Kami amat mengalu-alukan kehadiran pelajar Universiti Malaya lagi pada masa hadapan dan menyokong lebih banyak inisiatif pendidikan seperti ini,” puji Che Ramli, Pengetua SK (2) Sultan Alam Shah.

Seramai 12 orang pelajar universiti yang terlibat dalam projek ini telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM993 melalui usaha mereka sendiri bagi menampung kos pelaksanaan program sebelum proses tuntutan semula dibuat. Walaupun jumlah tersebut tidak begitu besar, pasukan berjaya menguruskan perbelanjaan dengan berhemah, mematuhi bajet yang diperuntukkan, dan masih mengekalkan baki kewangan hasil perancangan yang teliti serta semangat kerjasama yang tinggi.

“Sebagai penyelia, saya berasa amat bangga dan gembira walaupun hanya dapat mengikuti perkembangan program ini melalui gambar dan video yang dikongsikan. Program yang dilaksanakan oleh Kumpulan 4 ini berjaya dilaksanakan dengan baik meskipun pelbagai cabaran dihadapi pada peringkat awal persediaan.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Puan Asnida, pensyarah Universiti Malaya, atas bantuan beliau mendapatkan sekolah dan hadir mewakili saya,” kata Dr. Zalina Abdul Halim, penyelia projek daripada Fakulti Undang-Undang bagi kursus Undang-undang dan Masyarakat.

Kesimpulannya, inisiatif Beyond The Click telah berjaya menggabungkan pendidikan perundangan dan pembelajaran interaktif dalam meningkatkan kesedaran kanak-kanak mengenai penipuan siber dan keselamatan dalam talian. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada para peserta, malah turut memberikan impak positif kepada komuniti sekolah dengan memupuk amalan penggunaan teknologi digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.