Bernama catat rekod MBOR kumpulan pengamal media paling ramai tawan Gunung Kinabalu
Pencapaian ini diharap menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif yang dapat mengeratkan hubungan sesama warga Bernama serta memupuk semangat kebersamaan dalam menghadapi cabaran pada masa hadapan.
KUALA LUMPUR, 15 Julai 2026 – Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melakar sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Kumpulan Pengamal Media Paling Ramai Menawan Gunung Kinabalu, susulan kejayaan 23 petugas menawan puncak tertinggi di Asia Tenggara itu pada 1 Julai lepas.
Pengiktirafan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR, Jwan Heah kepada Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj yang juga Presiden Kelab Kakitangan Bernama (KKB) di Wisma Bernama.
Dalam ucapannya, Arul Rajoo yang mengetuai ekspedisi itu berkata pengiktirafan berkenaan bukan sekadar catatan rekod, sebaliknya melambangkan keberanian warga Bernama dalam menyahut cabaran baharu, termasuk pada peringkat persediaan apabila perlu mengimbangi latihan dengan tuntutan tugas sebagai pengamal media yang mempunyai jadual kerja padat.
“Dalam kekangan tugas sebagai pengamal media, mencari masa untuk latihan bukan sesuatu yang mudah. Tetapi dengan azam, disiplin dan semangat berpasukan semua peserta, kita berjaya menghadapi cabaran ini dan sampai ke puncak,” katanya yang juga merupakan Ketua Pengarang Bernama pertama berjaya menawan puncak tertinggi di Malaysia itu.
Arul Rajoo turut berharap pencapaian berkenaan menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif yang dapat mengeratkan hubungan sesama warga Bernama serta memupuk semangat kebersamaan dalam menghadapi cabaran pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Heah menyifatkan kejayaan Bernama sebagai satu pencapaian yang unik dan istimewa kerana melibatkan kumpulan pengamal media terbesar yang berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu.

Beliau berkata pengiktirafan berkenaan diberi selepas pihak MBOR membuat semakan terhadap rekod pendakian daripada Taman-Taman Sabah serta bukti bergambar dan video yang dikemukakan Bernama.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn. Bhd. Datuk Seri R. Jeyenderan, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson serta wakil rakan-rakan strategik ekspedisi itu.
Penganjuran ekspedisi berkenaan mendapat sokongan daripada BMAI, sebuah jenama pakaian sukan antarabangsa, Batik Air, 100Plus dan Maritime Network Sdn Bhd.
Rakan strategik lain ialah EHH Food Industry Sdn Bhd, Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Malaysia China Insight, Saloma Bistro, Malaysia Airports, World Trade Centre Kuala Lumpur, Armada Putih Sdn Bhd, MuviiGrind, UFL, Taman-Taman Sabah dan Marathon Baker.
Sementara itu, presiden jawatankuasa pelaksana ekspedisi, Noor Shamsiah Mohamad berkata persediaan rapi bagi menghadapi misi ke puncak tertinggi di Malaysia itu telah mula diatur sejak akhir tahun lepas bagi memastikan setiap peserta benar-benar bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menjayakan cabaran tersebut.

Noor Shamsiah yang juga Editor Bernama TV berkata beberapa sesi latihan telah dilakukan termasuk di Gunung Datuk, Gunung Berembun dan Gunung Angsi di Negeri Sembilan, serta Gunung Hitam di Hulu Langat dan Bukit Kutu di Kuala Kubu Bharu.
“Cabaran utama kami ialah faktor cuaca yang boleh berubah sekelip mata. Tiba-tiba sahaja hujan, kabus tebal dan angin kuat dan keadaan ini menguji ketahanan fizikal dan mental para peserta. Namun, alhamdulillah kami berjaya menawan Gunung Kinabalu,” katanya.
Dalam pada itu, seorang peserta ekspedisi yang juga wartawan Meja Berita Am Bernama, R. Vikneswaran menyifatkan pencapaian tersebut sebagai sesuatu yang sangat membanggakan bukan sahaja untuk para pendaki tetapi juga seluruh warga Bernama.
“Pendakian pada hari pertama sejauh enam kilometer ke Panalaban, tetapi cabaran paling besar adalah untuk meneruskan perjalanan ke puncak pada hari kedua seawal pukul 2.30 pagi dan ketika perjalanan itu kita telah diuji dengan kabus yang sangat tebal berserta gerimis,” katanya.
Ekspedisi sulung anjuran Kelab Bernama Trailblazers, yang merupakan kelab mendaki bernaung di bawah KKB itu melibatkan penyertaan daripada pelbagai bahagian, termasuk wartawan, jurugambar, penyunting, kru Bernama TV serta petugas bahagian pentadbiran.
Aktiviti itu bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, di samping memupuk semangat kerja berpasukan, meningkatkan ketahanan fizikal dan mental serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Bernama. – Bernama
