Sukarelawan UM santuni kaum Semai di Raub, Pahang

UNIVERSITI MALAYA (UM) menganjurkan satu Program Khidmat Masyarakat yang memberi manfaat kepada penduduk Orang Asli Semai di Raub, Pahang baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu diadakan di Sekolah Kebangsaan Satak, Raub dan disertai oleh 42 orang sukarelawan dari pelbagai bidang kepakaran kesihatan.

Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama antara Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian UM, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Perlis Plantation Berhad (PPB) Group dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Program itu bertujuan untuk menjalankan aktiviti promosi dan saringan kesihatan untuk memanfaatkan penduduk-penduduk di perkampungan Orang Asli Semai di Raub, khasnya Kampung Rensong dan Kampung Satak.

“Saya gembira melihat kesungguhan para sukarelawan mendekati penduduk kampung ini.

“Walaupun mungkin sudah berpengalaman melakukan aktiviti bersama penduduk luar bandar, ini adalah kali pertama untuk sebahagian besar daripada mereka, berpeluang untuk berinteraksi dengan penduduk kampung Orang Asli,” kata Dr. Ng Aik Hao dari Fakulti Perubatan yang mengetuai delegasi sukarelawan UM.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program itu termasuk saringan perubatan asas, konsultasi perubatan dan rawatan asas, pemberian ubat cacing, pemeriksaan gigi dan rawatan asas pergigian, saringan kanser payu dara dan pangkal rahim, pemberian vaksin HPV, serta ceramah kesihatan mengenai pemakanan sihat dan pencegahan kanser.

Prof. Dr. Norliza Ibrahim, Profesor di Fakulti Pergigian yang turut menyertai program ini menyuarakan kekagumannya terhadap sambutan penduduk kampung.

“Selalunya, sambutan agak dingin untuk pemeriksaan gigi kerana sering dimomokkan dengan pemeriksaan gigi yang menyakitkan, namun dengan pendedahan maklumat yang betul, mereka beratur beramai-ramai untuk mendapatkan pemeriksaan gigi,” katanya.

Sepanjang program tersebut, seramai 500 orang kampung dan pelajar di Sekolah Kebangsaan Satak telah menyertai aktiviti-aktiviti yang telah dirancang.

Penglibatan ramai penduduk di perkampungan Orang Asli itu dapat mempertingkat kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kebersihan dan kesihatan di samping mendapat perkhidmatan perubatan dan pergigian secara langsung daripada pasukan kesihatan.

“Saya pasti pengalaman ini akan menjadikan mereka sebagai petugas kesihatan yang lebih empati dan prihatin satu hari nanti,” tambah Aik Hao.

Beliau berharap program seperti itu dapat diteruskan pada masa hadapan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai komuniti yang memerlukan.

Program khidmat masyarakat itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Orang Asli Semai tetapi memberi pengalaman berharga kepada para sukarelawan dari UM.

Ia merupakan satu langkah positif dalam usaha universiti untuk mendekati masyarakat dan memberi sumbangan bermakna kepada komuniti yang terpinggir dan memerlukan.


Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Prof. Madya Dr. Nor Azlida Mohd. Nor, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya.