Aksi pelajar praktikal menerusi sesi “mock teaching” kemahiran maklumat

Dalam sesi itu, pelajar bertindak sebagai pustakawan rujukan yang menyampaikan modul kelas kemahiran maklumat.

Feature Image (5)

KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2026 – Latihan industri di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau menawarkan pengalaman meluas buat pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Perpustakaan.

Selain pengurusan bahan dan perkhidmatan perpustakaan, fokus turut diberikan kepada kemahiran komunikasi serta pemindahan ilmu menerusi sesi mock teaching (pengajaran simulasi) bersemuka di hadapan penyelia industri.

Dalam sesi itu, pelajar bertindak sebagai pustakawan rujukan yang menyampaikan modul kelas kemahiran maklumat.

Dua modul utama yang perlu dikuasai ialah Modul Pengenalan Literasi Maklumat dan Modul Pencarian dalam Pangkalan Data Atas Talian untuk membantu mahasiswa menyiapkan tugasan akademik.

Pustakawan Kanan PTAR Kampus Rembau, Mohd Hafiz Kasirun berkata latihan simulasi sedemikian penting untuk membentuk keyakinan serta kemahiran penyampaian pelajar sebelum mereka melangkah ke alam kerjaya sebenar.

Pelaksanaan mock teaching bertujuan menguji penguasaan topik, meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan membina keyakinan diri.

Persediaan rapi dilakukan menerusi ulang kaji slaid pembentangan bagi memastikan penyampaian tepat pada waktunya.

Walaupun sekadar simulasi, cabaran tetap dirasai apabila pelajar perlu mengawal intonasi, gaya bahasa dan menjawab soalan spontan daripada penyelia yang memegang peranan sebagai peserta.

Sesi diakhiri dengan maklum balas membina daripada penyelia merangkumi aspek bahasa badan, pengurusan masa dan teknik penyampaian.

Pengalaman itu mengajar pelajar cara menyesuaikan penyampaian mengikut latar belakang pengguna yang berbeza, sama ada pelajar, pensyarah mahupun staf universiti.

Ia sekali gus membuka mata bahawa peranan pustakawan bukan sekadar mengurus sumber maklumat, malah bertindak sebagai pendidik yang memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat.

Di samping itu, kejayaan mengendalikan mock teaching ini membuktikan keupayaan sebenar pelajar latihan industri.

Persepsi sesetengah pihak yang memandang rendah kebolehan pelajar praktikal adalah tidak tepat.

Dengan latar belakang teori yang kukuh, semangat tinggi serta fleksibiliti untuk beradaptasi, mereka terbukti mampu menggalas tanggungjawab besar dan menyumbang secara aktif kepada organisasi sekiranya diberi peluang dan kepercayaan.

Secara keseluruhannya, mock teaching di PTAR UiTM Rembau menjadi batu loncatan penting dalam membentuk graduan perkhidmatan maklumat yang berkeyakinan, kompeten dan berempati tinggi serta bersedia mendepani cabaran dunia pekerjaan.

* Artikal ini dihasilkan oleh Ain Ezzatul Aishah Rusila (Pembantu Pustakawan UiTM Kampus Rembau) dan Nur Shazmimi Sahabuddin, Nurlaili Irdina Abd Razak serta Ain Ezzatul Aishah Rusila (Pelajar Latihan Industri PTAR Kampus Rembau, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik).