HAMPIR setiap rumah mempunyai lebihan ubat atau ubat yang telah tamat tempoh.
Ubat-ubatan ini dikumpul dan disimpan di dalam laci tetapi tidak diketahui apa yang perlu dilakukan dengan ubat tersebut dan tidak tahu bagaimana untuk melupuskan dengan cara yang betul.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Malaya pada tahun 2021, sebanyak 25 peratus daripada penduduk Malaysia menyimpan ubat yang telah tamat tempoh di rumah.
Ubat yang telah tamat tempoh atau tidak digunakan lagi boleh membawa risiko yang besar.
Pengarah Klinik Universiti Malaya, Dr. Zuraidah Mohamed menekankan bahawa ubat yang telah tamat tempoh mungkin kehilangan keberkesanannya dan boleh mengundang bahaya sekiranya digunakan.
“Sebagai contoh, penggunaan ubat antibiotik yang sudah tamat tempoh boleh menyebabkan kegagalan rawatan dan seterusnya meningkatkan risiko perkembangan bakteria tahan antibiotik,” katanya.
Malah, tambah beliau sekiranya penyimpanan ubat ini tidak cermat, ia akan mengundang risiko keracunan.
“Berdasarkan statistik dari Kementerian Kesihatan (KKM), dilaporkan terdapat 1,000 kes keracunan setiap tahun yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun akibat pengambilan ubat secara tidak sengaja.
“Ini terjadi apabila ubat tidak disimpan di tempat yang selamat. Angka ini sangat membimbangkan dan menunjukkan betapa pentingnya kita menguruskan ubat-ubatan dengan betul,” ujar beliau.
Oleh yang demikian, Universiti Malaya mengambil inisiatif dengan melaksanakan Program “How to Safely Dispose of Your Expired or Unused Medicines?” yang diterajui Klinik Universiti Malaya.
Kini, komuniti kampus boleh membawa lebihan ubat-ubatan atau yang telah tamat tempoh ke Klinik Universiti Malaya dan seterusnya meletakkannya di tong khas yang disediakan.
Antara jenis ubatan yang diterima ialah kapsul, cecair, krim, suntikan dan ubat titis.
“Ubatan yang dibuang secara tidak betul seperti membuang ke dalam tong sampah, sinki mahu pun tandas, boleh memberikan kesan negatif kepada alam sekitar,” jelas Pensyarah Fakulti Farmasi dan Ketua Penyelidik Safe D.U.M.P, Dr. Lee Hong Gee.
Menurut Hong Gee, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia telah menjalankan kajian ke atas beberapa sungai di Malaysia seperti di Sungai Klang, Sungai Penchala dan Sungai Langat dan telah menemui kehadiran ubat-ubatan seperti paracetamol, ibuprofen dan diclofenac dalam sampel air sungai.
Tambah beliau, sekiranya ubat-ubatan ini tidak dilupuskan dengan baik ia boleh meresap ke dalam tanah dan sumber air.
“Seterusnya ini akan menyebabkan pencemaran dan membahayakan kehidupan akuatik serta ekosistem sekitar.
“Maka adalah amat penting bagi pesakit untuk menghabiskan ubat yang dipreskripsi oleh doktor serta menguruskan penyimpanan ubat dengan baik, bagi mengelakkan menjadi punca pencemaran ini,” terangnya.
“Saya kira ini merupakan inisiatif program yang baik yang dilaksanakan oleh Klinik Universiti Malaya. Saya yakin bahawa program ini memberikan pendidikan dan kesedaran kepada seluruh warga kampus dan juga komuniti setempat untuk menguruskan ubat-ubatan kita dengan lebih sistematik.
“Malah, ia memberi impak positif kepada alam sekitar dan selari dengan hala tuju Universiti Malaya untuk menjadi sebuah kampus lestari menjelang 2030,” kata Pemangku Pendaftar, Professor Ir. Dr. Abdul Aziz Abdul Raman dalam ucapan pada majlis perasmian program tersebut baru-baru ini.
Program ini adalah kerjasama Klinik Universiti Malaya bersama Fakulti Farmasi, Jabatan Harta Benda, pasukan Safe D.U.M.P serta Pusat Pembangunan Lestari (UMSDC).