DPVM: Industri Sudah Patuhi Akta 852, Tidak Wajar Terjejas Dengan Perubahan Kedudukan Undang-Undang

Ridhwan Rosli, Secretary General, of the Malaysian Vape Chamber of Commerce[4973]

KUALA LUMPUR, 1 September 2026 – Keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan rayuan berhubung kedudukan nikotin dalam produk vape tidak seharusnya mengakibatkan industri kembali berdepan ketidakpastian undang-undang.

Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) menegaskan bahawa apabila kerajaan telah memilih untuk mewujudkan satu kerangka khusus bagi mengawal selia produk merokok melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), isu pengharaman produk vape bernikotin tidak seharusnya timbul secara tiba-tiba.

Menurut Setiausaha Agung DPVM, Ridhwan Rosli, Akta 852 bukan satu dasar yang digubal secara tergesa-gesa atau tanpa mengambil kira pandangan pihak berkepentingan. Ia merupakan hasil proses penggubalan undang-undang yang panjang dan melibatkan kerajaan, kementerian, agensi berkaitan serta pelbagai pihak berkepentingan, termasuk industri.

“Justeru, apabila kerajaan telah memilih untuk mewujudkan satu kerangka khusus bagi mengawal selia produk merokok, termasuk produk vape, kami berpandangan bahawa Akta 852 perlu terus dilaksanakan dan dikuatkuasakan secara menyeluruh. Sebarang perubahan terhadap kerangka ini wajar dipertimbangkan dengan teliti agar tidak menjejaskan matlamat asal undang-undang tersebut,” katanya.

Menurut beliau, industri sejak awal telah menyatakan kesediaan untuk dikawal selia dan menyokong pelaksanaan Akta 852. Pemain industri juga telah membuat pelaburan besar bagi memenuhi keperluan pematuhan, termasuk berkaitan produk, pembungkusan, pelabelan, pendaftaran dan operasi perniagaan.

“Pemain industri telah membuat keputusan perniagaan berdasarkan kerangka kawal selia yang ditetapkan kerajaan. Mereka telah melabur, menyesuaikan operasi dan mengambil langkah untuk mematuhi Akta 852.

“Tidak wajar apabila industri yang telah mengambil langkah untuk mematuhi undang-undang tersebut pula terpaksa menanggung kesan daripada perubahan pada kedudukan undang-undang. Di belakang setiap perniagaan ada pekerja, pengedar, peruncit dan keluarga yang bergantung kepada sumber pendapatan itu,” katanya.

DPVM menegaskan bahawa pihaknya tidak menolak pengawalseliaan, malah menyokong pendekatan untuk meletakkan produk tembakau, vape, shisha serta produk merokok lain di bawah satu kerangka kawal selia yang jelas dan konsisten.

“Kami bukan meminta pengecualian daripada peraturan. Jika terdapat kebimbangan berkaitan kesihatan awam, penyalahgunaan produk atau penguatkuasaan, perkara tersebut boleh ditangani melalui penguatkuasaan yang lebih baik atau pindaan kepada peraturan jika perlu.

“Namun, menjejaskan keseluruhan industri yang telah mengambil langkah untuk mematuhi undang-undang bukanlah penyelesaian yang wajar,” kata Ridhwan.

DPVM menegaskan bahawa kepastian undang-undang penting bagi membolehkan industri terus menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab dan memenuhi kehendak kerajaan.

“Kerangka kawal selia sudah dibangunkan dan industri telah menunjukkan komitmen untuk mematuhinya. Apa yang kami harapkan ialah Akta 852 terus dilaksanakan dengan penguatkuasaan yang konsisten serta penambahbaikan jika diperlukan.

“Kerajaan perlu mengambil kira kesihatan awam dan penguatkuasaan, tetapi pada masa yang sama memastikan kelangsungan industri yang telah memilih untuk mematuhi undang-undang,” kata Ridhwan.