Pelindung matahari mana yang kulit anda perlukan?

Pelindung matahari mineral, kimia dan hibrid mempunyai penapis UV serta ciri formulasi berbeza. Ketahui pilihan yang sesuai mengikut keadaan kulit dan gaya hidup.

Feature Image (3)

PERNAHKAH anda memakai pelindung matahari atau sunscreen SPF 50 sebelum keluar rumah, tetapi apabila mula berpeluh, mata tiba-tiba terasa pedih dan berair? Atau pernah mencuba pelindung matahari mineral yang dikatakan lebih “gentle”, tetapi akhirnya wajah kelihatan keputihan dan produk terasa berat pada kulit?

Hari ini, pilihan pelindung matahari semakin pelbagai. Pada label produk, kita mungkin menemui istilah pelindung matahari mineral, pelindung matahari kimia dan kadangkala pelindung matahari hibrid tetapi apakah sebenarnya perbezaan antara ketiga-tiganya? Adakah perkataan “chemical” bermaksud ia lebih berbahaya, manakala mineral semestinya lebih selamat?

Jawapannya tidak semudah itu.

Secara asasnya, perbezaan utama terletak pada jenis penapis ultraviolet (UV) yang digunakan. Malah, kita sendiri boleh mengenal pasti jenispelindung matahari dengan melihat senarai ramuan pada produk.

Tidak pasti pelindung mataharianda jenis mana? Cuba pusing botol dan lihat senarai ramuannya. Jika anda nampak nama zinc oxide atau titanium dioxide, ia merupakan penapis UV mineral. Jika terdapat penapis UV organik seperti avobenzone, octocrylene, octinoxate atau homosalate, produk tersebut tergolong sebagai pelindung matahari kimia. Jika kedua-dua jenis penapis digunakan dalam satu formulasi, ia dikenali sebagai pelindung matahari hibrid.

Kita juga sering diberikan penerangan mudah bahawa pelindung matahari mineral bertindak seperti “cermin” yang memantulkan UV, manakala pelindung matahari kimia pula “menyerap UV”. Penerangan ini mudah difahami, tetapi sebenarnya terlalu ringkas.

Pelindung matahari kimia menyerap tenaga daripada sinaran UV dan menukarkannya kepada tenaga yang lebih rendah, terutamanya haba, sebelum dilepaskan. Jadi, ia bukan bermaksud pelindung matahari “menarik” UV masuk lebih dalam ke kulit. Pelindung matahari mineral pula bukan sekadar memantulkan UV seperti cermin; ia juga menyerap sebahagian besar tenaga UV, di samping menyerak dan memantulkan sebahagian sinaran tersebut.

Mudahnya, cara kedua-duanya mengendalikan tenaga UV mungkin berbeza, tetapi matlamatnya sama: melindungi kulit.

Jadi mengapa kita perlu mengambil tahu jenis pelindung matahari yang digunakan? Jawapannya ialah keserasian.

Bagi kebanyakan individu dengan kulit normal dan tidak mudah mengalami iritasi, pelindung matahari kimia boleh menjadi pilihan yang praktikal. Formulasinya lazimnya lebih ringan, mudah diratakan dan kurang meninggalkan kesan putih atau white cast. Sebab itu banyak pelindung matahari hadir dalam tekstur seperti gel, losen atau serum yang selesa digunakan setiap hari.

Namun, pernahkah anda mengalami situasi ini? Sapu pelindung matahari → keluar tengah hari → berpeluh → mata mula pedih. Adakah itu bermaksud pelindung matahari kimia berbahaya? Tidak semestinya.

Apabila kita berpeluh, pelindung matahari boleh bergerak ke kawasan mata yang sangat sensitif. Sesetengah penapis UV atau bahan lain dalam formulasi seperti pewangi dan alkohol mungkin menyebabkan rasa pedih atau tidak selesa pada individu tertentu. Sebab itulah satu pelindung matahari boleh sangat selesa digunakan oleh seseorang, tetapi tidak sesuai untuk orang lain.

Bagi mereka yang mempunyai kulit sensitif, mudah kemerahan atau sering mengalami rasa pedih apabila menggunakan pelindung matahari, pelindung matahari mineral berasaskan zinc oxide atau titanium dioxide boleh menjadi pilihan yang baik untuk dicuba. Bahan ini sering digunakan dalam formulasi untuk kulit sensitif kerana secara umumnya kurang berpotensi menyebabkan iritasi.

Namun, mineral juga bukan bermaksud sempurna untuk semua orang.

Sesetengah pelindung matahari mineral boleh terasa lebih tebal atau meninggalkan white cast, terutama pada tona kulit yang lebih gelap. Zinc oxide dan titanium dioxide boleh menyerakkan cahaya tampak, lalu menghasilkan kesan keputihan tersebut. Teknologi formulasi hari ini semakin baik dalam mengurangkan masalah ini, termasuk melalui penggunaan tinted pelindung matahari mineral.

Bagaimana pula dengan pelindung matahari hibrid?

Seperti namanya, formulasi ini menggabungkan penapis mineral dan organik untuk mendapatkan keseimbangan antara perlindungan, tekstur dan keselesaan. Bagi sesetengah pengguna, inilah jalan tengah yang lebih praktikal.

Satu lagi salah faham yang perlu diperbetulkan ialah perkataan “chemical” itu sendiri. Dari perspektif kimia, sesuatu bahan tidak menjadi berbahaya hanya kerana ia dipanggil “chemical”.

Air pun bahan kimia. Air ialah H₂O. Zinc oxide ialah ZnO dan titanium dioxide ialah TiO₂. Malah pelindung matahari mineral sendiri tetap terdiri daripada bahan kimia. Oleh itu, label “mineral” atau “natural” sahaja tidak boleh menentukan sama ada sesuatu produk lebih baik atau lebih selamat.

Persoalan yang lebih tepat ialah: Apakah bahan yang digunakan dan adakah formulasi tersebut sesuai dengan kulit kita?

Jadi, mana satu patut kita pilih?

Jika kulit anda normal dan pelindung matahari kimia yang digunakan sekarang selesa, tidak menyebabkan iritasi dan mudah dipakai setiap hari, teruskan menggunakannya. Tidak ada keperluan untuk bertukar kepada mineral semata-mata kerana namanya kedengaran lebih “natural”.

Jika kulit anda sensitif, mudah merah atau pelindung matahari sering menyebabkan rasa pedih terutama di sekitar mata, pelindung matahari mineral boleh menjadi pilihan untuk dicuba. Cari zinc oxide atau titanium dioxide pada senarai ramuan. Jika tidak menyukai white cast, anda boleh mencuba versi tinted atau formulasi hybrid.

Lebih penting, jangan hanya membaca perkataan besar di hadapan botol. Belajar juga melihat senarai ramuan di belakangnya. Jika beberapa produk menyebabkan masalah yang sama, cuba bandingkan kandungannya. Dari situ, kita mungkin dapat mengenal pasti jenis formulasi yang lebih serasi dengan kulit sendiri.

Akhirnya, persoalan yang lebih tepat bukanlah “mineral atau chemical, mana lebih bagus?”, tetapi “mana satu lebih sesuai dengan kulit dan gaya hidup saya?”

Pelindung matahariterbaik bukan semestinya yang paling mahal atau mempunyai label “mineral” pada botolnya. Pelindung matahari terbaik ialah produk yang memberikan perlindungan yang baik, sesuai dengan kulit dan cukup selesa sehingga kita sanggup menggunakannya secara konsisten.

Kerana dalam penjagaan kulit, bukan soal memilih Team Chemical atau Team Mineral. Yang lebih penting ialah memilih perlindungan yang sesuai untuk kulit kita.