UiTM gabung tujuh acara mega dalam QIS 2026, perkasa tadbir urus pendidikan tinggi

UiTM menggabungkan tujuh acara mega menerusi QIS 2026 sebagai langkah memperkasa tadbir urus, kualiti dan kecemerlangan pendidikan tinggi.

Feature Image (2)

PENOLONG Naib Canselor InQKA, Prof. Dr. Haslinda Yusoff menyampaikan cenderamata perkongsian Industri, Symposium Kecemerlangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia, Dr. Sharmilla Mohamed Salleh.

KUALA LUMPUR, 11 September 2026 – Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengorak langkah baharu dalam memperkukuh pengurusan kualiti dan tadbir urus pendidikan tinggi menerusi penganjuran UiTM Quality & Innovation Summit 2026 (QIS 2026) secara bersepadu di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD), Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

QIS 2026 yang berlangsung selama empat hari menghimpunkan tujuh acara dan mesyuarat utama universiti di bawah satu platform, sekali gus mengoptimumkan penggunaan sumber, mengurangkan keperluan logistik berulang serta mempercepatkan perkongsian amalan terbaik dalam ekosistem UiTM.

Tujuh komponen berkenaan ialah Pembentangan Akhir Kecemerlangan Operasi (OE2025), Innovation Showcase 2026, Simposium Kecemerlangan Operasi (OE), Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kualiti (JPK), Mesyuarat Sinergi MeQKU 2026, Majlis Anugerah Apresiasi Kualiti (MAAQ 2026) dan Sesi Perkongsian Pemenang Utama OE.

Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata kecemerlangan universiti pada masa kini memerlukan keberanian untuk memperkemas proses kerja, mengurangkan birokrasi dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Beliau berkata pendekatan secara bersepadu penting bagi memastikan sumber, kecekapan operasi dan penyelarasan tadbir urus kualiti dapat digembleng secara lebih strategik.

PESERTA Summit bersepadu QIS2026 yang menggabungkan 7 acara dan mesyuarat utama UiTM.

“Kita tidak lagi boleh bergerak secara berasingan. Penjimatan sumber, kecekapan operasi dan penyelarasan tadbir urus kualiti mestilah digembleng secara sinergi.

“Ia sebenarnya merangkumi keberanian mentransformasi penyampaian perkhidmatan demi impak maksimum kepada pelajar dan pemegang taruh,” katanya.

Sementara itu, QIS 2026 turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dr. Sharmila Mohamed Salleh sebagai penyampai ucaptama.

Beliau merupakan peneraju Pelan Tindakan Dasar Inovasi Sosial 2025-2030 dan pengembangan ekosistem inovasi negara.

Penglibatan beliau dilihat dapat memperkukuh hubungan antara inovasi yang dibangunkan di peringkat universiti dengan aspirasi serta dasar inovasi negara.

Pengerusi QIS 2026 merangkap Pengarah Pengurusan Kualiti, Inovasi dan Kecemerlangan Operasi InQKA, Prof. Madya Ts. Dr.-Ing. Shahrul Azam Abdullah berkata pendekatan bersepadu itu dirangka bagi menangani isu pembaziran masa, sumber dan pertindihan komitmen akibat pelaksanaan program secara berasingan.

“Format bersepadu ini merealisasikan impak sebenar apabila 84 projek inovasi dan 17 finalis OE yang dipamerkan dapat dinilai terus oleh pengurus kualiti untuk disistemasi serta direplikasi ke seluruh cawangan UiTM,” katanya.

Dalam pada itu, Innovation Showcase 2026 menampilkan projek daripada pelbagai cawangan dan fakulti UiTM yang dinilai oleh 21 juri profesional berdasarkan lima subtema utama iaitu Inovasi Digital dan Automasi, Kecekapan Operasi, Kualiti Pengalaman Pelajar, Kelestarian Kampus serta Kesejahteraan Warga.

Sebanyak 84 projek inovasi poster dipamerkan dalam acara berkenaan, manakala lebih 450 warga UiTM terlibat dalam keseluruhan program.

Pembentangan Akhir Kecemerlangan Operasi (OE2025) pula mengetengahkan 17 finalis yang membentangkan usaha penambahbaikan proses kerja masing-masing.

Penganjuran QIS 2026 turut menyokong pemerkasaan Petunjuk Prestasi Utama (PI 094) UiTM yang mengukur penambahbaikan proses kerja secara berasaskan bukti melalui sistem Online Process Improvement Registration (OPIR).

Inisiatif yang diterajui InQKA dengan kepimpinan Penolong Naib Canselor, Profesor Dr. Haslinda Yusoff itu mencerminkan usaha UiTM memperkukuh tadbir urus yang lebih tangkas, berasaskan data dan berorientasikan hasil, selain berpotensi menjadi amalan rujukan kepada organisasi sektor awam yang lain.