Belanjawan 2027: Mahasiswa bukan sekadar penerima bantuan, tetapi pelaburan masa depan negara
Belanjawan MADANI 2027 memberi penekanan terhadap kebajikan mahasiswa, bantuan pendidikan, kemudahan kampus dan pembangunan bakat digital.

PEMBENTANGAN Belanjawan MADANI 2027 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober 2026 membawa mesej penting bahawa pembangunan negara tidak boleh hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi, tetapi perlu diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat dan pembinaan generasi masa depan.
Bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, belanjawan ini turut memperlihatkan kepentingan pelaburan terhadap modal insan sebagai asas kemajuan negara. Bagi institusi pendidikan tinggi, mahasiswa bukan sekadar penerima manfaat pembangunan, sebaliknya merupakan generasi yang bakal menentukan kekuatan ekonomi dan sosial negara.
Peningkatan peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kepada RM19.1 bilion berbanding RM18.6 bilion pada tahun 2026 membuka ruang untuk memperkukuh kualiti pendidikan, kemudahan pembelajaran dan kesejahteraan mahasiswa. Peruntukan ini juga selari dengan penekanan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir terhadap keperluan menaik taraf prasarana institusi, memperbaiki kemudahan penginapan serta memelihara kebajikan pelajar. Namun, keberkesanan pelaburan pendidikan perlu dinilai bukan sahaja berdasarkan pembangunan fizikal, tetapi sejauh mana manfaatnya dapat dirasai oleh mahasiswa daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi.
Kebajikan Mahasiswa Asas Kecemerlangan Akademik
Antara inisiatif signifikan ialah kesinambungan Program Dapur Siswa MADANI dengan peruntukan RM20 juta, termasuk peluasan pelaksanaannya ke politeknik dan Institut Pendidikan Guru. Penyediaan makanan mampu milik menerusi Menu Kasih Siswa pada harga tetap RM5 memperlihatkan bahawa keterjaminan makanan mahasiswa merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan pendidikan tinggi yang perlu diberikan perhatian berterusan.
Pendekatan ini selari dengan pelbagai inisiatif kebajikan yang dilaksanakan institusi pendidikan tinggi, termasuk Dapur HEP dan PitSTOP HEP di Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang menyediakan sokongan makanan serta keperluan asas mahasiswa. Usaha sedemikian wajar diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, industri, alumni dan komuniti agar bantuan tidak bersifat sementara, sebaliknya membentuk ekosistem sokongan yang lebih mampan.
Hakikatnya, mahasiswa yang berdepan kesukaran mendapatkan makanan berkhasiat, menanggung kos pengangkutan atau memenuhi keperluan harian berisiko mengalami gangguan tumpuan pembelajaran. Oleh itu, kebajikan mahasiswa tidak seharusnya dilihat sebagai bantuan sampingan, tetapi sebagai pelaburan langsung terhadap kejayaan akademik, kesejahteraan diri dan kelangsungan pengajian.
Akses Pendidikan Bukan Sekadar Peluang Masuk Universiti
Peningkatan bantuan tiket penerbangan FLYSiswa daripada RM400 kepada RM500, yang dijangka memanfaatkan lebih 60,000 mahasiswa institusi pendidikan tinggi awam, turut memberikan kelegaan khususnya kepada pelajar yang perlu melakukan perjalanan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Bagi institusi yang mempunyai jaringan kampus di seluruh negara, mobiliti mahasiswa merupakan aspek penting dalam memastikan peluang pendidikan dapat dinikmati secara lebih saksama.
Pada masa yang sama, peruntukan RM800 juta bagi menaik taraf prasarana institusi pendidikan tinggi awam, termasuk kediaman mahasiswa dan kemudahan pembelajaran, perlu dilihat sebagai usaha menangani cabaran kos pengajian secara menyeluruh. Pelaburan RM750 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) menerusi Projek Vista Kampus yang melibatkan enam universiti terpilih, termasuk UiTM, turut membuka ruang kepada penyelesaian keperluan penginapan mahasiswa dalam jangka panjang.
Namun, pembangunan fizikal perlu disertai perancangan yang mengambil kira kemampuan kewangan mahasiswa, keselamatan, akses pengangkutan dan keselesaan kehidupan kampus. Matlamat akhirnya bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, tetapi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif, inklusif dan menyokong perkembangan mahasiswa secara holistik.
Daripada Graduan kepada Bakat Masa Depan
Belanjawan 2027 turut memberikan penekanan terhadap pembangunan bakat melalui sasaran 30,000 peluang pekerjaan baharu di bawah inisiatif Bakat MADANI, selain pengukuhan latihan kemahiran dan penguasaan teknologi masa depan. Penambahan 100,000 langganan kecerdasan buatan (AI) percuma serta akses kepada kursus digital membuka peluang kepada mahasiswa memperkukuh kompetensi yang semakin diperlukan dalam pasaran pekerjaan.
Dalam konteks ini, institusi pendidikan tinggi memainkan peranan penting untuk memastikan mahasiswa bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi mampu menguasai dan mengaplikasikannya secara berkesan. Usaha ini turut diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif universiti, termasuk Program UTAMA PLUS UiTM (AI) yang memberikan penekanan terhadap pensijilan dan penguasaan kemahiran kecerdasan buatan sebagai nilai tambah kepada graduan.
Perkembangan ini menuntut universiti memperluas pembangunan mahasiswa melangkaui kecemerlangan akademik semata-mata. Kemahiran kepimpinan, komunikasi, pemikiran kritis, literasi digital, keusahawanan dan keupayaan menyelesaikan masalah perlu dibangunkan secara bersepadu bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja memenuhi keperluan industri, malah berupaya mencipta peluang dan memacu perubahan dalam masyarakat.
Justeru, pembangunan mahasiswa melalui aktiviti kepimpinan, kesukarelawanan, persatuan pelajar dan jaringan industri perlu menghasilkan kompetensi yang boleh dibuktikan. Kejayaan pembangunan mahasiswa sewajarnya tidak hanya diukur berdasarkan jumlah program atau penyertaan, tetapi melalui perubahan kemahiran, pembentukan karakter dan impak yang mampu dibawa oleh mahasiswa kepada masyarakat.
Memperkasa Mahasiswa sebagai Rakan Pembangunan Negara
Dalam aspek kewangan, langkah penambahbaikan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), termasuk penangguhan bayaran kepada peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan, turut memberikan perhatian kepada cabaran peralihan graduan daripada alam pengajian kepada pekerjaan. Dasar ini mengingatkan universiti bahawa tanggungjawab terhadap mahasiswa tidak berakhir pada hari konvokesyen, sebaliknya turut merangkumi persediaan kerjaya, literasi kewangan dan kemampuan membina kehidupan selepas tamat pengajian.

Sehubungan itu, institusi pendidikan tinggi perlu terus memperkukuh kerjasama dengan sektor industri, agensi kerajaan dan institusi kewangan bagi menyediakan peluang latihan, pensijilan profesional, bimbingan keusahawanan serta pendedahan kerjaya. Pendekatan ini penting supaya mahasiswa bukan sahaja bersedia memasuki pasaran pekerjaan, tetapi mempunyai keupayaan mencipta peluang ekonomi dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Belanjawan MADANI 2027 turut membawa tanggungjawab besar kepada kepimpinan universiti untuk memastikan setiap inisiatif yang diumumkan dapat diterjemahkan kepada tindakan yang tersusun, bersasar dan boleh diukur keberkesanannya. Penyelarasan bantuan, pengesanan mahasiswa berkeperluan, jaringan kerjasama serta pemantauan hasil program perlu menjadi sebahagian daripada budaya pengurusan hal ehwal pelajar.
Akhirnya, kekuatan sesebuah belanjawan bukan terletak pada jumlah peruntukan semata-mata, tetapi pada perubahan yang mampu diwujudkan dalam kehidupan generasi muda. Apabila mahasiswa mendapat akses kepada keperluan asas, persekitaran pembelajaran yang baik dan peluang membangunkan potensi diri, universiti bukan sahaja melahirkan graduan berkelayakan, malah membentuk insan berdaya tahan, berintegriti dan bersedia memimpin masa depan negara.
Belanjawan menyediakan peluang, universiti membina keupayaan, dan mahasiswa menentukan bagaimana peluang tersebut diterjemahkan menjadi kemajuan negara.

