Kepimpinan mahasiswa: Impak lebih bermakna daripada sekadar penglibatan
Pembangunan kepimpinan mahasiswa perlu beralih daripada budaya penyertaan kepada budaya keberhasilan.

DALAM dunia kampus, mahasiswa yang aktif sering dikaitkan dengan jumlah program yang disertai, jawatan yang disandang dan sijil yang dikumpulkan. Namun, persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana penglibatan tersebut benar-benar membawa perubahan kepada diri, organisasi dan masyarakat?
Hakikatnya, kepimpinan bukan sekadar keupayaan menggerakkan aktiviti atau mengetuai sesebuah organisasi. Kepimpinan yang bermakna perlu diterjemahkan melalui tindakan, penyelesaian masalah dan sumbangan yang memberikan manfaat berpanjangan.
Perubahan landskap pendidikan tinggi, kemajuan teknologi dan tuntutan dunia pekerjaan menjadikan pembangunan kepimpinan mahasiswa semakin mencabar. Mahasiswa bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, malah berupaya berfikir secara kritis, berkomunikasi dengan berkesan, mengurus perubahan serta membuat keputusan yang bertanggungjawab.
Justeru, pendekatan pembangunan kepimpinan perlu beralih daripada budaya penyertaan kepada budaya keberhasilan. Kejayaan sesuatu program tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peserta, kemeriahan penganjuran atau banyaknya aktiviti, sebaliknya turut dinilai melalui perubahan pengetahuan, kemahiran, sikap dan kesejahteraan kumpulan sasaran.
Membina Kepimpinan Secara Berstruktur
Menyedari kepentingan tersebut, Institut Kepimpinan Pelajar (IKP), Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyediakan pelbagai inisiatif pembangunan kepimpinan bagi memperkukuh kompetensi mahasiswa secara lebih menyeluruh.
Antaranya termasuk Modul Kepimpinan Survival Bangsa, Modul Kepimpinan Dinamik, Modul Kepimpinan Ikon, Modul Kepimpinan Profesional: Juara Komuniti dan Modul Kepimpinan Dinamik Pemantapan yang menyediakan ruang pembelajaran kepimpinan melalui pendekatan berbeza.
Kepelbagaian modul ini membuka peluang untuk mahasiswa mengembangkan keupayaan diri, membina kemahiran pengurusan organisasi dan menterjemahkan pengalaman kepimpinan kepada tindakan yang lebih bermakna.
Pada masa yang sama, elemen integriti dan kenegaraan turut diberikan perhatian melalui Modul Integrity Youth Ambassador dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia serta Modul Kenegaraan dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia.
Inisiatif lain seperti Modul Aspirasi UTAMA, Minds for Success (MiNDS) dan Webinar Kenegaraan melengkapkan usaha pembangunan mahasiswa yang menggabungkan aspek kompetensi, pembentukan sahsiah, nilai dan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial.
Pendekatan sedemikian penting kerana pemimpin mahasiswa tidak boleh dibentuk melalui satu pengalaman atau latihan semata-mata. Sebaliknya, pembangunan kepimpinan memerlukan proses berterusan yang menghubungkan pengetahuan, pengalaman praktikal, pembentukan karakter dan penilaian keberhasilan.
Daripada Aktiviti Kepada Penyelesaian
Antara cabaran utama kepimpinan mahasiswa ialah kecenderungan menjadikan penganjuran program sebagai ukuran kejayaan organisasi. Walaupun aktiviti merupakan wadah penting untuk membina pengalaman, penglibatan tanpa matlamat yang jelas berisiko menghasilkan program yang bersifat sementara dan kurang meninggalkan kesan.
Sebagai contoh, program kebajikan mahasiswa tidak seharusnya dinilai melalui jumlah bantuan yang diagihkan semata-mata. Persoalan lebih besar ialah sama ada bantuan tersebut benar-benar menangani keperluan penerima, meningkatkan kesejahteraan mereka atau membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih mampan.
Begitu juga dengan program komuniti, kejayaan bukan hanya terletak pada jumlah sukarelawan yang terlibat tetapi sejauh mana sesuatu intervensi mampu memberikan manfaat kepada masyarakat. Dalam konteks ini, mahasiswa perlu dilatih mengenal pasti masalah sebenar, merancang penyelesaian, mengurus sumber dan menilai hasil pelaksanaan.
Pendekatan berorientasikan impak turut menuntut kemahiran menyediakan kertas kerja berkualiti, mengurus risiko, merekod pencapaian dan mendokumentasikan hasil program secara sistematik. Kemahiran tersebut membolehkan organisasi mahasiswa membina kesinambungan inisiatif, bukannya memulakan semula usaha yang sama setiap kali berlaku pertukaran kepimpinan.
Teknologi Memperkasa, Integriti Menentukan
Kemunculan kecerdasan buatan (AI) turut membuka dimensi baharu dalam pembangunan kepimpinan mahasiswa. Teknologi ini boleh dimanfaatkan untuk menganalisis keperluan, menjana idea, memperkemas perancangan dan membantu penilaian keberkesanan sesuatu inisiatif.
Bagaimanapun, teknologi tidak boleh menggantikan pertimbangan manusia, nilai integriti dan keupayaan membuat keputusan secara beretika. Pemimpin yang berwibawa bukan sekadar tahu menggunakan teknologi, tetapi mampu menentukan tujuan penggunaannya, menyemak ketepatan maklumat dan mempertanggungjawabkan setiap keputusan.
Keupayaan komunikasi juga tidak kurang pentingnya, khususnya dalam persekitaran digital yang membolehkan maklumat tersebar dengan pantas. Mahasiswa perlu menguasai penulisan berimpak, komunikasi strategik dan literasi media agar sesuatu mesej dapat disampaikan dengan tepat, berhemah dan memberikan nilai kepada masyarakat.
Dalam masa yang sama, kepimpinan berintegriti memerlukan keberanian untuk mengakui kelemahan, menerima teguran dan memperbaiki keputusan. Budaya ini perlu dipupuk sejak di universiti supaya mahasiswa memahami bahawa kredibiliti kepimpinan dibina melalui amanah dan tindakan, bukannya populariti semata-mata.
Mengukur Kejayaan, Membina Legasi
Pengiktirafan dan anugerah kepimpinan sememangnya mempunyai peranan dalam meraikan kecemerlangan mahasiswa. Namun, pengiktirafan seharusnya menjadi hasil daripada sumbangan yang berkualiti, bukan matlamat utama sehingga mengatasi kepentingan penerima manfaat.
Bagi membudayakan kepimpinan berimpak, penilaian program mahasiswa wajar memberikan perhatian kepada beberapa persoalan asas: apakah masalah yang berjaya diselesaikan, siapa yang memperoleh manfaat, apakah perubahan yang dapat dibuktikan dan sejauh mana hasil tersebut mampu dikekalkan?
Penilaian sedemikian bukan bertujuan menafikan kepentingan penyertaan, sebaliknya memastikan setiap peluang kepimpinan menjadi pengalaman pembelajaran yang membentuk kompetensi, tanggungjawab dan kepekaan sosial.
Dalam hubungan ini, usaha berterusan IKP menerusi pelbagai modul pembangunan kepimpinan menyediakan asas penting untuk melahirkan mahasiswa yang bukan sekadar berkebolehan mengurus organisasi, tetapi juga bersedia menyumbang kepada kemajuan universiti, masyarakat dan negara.
Akhirnya, universiti tidak hanya memerlukan mahasiswa yang aktif memegang jawatan, tetapi generasi pemimpin yang mampu meninggalkan perubahan bermakna. Kerana nilai seorang pemimpin bukan terletak pada berapa lama jawatan disandang atau berapa banyak program dianjurkan, tetapi pada impak yang terus dirasai walaupun tempoh kepimpinannya telah berakhir.
