Antara KPI, AI dan amanah ilmu
Hari Akademia bukan sekadar meraikan pensyarah, tetapi turut mengangkat peranan akademia sebagai penjaga ilmu, kebenaran dan integriti.

APAKAH yang berlaku apabila seorang pensyarah terlalu sibuk memenuhi tuntutan akademik sehingga tidak lagi mempunyai masa untuk benar-benar berfikir? Soalan ini mungkin kedengaran sinis, tetapi barangkali wajar ditanyakan sempena Hari dan Bulan Akademia yang disambut pada 5 Oktober setiap tahun.
Hari Akademia bukan sekadar hari untuk mengucapkan terima kasih kepada pensyarah sebagaimana kita meraikan guru pada Hari Guru. Lebih daripada itu, ia seharusnya menjadi ruang untuk kita bertanya semula: apakah sebenarnya makna menjadi seorang akademia?
Hari Guru pada 16 Mei mengangkat peranan guru sebagai pendidik yang membina asas ilmu, karakter, dan pendidikan generasi. Hari Akademia pula membawa kita ke medan yang lebih luas iaitu usaha dan proses pengembangan ilmu, penyelidikan, pemikiran kritis, inovasi, serta pembentukan masyarakat berilmu. Kedua-duanya penting, tetapi medan tanggungjawabnya tidak sama.
Jika guru membantu seseorang mengenal ilmu, akademia mempunyai tanggungjawab untuk terus bertanya: apakah ilmu itu, bagaimana kita mengetahuinya, dan untuk apa ilmu tersebut digunakan? Di sinilah makna akademia menjadi lebih besar daripada sekadar kerjaya, sebelum budaya pengukuran kuantitatif mula menguasai persekitaran universiti masa kini.
Dalam realiti universiti hari ini, kejayaan seseorang akademia sering diukur melalui data kuantitatif seperti jumlah penerbitan, bilangan sitasi, geran yang diperoleh, penyelidikan yang dihasilkan, serta kedudukan universiti dalam ranking.
Semua ukuran ini mempunyai nilai dan tidak wajar dinafikan kerana universiti memerlukan penyelidikan berkualiti, penerbitan berimpak, dan pengiktirafan antarabangsa. Namun, wujud bahaya apabila universiti berubah menjadi sekadar “mesin penerbitan” atau kilang menghasilkan artikel demi memenuhi pangkalan data dan indeks antarabangsa.
Di sebalik angka itu, terdapat sesuatu yang lebih sukar diukur iaitu integriti ilmu, kebebasan berfikir, keberanian intelektual, kejujuran akademik, dan kesediaan untuk mempertahankan kebenaran walaupun ia tidak popular. Seorang akademia bukan hanya penghasil ilmu, tetapi juga “penjaga ilmu”. Sebagai penjaga ilmu, beliau perlu berani mengatakan sesuatu itu benar berdasarkan bukti walaupun majoriti tidak menyukainya, dan pada masa yang sama, perlu berani mengakui bahawa sesuatu yang dipercayainya mungkin salah apabila berhadapan dengan bukti yang lebih kukuh.
Dalam era pasca kebenaran (post-truth), tanggungjawab menjaga integriti dan ketulenan kebenaran ini selari dengan tradisi keilmuan Islam yang amat mendasarkan keabsahan sesuatu maklumat kepada disiplin perantaian (sanad) sebagai kawalan kualiti intelektual yang ketat. Prinsip ini ditegaskan oleh Imam Abdullah bin al-Mubarak menerusi ungkapan tersohor beliau: Sanad (silsilah periwayatan) itu adalah sebahagian daripada agama. Kalau bukan kerana sanad, maka pasti sesiapapun akan berkata apa saja yang dia inginkan (tentang urusan agama).
Ironinya, kita hidup dalam zaman yang mempunyai lebih banyak maklumat berbanding mana-mana generasi sebelumnya, tetapi memiliki cabaran yang besar untuk menentukan apakah yang benar. Maklumat mudah diperoleh, tetapi kebijaksanaan untuk menilai maklumat tidak semestinya berkembang pada kadar yang sama. Kemunculan kecerdasan buatan atau AI kini memberikan cabaran baharu kepada persekitaran universiti.
Pelajar boleh bertanya kepada AI dan memperoleh jawapan dalam beberapa saat, meminta penjelasan sesuatu konsep, meringkaskan buku, menterjemahkan teks, mahupun menghasilkan idea awal untuk tugasan. Apabila mesin semakin cekap memberikan jawapan, timbul persoalan yang tidak boleh dielakkan mengenai fungsi seorang pensyarah di bilik kuliah. Jawapannya bukan dengan berlumba-lumba menjadi mesin yang lebih pantas memberikan maklumat, sebaliknya fungsi akademia seharusnya bergerak lebih jauh iaitu mengajar manusia bagaimana berfikir dan membimbing pembentukan adab yang tidak dapat dilaksanakan secara langsung oleh AI.
Pensyarah perlu mengajar pelajar mempersoalkan andaian, menilai bukti, membezakan fakta daripada manipulasi, mengenal pasti bias, berhujah secara rasional, dan membuat pertimbangan moral. AI mungkin boleh membantu menjawab soalan “apa”, tetapi pendidikan tinggi mesti terus membimbing manusia bertanya “mengapa” dan “untuk apa”. Kita tidak mahu melahirkan graduan yang hanya tahu mencari jawapan, sebaliknya mahu melahirkan manusia yang tahu menilai jawapan serta menjaga adab-adab diri. Namun, untuk melakukan semua itu, akademia sendiri memerlukan ruang untuk berfikir dan bertindak di tengah-tengah bebanan pentadbiran harian.
Hakikatnya, kehidupan seorang pensyarah hari ini semakin kompleks dengan pelbagai rutin seperti mengajar, menyelia pelajar, menghadiri mesyuarat, menyediakan dokumentasi, mengejar KPI, memohon geran, menerbitkan artikel, dan memenuhi keperluan akreditasi. Longgokan tugas pentadbiran ini menimbulkan soalan mendalam yang jarang ditanyakan: Bilakah akademia mempunyai masa untuk benar-benar berfikir?
Kita perlu berhati-hati agar budaya pengukuran (KPI) tidak akhirnya hanya mengukur perkara yang mudah dikira tetapi mengabaikan perkara yang paling penting. Pemikiran yang mendalam tidak semestinya boleh diterjemahkan kepada KPI semata-mata. Perbualan seorang pensyarah dengan seorang mahasiswa yang mengubah cara mahasiswa itu melihat dunia mungkin tidak muncul dalam laporan tahunan. Begitu juga keberanian seorang akademia membetulkan salah faham masyarakat mungkin tidak menghasilkan sitasi yang tinggi, apatah lagi usaha pembentukan cara fikir dan adab pelajar.
Dalam tradisi keilmuan Islam, ilmu bukan sekadar himpunan maklumat atau kelebihan intelektual, tetapi merupakan amanah, adab, dan tanggungjawab manusia. Al-Quran sendiri mengangkat kedudukan orang berilmu, antaranya dalam Surah al-Mujadalah ayat 11 yang menyatakan bahawa Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman dan diberikan ilmu. Oleh itu, universiti tidak boleh menjadi “menara gading” yang hanya bercakap kepada dirinya sendiri.
Ilmu perlu keluar daripada jurnal, persidangan, dan bilik kuliah untuk menyentuh serta memberikan manfaat nyata kepada masyarakat. Ilmu yang hanya tinggal dalam jurnal mungkin memenuhi indeks, tetapi ilmu yang mengubah masyarakat memerlukan keberanian untuk keluar daripada tembok universiti.
Maka, sempena Hari dan Bulan Akademia, mungkin sudah tiba masanya kita tidak hanya bertanya berapa banyak yang telah diterbitkan oleh para pensyarah, tetapi berapa banyak pemikiran yang telah mereka hidupkan; berapa banyak manusia yang telah mereka ubah; dan berapa banyak persoalan penting yang telah mereka berani tanyakan kepada masyarakat. Hari Akademia tidak sepatutnya hanya sekadar menjadi hari untuk meraikan pensyarah, sebaliknya menjadi hari untuk kita meraikan ilmu, kebenaran, dan keberanian untuk berfikir.
Kerana dalam zaman ketika maklumat semakin murah, AI semakin pintar, dan jawapan semakin mudah diperoleh, nilai seorang akademia tidak lagi terletak pada sejauh mana beliau mampu memberikan jawapan. Sebaliknya, nilai itu semakin terserlah pada keupayaannya mengajar manusia bertanya soalan yang betul, serta memastikan ilmu terus mempunyai kebenaran, adab, makna, dan manfaat kepada peradaban manusia.

