Jangan hanya mengecam generasi ‘strawberi’
Generasi terdahulu perlu mewariskan ilmu, pengalaman dan kebijaksanaan bagi membentuk anak muda yang berfikiran matang, berdaya tahan serta berakhlak mulia.
DR. ATIFAH AHMAD YUSOFF (dua dri kanan) mewakili Malaysia dalam pembentangan di Al-Farabi International Symposium 2026 di Almaty, Kazakhstan.

GENERASI ‘Strawberi’. Itulah antara gelaran yang sering diberikan kepada anak muda hari ini. Mereka dikatakan mudah mengalah, tidak tahan tekanan, terlalu sensitif dan kurang mempunyai daya juang berbanding generasi terdahulu. Ungkapan seperti “anak muda sekarang tidak seperti zaman dahulu” juga semakin biasa kedengaran dalam masyarakat.
Namun, dalam keghairahan kita mengecam kelemahan generasi muda, pernahkah kita bertanya satu persoalan yang lebih mendasar? Apakah sebenarnya yang telah kita wariskan kepada mereka?
Kita mengharapkan generasi muda menjadi matang, berilmu, berfikiran jauh dan mempunyai ketahanan menghadapi cabaran kehidupan. Namun, sejauh manakah generasi terdahulu telah menyediakan khazanah ilmu dan kebijaksanaan untuk mereka pelajari?
Persoalan ini mengundang renungan saya ketika menghadiri Al-Farabi International Symposium pada 6 hingga 7 November 2026 di Almaty, Kazakhstan. Persidangan bertemakan Philosophy, Virtue, Future itu menghimpunkan para sarjana dari pelbagai negara bagi membahaskan pemikiran Abu Nasr al-Farabi, tokoh falsafah Islam yang hidup antara tahun 870 hingga 950 Masihi.
Saya turut membentangkan kertas kerja mengenai hubungan agama dan keharmonian masyarakat berbilang agama berdasarkan dua karya penting beliau, iaitu Tahsil al-Sa’adah (Pencapaian Kebahagiaan) dan Kitab al-Millah (Kitab Agama).
Lebih seribu tahun selepas kewafatannya, pemikiran al-Farabi masih dibaca, dikaji dan dibahaskan. Di Kazakhstan, namanya bukan sekadar tercatat dalam buku sejarah, malah diabadikan pada sebuah universiti terkemuka, Al-Farabi Kazakh National University.

Pengalaman tersebut menimbulkan satu persoalan menarik. Bagaimanakah pemikiran seorang sarjana yang hidup lebih seribu tahun lalu masih mampu menjangkau generasi hari ini, sedangkan masyarakat moden sering berhadapan kesukaran merapatkan jurang pemikiran antara generasi yang hanya terpisah beberapa dekad?
Jurang generasi bukan sekadar perbezaan usia
Jurang generasi sering dikaitkan dengan perbezaan teknologi, gaya hidup dan cara berfikir. Generasi lebih tua kadangkala menganggap anak muda semakin jauh daripada nilai tradisi, manakala generasi muda merasakan pandangan orang terdahulu tidak lagi sesuai dengan realiti semasa.
Namun, persoalan yang lebih penting bukanlah menentukan generasi mana yang lebih baik, tetapi bagaimana ilmu dan kebijaksanaan dapat diwariskan tanpa menghalang perkembangan pemikiran baharu.
Al-Farabi tidak membicarakan istilah jurang generasi sebagaimana yang difahami hari ini. Namun, falsafahnya tentang pendidikan, masyarakat yang baik dan pencapaian kebahagiaan memberikan asas untuk kita merenungkan hubungan antara generasi.
Dalam gagasan al-Madinah al-Fadilah, masyarakat yang baik dibentuk melalui kerjasama anggotanya untuk mencapai kebahagiaan sebenar. Prinsip ini boleh diterapkan dalam hubungan antara generasi. Generasi terdahulu memiliki kebijaksanaan yang wajar dihargai, manakala generasi baharu membawa keupayaan memahami cabaran dan perubahan zaman. Kedua-duanya perlu saling melengkapi, bukannya saling menafikan.
Menulis agar hikmah tidak terputus
Pengalaman menghadiri persidangan tersebut mengukuhkan keyakinan saya bahawa antara tanggungjawab besar generasi berilmu ialah meninggalkan khazanah pemikiran melalui penulisan.
Kita masih dapat membahaskan pemikiran al-Farabi kerana beliau meninggalkan karya yang boleh dibaca, dikaji, dikritik dan dikembangkan oleh generasi kemudian. Sekiranya gagasannya hanya disampaikan secara lisan, sebahagian besar khazanah pemikirannya mungkin telah hilang ditelan zaman.
Demikian juga dengan generasi hari ini. Para ilmuwan, pendidik, pemimpin masyarakat dan golongan berpengalaman tidak seharusnya hanya berpuas hati dengan sumbangan ketika masih aktif berkhidmat.
Pengalaman puluhan tahun dalam pendidikan, pentadbiran, dakwah dan pembangunan masyarakat merupakan khazanah yang berharga. Namun, pengalaman tersebut perlu diolah menjadi pemikiran yang dapat dimanfaatkan oleh generasi seterusnya.
Penulisan bukan sekadar mencatat apa yang pernah dilalui, tetapi menuntut seseorang merenung, menganalisis dan merumuskan pengajaran daripada pengalaman tersebut. Pengalaman menjadi sumber pemerhatian, manakala pemikiran memberikan makna dan nilai kepada pengalaman itu.
Justeru, penulisan tidak semestinya terbatas kepada karya akademik yang kompleks. Analisis kritis, refleksi intelektual, penelitian terhadap isu masyarakat dan gagasan yang lahir daripada pengalaman juga mampu menjadi jambatan ilmu antara generasi.
Kita sering mengharapkan anak muda belajar daripada generasi terdahulu. Namun, bagaimanakah mereka dapat mengambil pengajaran sekiranya pemikiran dan kebijaksanaan tersebut tidak pernah ditulis serta diwariskan?
Jangan salahkan anak muda jika ilmu sukar diakses
Selain penulisan, satu lagi pengajaran penting daripada usaha menghargai al-Farabi ialah kepentingan menjadikan ilmu dapat diakses oleh masyarakat.
Kita sering mengkritik generasi muda kerana kurang membaca dan tidak mengenali tokoh besar peradaban. Namun, sejauh manakah kita menyediakan bahan bacaan yang sesuai dan mudah difahami oleh mereka?
Sejarah perkembangan ilmu dalam tamadun Islam memperlihatkan kepentingan tradisi penterjemahan dalam mempertemukan khazanah pemikiran pelbagai peradaban. Al-Farabi sendiri berkembang dalam lingkungan intelektual yang mendapat manfaat daripada penterjemahan karya falsafah terdahulu ke dalam bahasa Arab.
Dalam konteks Malaysia, kerajaan, institusi pendidikan tinggi dan badan penerbitan wajar memperkukuh usaha menterjemahkan karya besar pemikir Islam, termasuk al-Farabi, ke dalam bahasa Melayu.
Usaha ini bukan sekadar menterjemahkan teks asal, tetapi turut menerbitkan karya pengantar, ulasan dan penjelasan yang memudahkan masyarakat memahami gagasan yang kompleks.
Penterjemahan bukan sekadar menukar bahasa. Ia merupakan usaha membuka pintu ilmu kepada masyarakat. Sekiranya karya besar terus terbatas kepada kelompok kecil yang menguasai bahasa tertentu, jurang pengetahuan akan terus melebar.
Membina budaya berfikir, bukan sekadar menghafal
Walau bagaimanapun, penulisan dan penterjemahan sahaja belum mencukupi tanpa budaya membaca serta membahaskan ilmu.
Di sinilah institusi pendidikan, khususnya universiti dan sekolah, perlu memainkan peranan lebih aktif.
Kita sering mengeluh apabila anak muda mudah terpengaruh dengan maklumat media sosial atau kurang berupaya menilai sesuatu isu secara mendalam. Namun, adakah kita telah menyediakan ruang mencukupi untuk mereka membaca secara kritis, mengemukakan hujah dan berdiskusi dengan matang?
Karya al-Farabi, misalnya, boleh dijadikan bahan perbincangan mengenai kebahagiaan, pendidikan, kepimpinan, akhlak dan keharmonian masyarakat.
Pelajar tidak seharusnya hanya diperkenalkan kepada nama tokoh untuk tujuan peperiksaan. Mereka perlu dibimbing memahami persoalan yang dibincangkan, menilai hujah dan menghubungkannya dengan cabaran semasa.
Budaya membaca secara berkumpulan, diskusi karya dan dialog antara pensyarah dengan pelajar mampu menghidupkan tradisi keilmuan. Dalam suasana ini, generasi muda bukan sekadar menerima ilmu, tetapi turut menyumbang kepada perkembangan pemikiran.
Membina generasi, bukan sekadar mengecam
Sudah tentu, memahami cabaran generasi muda tidak bermaksud kita perlu membenarkan segala kelemahan mereka. Generasi muda tetap perlu membina disiplin, daya tahan, kesungguhan menuntut ilmu dan kesediaan menerima teguran.
Namun, pembentukan generasi berkualiti bukanlah tanggungjawab anak muda semata-mata. Ia menuntut kerjasama antara generasi, keluarga, pendidik, institusi dan kerajaan.
Generasi terdahulu perlu menulis agar kebijaksanaan mereka tidak hilang. Kerajaan perlu memperkukuh usaha penterjemahan agar ilmu dapat diakses masyarakat. Institusi pendidikan pula perlu menghidupkan budaya membaca dan berdiskusi agar pemikiran terus berkembang.
Pengalaman di Kazakhstan mengingatkan saya bahawa penghargaan terhadap tokoh besar tidak seharusnya berhenti pada penamaan bangunan, pembinaan monumen atau penganjuran persidangan. Penghargaan sebenar berlaku apabila pemikirannya terus dibaca, dibahaskan dan dimanfaatkan dalam kehidupan masyarakat.
Al-Farabi telah meninggalkan karya yang merentasi lebih seribu tahun. Persoalannya, apakah khazanah pemikiran yang sedang kita tinggalkan untuk generasi akan datang?
Sebelum terus mengecam anak muda sebagai generasi ‘strawberi’, mungkin sudah tiba masanya kita menilai kembali tanggungjawab generasi terdahulu.
Jangan hanya bertanya mengapa generasi muda semakin lemah. Tanyakan juga apakah yang telah kita lakukan untuk menjadikan mereka lebih kuat.

