Nyawa di hujung pendikit menuntut keselamatan penunggang motosikal lebih terjamin

Penunggang motosikal berdepan risiko kemalangan tinggi. Infrastruktur selamat, teknologi pintar dan kesedaran pengguna penting bagi melindungi nyawa di jalan raya.

Feature Image (3)

SETIAP pagi, ribuan motosikal memenuhi jalan raya di Malaysia. Ada yang menuju ke tempat kerja, kampus atau sekolah, sementara yang lain mencari rezeki menghantar makanan dan barangan. Motosikal senang dimiliki kerana ianya murah, mudah dikendalikan dan lincah ketika kesesakan. Namun, kelebihan ini pastinya datang bersama risiko. Tanpa struktur pelindung atau zon remuk seperti kereta, tubuh penunggang menjadi benteng terakhir apabila berlaku perlanggaran.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 1.19 juta orang maut akibat kemalangan jalan raya di seluruh dunia pada 2021. Kecederaan jalan raya juga merupakan punca utama kematian golongan berusia lima hingga 29 tahun. Pada tahun 2021 di Malaysia, kematian dan kecederaan serius dianggarkan menyebabkan kerugian bersamaan sekitar empat peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Keselamatan jalan raya jelas merangkumi isu kesihatan awam, sosial dan ekonomi.

Dua Roda yang Menggerakkan Negara

Bagi ramai rakyat negara kita, motosikal bukanlah pengangkutan sampingan tetapi ianya adalah satu keperluan hidup. Secara global, 24.1 peratus kematian jalan raya melibatkan penunggang motosikal, manakala sekitar 65 peratus motosikal dunia digunakan di Asia. Risiko kematian penunggang di Asia Tenggara lebih tinggi berbanding negara berpendapatan tinggi di Eropah.

Berdasarkan data terkini daripada Kementerian Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), hampir 66 peratus atau dua pertiga daripada keseluruhan kematian akibat nahas jalan raya di Malaysia melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Penunggang motosikal tergolong sebagai pengguna jalan raya rentan (vulnerable road users, VRU). Bayangkan motosikal seberat 150 kilogram berkongsi jalan dengan lori 20 tan. Perbezaan jisim dan momentum menjadikan perlanggaran amat berbahaya.

Kajian di Malaysia turut menunjukkan kemalangan motosikal melibatkan beberapa kenderaan lebih berkemungkinan membawa maut berbanding kemalangan tunggal. Maka, keselamatan bukan sekadar soal sikap penunggang, tetapi juga cara jalan direka dan ruang dikongsi.

Apabila Mengejar Masa Menjadi Risiko

Pertumbuhan perkhidmatan p-hailing menambah cabaran baharu. Antara 2018 hingga Mei 2022, sebanyak 1,242 kemalangan melibatkan penunggang p-hailing direkodkan, termasuklah 112 kematian. Kira-kira 70 peratus kemalangan itu berlaku pada waktu puncak. Keletihan, pemanduan berbahaya dan gangguan perhatian antara faktor penyumbang. Insentif berdasarkan bilangan penghantaran juga boleh mendorong tindakan berisiko.

Telefon pintar membantu navigasi dan urusan pelanggan, tetapi membaca lokasi ketika menunggang membahagikan perhatian. Dalam beberapa saat, penunggang mungkin terlepas pandang kenderaan membrek, lampu isyarat atau pejalan kaki. Teknologi yang memudahkan pekerjaan tidak seharusnya mengorbankan keselamatan.

Jalan yang Baik Belum Tentu Selamat

Lubang kecil di jalan raya yang sekadar menggoncang kereta boleh menyebabkan motosikal hilang kestabilan. Tampalan turapan, alur memanjang, permukaan tidak rata, penutup lurang dan tanda jalan turut mengundang bahaya. Ketika hujan, permukaan tertentu menjadi licin dan tumpahan bahan api pula mengurangkan geseran. Oleh sebab motosikal bergantung pada cengkaman dua tayar, jalan perlu dinilai daripada perspektif penunggang, bukan pemandu kereta semata-mata.

Di sinilah pentingnya konsep infrastruktur yang memaafkan kesilapan (forgiving infrastructure). Manusia mungkin lambat membrek, tersalah menilai selekoh atau hilang tumpuan. Namun, kesilapan kecil tidak sepatutnya berakhir dengan kematian. Bahu jalan mencukupi, turapan baik, zon tepi jalan bebas objek keras dan penghadang penyerap hentaman boleh mengurangkan akibat kemalangan.

Persoalannya bukan hanya “Siapa bersalah?”, tetapi “Mengapa satu kesilapan boleh meragut nyawa?”

Persimpangan dan Ruang Khas Motosikal

Persimpangan ialah lokasi konflik trafik, khususnya apabila motosikal berada dalam titik buta kenderaan besar. Konsep sela kritikal (critical gap) merujuk masa minimum yang diperlukan untuk memasuki atau melintasi aliran trafik dengan selamat. Kajian persimpangan-T menunjukkan reka bentuk Jenis A dengan lorong keluar panjang mempunyai sela kritikal 9.20 saat dan masa susulan 3.32 saat, berbanding 7.00 saat dan 2.50 saat bagi Jenis B dengan lorong keluar pendek. Reka bentuk mempengaruhi keputusan pengguna di mana masa menunggu yang terlalu lama boleh mendorong tindakan mencelah secara berbahaya.

Lorong Motosikal Eksklusif (EML) pula mengasingkan motosikal daripada kereta, bas dan lori. Kajian mengaitkannya dengan kemungkinan kecederaan 14 peratus lebih rendah dan peningkatan kelajuan perjalanan sekitar 10 km/jam. Di Lebuhraya Persekutuan 2, lorong motosikal dilaporkan telah mengurangkan kemalangan sebanyak 39 peratus. Pengalaman di Taiwan, Indonesia dan Thailand turut memperlihatkan manfaat kemudahan khusus ini.

Namun, lorong khas yang sempit, gelap, berlubang atau bersaliran buruk boleh mencipta risiko baharu. Keselamatan menuntut reka bentuk geometri, lebar, turapan, pencahayaan, persimpangan dan penyelenggaraan yang menyeluruh. Lorong ini hanya berkesan apabila penunggang yakin menggunakannya.

Teknologi sebagai Benteng Tambahan

Sistem Brek Antikunci (ABS) membantu mengelakkan roda terkunci ketika membrek kecemasan supaya motosikal kekal terkawal. Kajian menunjukkan pengurangan kemalangan yang menyebabkan kecederaan sebanyak 24 peratus di Itali, 29 peratus di Sepanyol dan 34 peratus di Sweden. Pengurangan kemalangan serius dan maut pula mencapai 34 peratus di Sepanyol serta 42 peratus di Sweden.

Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) menggunakan radar, kamera, GPS dan peta digital untuk mengesan bahaya, membantu brek serta memberi amaran kelajuan di selekoh. Kecerdasan buatan (AI) berpotensi menganalisis data sensor bagi mengenal pasti pola trafik dan tingkah laku berisiko sebelum kemalangan berlaku. Pendekatan ini mengalihkan tumpuan daripada bertindak selepas tragedi kepada mencegahnya lebih awal.

Daripada Mencari Salah kepada Menyelamatkan Nyawa

Teknologi sahaja adalah tidak mencukupi. Topi keledar tetap penting kerana kecederaan otak traumatik merupakan antara punca utama kematian penunggang. Pendidikan, pematuhan peraturan, penguatkuasaan konsisten, kesedaran pemandu kenderaan besar serta kerjasama Kementerian Pengangkutan, Jabatan Kerja Raya dan Polis Diraja Malaysia mesti bergerak seiring.

Pendekatan keselamatan yang menyeluruh juga perlu memberi perhatian kepada golongan yang paling banyak terdedah kepada bahaya. Penunggang yang menggunakan motosikal setiap hari untuk bekerja mempunyai tempoh pendedahan yang panjang, khususnya ketika kesesakan dan hujan. Oleh itu, penyelenggaraan jalan tidak wajar hanya menumpukan kelancaran trafik.

Pemeriksaan permukaan turapan, pembersihan saliran, pembaikan lubang dan pengurusan titik konflik perlu menjadi sebahagian daripada usaha pencegahan. Begitu juga, penguatkuasaan yang berkesan perlu disertai pendidikan supaya pengguna memahami sebab sesuatu peraturan diwujudkan. Pemandu kenderaan berat harus lebih berhati-hati ketika membelok atau menukar lorong kerana motosikal mudah terlindung dalam titik buta.

Penunggang pula perlu mengekalkan jarak selamat, mengelakkan gangguan telefon dan memastikan topi keledar dipakai dengan betul. Gabungan tanggungjawab individu dan reka bentuk sistem yang selamat lebih bermakna daripada menyalahkan satu pihak selepas kemalangan berlaku.

Walaupun lorong khas memerlukan pelaburan, manfaatnya perlu diukur melalui nyawa diselamatkan, kecederaan dielakkan dan kos rawatan dikurangkan. Malaysia mungkin terus bergantung pada motosikal dan matlamatnya bukan menghapuskannya, tetapi menjadikan perjalanan lebih selamat.

Jalan masa hadapan bukan sekadar lebih lebar, pantas atau pintar, malah lebih memaafkan kesilapan manusia. Ukuran kejayaan sebenar bukan jumlah kenderaan yang bergerak sejam, tetapi berapa ramai yang tiba dan pulang dengan selamat.