Jangan raikan cinta baharu jika ada hati yang dikhianati

Kecurangan bukan alasan mengejar kebahagiaan. Pengkhianatan meninggalkan luka emosi, meruntuhkan kepercayaan dan memberi kesan kepada pasangan serta anak-anak.

Feature Image (5)

DI media sosial, gambar pasangan pengantin baharu dihujani ribuan tanda suka, ucapan tahniah dan doa kebahagiaan. Senyuman terpancar, kisah cinta diraikan, seolah-olah semuanya berakhir dengan indah.

Namun, pernahkah kita terfikir bahawa di sebalik kebahagiaan yang dipamerkan, mungkin ada hati yang masih terluka akibat pengkhianatan?

Mungkin ada seorang isteri yang pernah setia mempertahankan rumah tangga, tetapi akhirnya ditinggalkan. Mungkin juga seorang suami yang masih bergelut menerima hakikat bahawa kepercayaannya telah dikhianati.

Lebih menyedihkan apabila hubungan yang bermula dengan penipuan akhirnya dipersembahkan sebagai kisah cinta sejati. Persoalannya, sejak bilakah pengkhianatan boleh dianggap romantik hanya kerana hubungan itu berakhir dengan perkahwinan?

Apabila kecurangan diberi nama cinta

Dalam masyarakat hari ini, hubungan sulit kadangkala diberikan pelbagai alasan untuk kelihatan wajar. Ada yang menyebutnya sebagai keserasian jiwa. Ada pula mempertahankan hubungan dengan alasan pasangan tidak lagi memahami perasaan mereka.

Ungkapan seperti “kami sekadar berkawan” atau “saya juga berhak bahagia” mungkin kedengaran biasa. Namun, apabila hubungan itu melibatkan keintiman romantik yang disembunyikan, pembohongan dan pelanggaran kepercayaan pasangan, ia bukan lagi persahabatan biasa.

Kecurangan tidak semestinya bermula dengan hubungan fizikal. Kadangkala, semuanya bermula apabila seseorang lebih selesa berkongsi masalah peribadi dengan individu lain berbanding pasangan sendiri.

Lama-kelamaan, hubungan emosional semakin mendalam sehingga batas perkahwinan dilanggar. Dari sudut psikologi, tindakan membenarkan kesalahan sendiri boleh dikaitkan dengan konsep moral disengagement, iaitu proses seseorang mencari alasan untuk mengurangkan rasa bersalah terhadap perbuatannya. Hakikatnya, masalah rumah tangga bukan lesen untuk berlaku curang.

Luka pengkhianatan bukan mudah sembuh

Kecurangan bukan sekadar menyebabkan hubungan berakhir. Ia boleh meruntuhkan keyakinan, harga diri dan rasa selamat seseorang. Pasangan yang dikhianati mungkin mengalami keresahan, gangguan tidur, kesedihan berpanjangan dan kesukaran mempercayai orang lain.

Bayangkan seorang isteri yang bertahun-tahun menjaga keluarga, tetapi akhirnya mengetahui suaminya telah lama menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Begitu juga seorang suami yang memberikan sepenuh kepercayaan kepada isterinya, namun mendapati kesetiaannya tidak dihargai.

Lebih menyakitkan apabila pihak yang berlaku curang menyalahkan pasangan terdahulu sebagai punca hubungan baharu terbentuk. Walaupun setiap rumah tangga mempunyai kelemahan, keputusan untuk berlaku curang tetap menjadi tanggungjawab individu yang melakukannya.

Anak-anak juga boleh menerima kesan apabila konflik rumah tangga berlarutan. Mereka mungkin tidak memahami maksud pengkhianatan, tetapi mampu merasakan perubahan apabila ibu sering menangis, ayah semakin jarang pulang atau suasana rumah tidak lagi tenteram.

Perkahwinan sah bukan alasan menghalalkan pengkhianatan

Islam meletakkan perkahwinan sebagai ikatan yang berasaskan kasih sayang, kejujuran dan amanah.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk.”

Peringatan ini mengajar umat Islam supaya menjaga batas pergaulan dan menjauhi perlakuan yang boleh membawa kepada hubungan terlarang.

Perkahwinan baharu yang sah tidak bermakna segala kesalahan terdahulu terhapus secara automatik. Jika pernah berlaku penipuan atau pengkhianatan, individu terbabit tetap perlu bermuhasabah, bertaubat dan bertanggungjawab terhadap hak orang lain yang terjejas.

Cinta yang sebenar tidak sepatutnya dibina atas penderitaan dan penipuan.

Jangan jadikan media sosial mahkamah cinta

Masyarakat juga perlu lebih berhati-hati ketika memberikan sokongan terhadap kisah percintaan yang tular. Tidak semua perceraian berpunca daripada kecurangan. Tidak semua perkahwinan baharu bermula dengan hubungan terlarang.

Oleh itu, kita tidak berhak membuat tuduhan berdasarkan gambar, khabar angin atau cerita sebelah pihak. Namun, apabila pengkhianatan benar-benar berlaku, jangan pula mengangkatnya sebagai lambang keberanian mengejar kebahagiaan.

Menolak kecurangan tidak bermakna kita boleh menghina, mengaibkan atau menyebarkan kisah peribadi seseorang. Sikap yang lebih matang ialah mempertahankan nilai kejujuran sambil menghormati maruah semua pihak.

Jangan tepuk tangan ketika ada hati terluka

Bagi mereka yang pernah dikhianati, proses memulihkan keyakinan diri memerlukan masa. Mereka tidak sepatutnya dipaksa segera melupakan pengalaman pahit atau memaafkan sebelum bersedia.

Sokongan keluarga, sahabat yang dipercayai dan bantuan kaunseling boleh membantu mereka membina semula kehidupan. Kepada mereka yang pernah melakukan kesalahan, perubahan sebenar memerlukan kejujuran dan tindakan, bukan sekadar janji.

Akhirnya, kebahagiaan tidak sepatutnya diukur melalui gambar perkahwinan yang indah atau ribuan ucapan tahniah. Di sebalik senyuman seseorang, mungkin ada insan lain yang masih berusaha menyembuhkan luka.

Jangan terlalu ghairah meraikan cinta baharu sehingga terlupa menghormati hati yang pernah dikhianati.