Ayamas: Video Tular Adalah Palsu, Laporan Polis Telah Dibuat

Screenshot 2026-11-25 174415

KUALA LUMPUR, 25 November 2026 – Ayamas Food Corporation Sdn Bhd (AFCSB) menafikan dakwaan yang tular di media sosial berhubung penemuan bahan menyerupai plastik dalam produk ayam perap sedia dimasak keluaran syarikat dan menyifatkan video yang tular itu sebagai palsu dan mengelirukan.

Ketua Pegawai Operasi AFCSB, Rafiq Moosa, berkata syarikat menyedari kewujudan video berkenaan sejurus selepas ia dimuat naik dan segera menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan tersebut.

“Kami memandang serius setiap perkara yang melibatkan keselamatan dan kualiti produk kami. Sebaik sahaja menyedari kewujudan video tersebut, kami segera menjalankan siasatan dan hasil siasatan mendapati bahawa video berkenaan adalah palsu serta tidak menggambarkan produk kami dengan tepat.

“Kami telah membuat laporan polis dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang berkaitan bagi menangani perkara ini,” kata Rafiq.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan makanan, integriti produk dan keyakinan pengguna kekal menjadi keutamaan tertinggi Ayamas.

“Ayamas merupakan jenama pilihan isi rumah yang dipercayai rakyat Malaysia, dengan pengalaman berdekad-dekad dalam industri ayam. Reputasi kami dibina berasaskan komitmen untuk menawarkan produk ayam berkualiti dan diperakui Halal kepada pengguna di Malaysia,” katanya.

“Kami ingin memberi jaminan kepada para pelanggan bahawa komitmen kami terhadap pematuhan standard keselamatan makanan dan kualiti yang ketat kekal tidak berbelah bahagi. Pengguna boleh terus yakin terhadap produk Ayamas,” tambah beliau.

AFCSB merupakan antara syarikat pemprosesan ayam terkemuka di Malaysia yang mengkhusus dalam penyembelihan yang diperakui Halal, pemprosesan ayam serta penghasilan produk berasaskan ayam. Syarikat ini telah membina kedudukan kukuh dalam industri makanan Malaysia sejak beberapa dekad lalu.

Rafiq berkata syarikat memandang serius penyebaran maklumat palsu dan mengelirukan, khususnya apabila dakwaan sedemikian boleh menimbulkan kebimbangan yang tidak berasas dalam kalangan pengguna serta menjejaskan keyakinan terhadap jenama makanan tempatan yang telah lama dipercayai.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil segala tindakan yang sewajarnya, termasuk tindakan undang-undang jika perlu, bagi melindungi jenama, reputasi serta kepercayaan yang telah diberikan oleh pengguna Malaysia kepada kami selama ini,” tambah beliau.

Ketua Pegawai Operasi AFCSB, Rafiq Moosa

“Kami juga menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan kandungan yang belum disahkan dan menggalakkan pengguna untuk menghubungi pihak Ayamas secara terus sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan atau kebimbangan berhubung produk kami,” katanya.