CEO Series 2027 tumpu pelaksanaan pelaburan dan prospek ekonomi Malaysia
CEO Series 2027 menghimpunkan pemimpin industri bagi membincangkan prospek ekonomi Malaysia, pelaburan, teknologi, perdagangan dan pembangunan tenaga kerja mahir.
CEO Series 2027 akan berlangsung di The Grand Nexus Ballroom, Connexion Conference & Event Centre, Kuala Lumpur pada 12 Januari tahun depan.
KUALA LUMPUR, 25 November 2026 – Keupayaan Malaysia untuk menterjemahkan pelaburan yang diluluskan kepada perniagaan yang beroperasi, pekerjaan bernilai tinggi serta permintaan berterusan terhadap aset perindustrian, komersial dan kediaman akan menjadi antara isu utama yang dibincangkan pada CEO Series 2027 pada 12 Januari tahun depan.
Bertemakan “Malaysia – Menghubungkan Asia dengan Dunia” dengan tema sokongan “Modal, Perdagangan dan Bakat: Di Manakah Asia Melabur, Membina dan Menetap Seterusnya”, persidangan itu akan membentangkan tinjauan dan unjuran ekonomi Malaysia, di samping meneroka bagaimana perubahan aliran modal, perdagangan, teknologi dan trend demografi dapat membentuk landskap ekonomi dan pelaburan Malaysia pada tahun 2027.
Persidangan ini dianjurkan oleh Sekretariat Penganjur Bersama CEO Series 2027, di mana REHDA Institute berperanan sebagai penggerak utama yang disokong oleh lebih daripada 15 persatuan industri. Acara ini akan berlangsung di The Grand Nexus Ballroom, Connexion Conference & Event Centre (CCEC) Kuala Lumpur, dan dijangka menghimpunkan lebih daripada 550 pemegang taruh utama daripada sektor kerajaan dan swasta, termasuk sektor perbankan dan kewangan, pembuatan, pembinaan, hartanah serta pembangunan hartanah.
Pertubuhan yang menyokong CEO Series 2027 termasuk Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA Malaysia), Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM), Persatuan Pengurus-Pengurus REIT Malaysia (MRMA), Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Institusi Jurutera Malaysia (IEM), Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta dan Perunding Harta Swasta Malaysia (PEPS), Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM), Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP), Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM), Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia, Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA), Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), dan GreenRE.
Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysia telah memperoleh kelulusan pelaburan berjumlah RM350.4 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2026, meningkat sebanyak 20.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Kelulusan tersebut melibatkan 4,387 projek yang berpotensi mewujudkan 152,090 peluang pekerjaan apabila dilaksanakan sepenuhnya.
Di bawah Belanjawan 2027, kerajaan telah meramal pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) di antara 4.2 peratus hingga 5.2 peratus pada 2027.
Minat serantau terhadap Malaysia turut dizahirkan semasa Minggu Pemimpin Ekonomi APEC di Shenzhen pada 18 hingga 19 November 2026, apabila Malaysia memperoleh cadangan pelaburan indikatif bernilai RM9.2 bilion daripada syarikat-syarikat China dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi, semikonduktor, bateri dan penyimpanan tenaga, teknologi perubatan serta bahan kimia khusus, tertakluk kepada perincian lanjut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa Malaysia berhasrat menarik pelaburan yang dapat memperkukuh industri tempatan, memindahkan teknologi serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur CEO Series 2027, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip berkata, daya saing Malaysia bergantung pada keupayaannya untuk membangunkan infrastruktur, memperkukuh keupayaan industri serta menyediakan tenaga kerja yang diperlukan bagi menterjemahkan pelaburan kepada aktiviti ekonomi yang berterusan.
“Menarik pelaburan hanyalah sebahagian daripada usaha. Malaysia juga memerlukan infrastruktur, keupayaan industri dan tenaga kerja mahir untuk menterjemahkan pelaburan kepada aktiviti ekonomi yang mampan. Cabarannya adalah untuk memastikan pertumbuhan ini membangunkan industri bernilai tinggi serta memperluas peluang merentasi pelbagai sektor dan wilayah, dan bukannya tertumpu kepada beberapa sektor atau wilayah tertentu sahaja.
“Lawatan delegasi kami baru-baru ini ke Shanghai dan Suzhou menunjukkan bahawa syarikat-syarikat China memandang serius potensi Malaysia. Tugas kami sekarang adalah untuk memastikan cadangan pelaburan ini diterjemahkan kepada pembukaan kilang, pejabat, pembangunan kediaman serta pewujudan peluang pekerjaan di Malaysia, dengan penglibatan pemaju, kontraktor, REIT dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan,” katanya.
CEO Series 2027 turut akan menyambut delegasi antarabangsa yang telah dijemput khas ke Malaysia dari pelbagai destinasi, termasuk Hangzhou, Suzhou dan Shanghai di China serta Jepun, Singapura, Korea dan negara-negara lain.
Susulan lawatan delegasi REHDA Institute baru-baru ini ke Shanghai dan Suzhou, pihak penganjur turut menjemput syarikat-syarikat serta tetamu antarabangsa dari bandar-bandar tersebut. Inisiatif ini menyediakan platform kepada pelabur luar negara untuk bertemu dan berinteraksi dengan penggubal dasar, pemaju, kontraktor serta pemilik aset di Malaysia.
Sesi pleno pada sebelah pagi akan dimulakan dengan pembentangan mengenai penemuan terkini berkaitan Malaysia serta pandangan penarafan kredit oleh S&P Global Ratings. Pembentangan tersebut akan meneliti prospek ekonomi global dan serantau, tinjauan kredit Malaysia serta risiko yang berkaitan dengan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI).
Satu panel yang menghimpunkan pemimpin industri daripada Persekutuan Pembuatan Malaysia (FMM), Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) serta Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) akan membincangkan bagaimana Belanjawan 2027 dapat menyokong peningkatan gaji, memperkukuh firma tempatan dan memacu ekonomi bernilai tinggi, di samping meneliti kos, komitmen serta keperluan dasar bagi industri yang berbeza.
Ekonomi warga emas turut menjadi antara topik utama dalam program sebelah pagi. Anggaran awal pertengahan tahun yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa penduduk berumur 65 tahun ke atas merangkumi 8.4 peratus daripada jumlah populasi Malaysia pada tahun 2026, meningkat berbanding 8.0 peratus pada tahun 2025.
Perbincangan ini akan meneroka sektor penjagaan warga emas, kediaman persaraan serta perkhidmatan berkaitan untuk rakyat Malaysia, di samping peluang menarik pesara dari seluruh Asia untuk menetap di Malaysia. Panel tersebut turut akan mengetengahkan perspektif dari Singapura, Jepun dan Korea mengenai pendekatan serta peluang untuk menarik golongan pesara ke Malaysia.
