Merchantrade Money Memperkenalkan Had Dompet Digital RM30,000

FeaturedImg-01

PETALING JAYA, 19 NOVEMBER 2026 — Merchantrade Asia Sdn Bhd (“Merchantrade”), penyedia fintech dan dompet digital pelbagai mata wang di Malaysia, secara rasmi memperkenalkan penambahan had dompet digital secara automatik kepada RM30,000 bagi pengguna Merchantrade Money yang layak. Pelanggan yang sebelum ini mempunyai had dompet digital sebanyak RM20,000 akan dinaik taraf secara automatik kepada had maksimum baharu itu tanpa sebarang caj.

Penambahan ini seiring dengan tumpuan Merchantrade yang kini lebih terarah kepada keperluan sektor pelancongan, khususnya menjelang musim cuti hujung tahun yang menjadi tempoh kemuncak perjalanan, ketika rakyat Malaysia membuat persiapan untuk perbelanjaan yang lebih besar di luar negara.

Menurut tinjauan Malaysian Domestic & Outbound Travel Behavior 2025 oleh Tourism Malaysia, sebanyak 62.0% rakyat Malaysia melancong ke luar negara, dengan Indonesia, Thailand, China, Singapura dan Jepun antara destinasi pilihan utama. Peningkatan had dompet digital ini memberikan lebih fleksibiliti kepada pelancong untuk menukar mata wang serta menguruskan tempahan bernilai tinggi dan perbelanjaan di luar negara melalui satu platform.

Ramasamy K. Veeran, Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade Asia, berkata: “Penambahan ini mencerminkan usaha kami untuk memahami corak perjalanan dan cara pelanggan menguruskan wang mereka. Pada masa ini, pelancong merancang perjalanan mereka beberapa bulan lebih awal, menetapkan kadar pertukaran bagi pelbagai mata wang dan sering menguruskan keseluruhan bajet keluarga atau kumpulan menggunakan satu dompet digital. Dengan menaikkan had dompet kepada RM30,000 secara automatik, kami dapat memudahkan urusan pengguna menjelang musim perjalanan hujung tahun, di samping memberikan mereka lebih fleksibiliti.”

Bagi memastikan peralihan yang mudah dan lancar, penambahan had kepada RM30,000 ini tidak memerlukan pengguna yang layak membuat permohonan secara manual atau mengemas kini aplikasi. Penambahan tersebut akan dilaksanakan secara automatik tanpa sebarang caj tambahan dalam beberapa hari akan datang.

Sementara itu, pelanggan yang tidak memenuhi syarat kelayakan boleh memohon peningkatan had tersebut pada bila-bila masa melalui aplikasi Merchantrade Money atau dengan mengunjungi mana-mana cawangan Merchantrade di seluruh negara.