Tenang itu bukan kalah, tenang itu tanda hati sudah matang

Belajar menerima kekecewaan, menjaga ketenangan hati dan melepaskan perkara yang tidak mampu dikawal demi kehidupan lebih bahagia dan bermakna.

Feature Image (2)

ADA masa dalam hidup kita, kita sudah berusaha dengan sebaik mungkin. Kita sudah memberi dengan ikhlas. Kita sudah berharap dengan penuh keyakinan. Kita sudah meletakkan sepenuh jiwa kepada sesuatu yang kita sangka akan menjadi baik untuk kita tetapi akhirnya, apa yang kita harapkan itu tidak menjadi seperti yang kita sangka.

Pada saat itu, hati kita akan rasa sebak. Ada rasa kecewa yang sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata. Bukan kerana kita tidak bersyukur tetapi kita manusia yang mempunyai harapan dan apabila harapan itu tidak kesampaian, wajar hati kita berasa pedih buat seketika. Kita tidak perlu malu dengan rasa itu. Kita tidak perlu berpura-pura kuat sedangkan di dalam kita sedang bergelut.

Kecewa Itu Bukan Tanda Kita Lemah

Ramai orang menyangka, bila kita kecewa, itu bermakna iman kita lemah atau hati kita tidak kuat. Sebenarnya tidak begitu. Kecewa itu sebahagian daripada perjalanan hati kita untuk belajar dan menjadi matang. Setiap orang yang pernah berharap, pasti pernah kecewa. Setiap orang yang pernah memberi dengan ikhlas, pasti pernah berasa sakit apabila pemberiannya tidak dihargai seperti yang diharapkan.

Yang membezakan kita bukan sama ada kita pernah kecewa atau tidak. Semua orang pernah kecewa. Yang membezakan kita ialah apa yang kita pilih selepas kekecewaan itu datang. Ada yang memilih untuk membalas. Ada yang memilih untuk menyimpan dendam. Ada yang memilih untuk terus mengungkit. Akhirnya, yang paling penat bukan keadaan itu tetapi diri kita sendiri kerana hati yang sibuk mahu keadaan kembali seperti dulu, tidak akan pernah berasa tenang.

Sebab itu, tazkirah ini bukan untuk menyalahkan sesiapa. Ia peringatan untuk diri kita sendiri. Kita berhak untuk kecewa tetapi kita tidak perlu tinggal lama di dalamnya.

Tenang Itu Satu Pilihan, Bukan Bakat

Ketenangan bukan bermakna kita tidak berasa apa-apa. Ketenangan bermakna kita memilih untuk tidak membiarkan perasaan menguasai seluruh hidup kita. Ramai orang ingat orang yang tenang itu dilahirkan tenang. Hakikatnya, orang yang tenang itu telah berkali-kali belajar untuk tenang, walaupun hatinya sedang ribut.

Orang yang tenang bukan orang yang tidak pernah dilukai. Dia pernah dilukai tetapi dia belajar untuk tidak membalas luka dengan luka yang baru. Dia belajar untuk diam seketika. Dia belajar untuk menarik nafas. Dia belajar untuk berkata kepada dirinya sendiri, “Cukuplah. Aku tidak mahu hati aku rosak lebih lama kerana perkara yang sudah lepas.” Dia tidak lari daripada rasa sakit itu. Dia menghadapinya dengan lembut, kemudian melepaskannya perlahan-lahan.

Tenang itu adalah apabila kita berhenti mengejar jawapan yang tidak akan datang. Tenang itu adalah apabila kita berhenti mengharapkan pengakuan yang tidak akan diberi. Tenang itu adalah apabila kita berhenti mengukur nilai diri kita melalui apa yang orang lain buat kepada kita. Cukuplah kita menjadi tenang di hadapan diri kita sendiri. Cukuplah kita mampu berkata, “Aku reda. Aku terima. Aku akan teruskan hidupku dengan cara yang lebih baik.”

Ketenangan Mesti Dijaga, Bukan Ditunggu

Satu perkara yang sering kita silap faham ialah kita menunggu masa untuk menyembuhkan kita. Kita kata, “Nanti lama-lama, aku akan ok juga” tetapi masa tidak menyembuhkan hati yang tidak dijaga. Masa hanya akan berlalu manakala luka itu akan kekal jika kita terus mengoreknya setiap hari dengan mengingati semula, dengan mengulang cerita yang sama dan dengan membuka kembali perkara yang sepatutnya sudah kita tutup.

Menjaga ketenangan bermakna kita perlu menjaga apa yang kita lihat, apa yang kita denga dan apa yang kita fikirkan. Jika sesuatu itu membuatkan hati kita kembali sakit setiap kali kita melihatnya, kita perlu belajar untuk menjauh buat seketika. Bukan kerana kita benci tetapi kita sayang pada diri kita. Jika sesuatu perbualan itu hanya mengundang rasa marah dan sebak, kita perlu belajar untuk diam dan tidak melayannya lagi.

Ketenangan juga dijaga melalui cara kita mengisi hari kita. Apabila kita sibuk dengan kerja yang bermanfaat, apabila kita meluangkan masa bersama orang yang menenangkan kita, apabila kita mula menjaga solat, tidur, makan dan kesihatan kita dengan lebih baik, hati kita akan mula pulih sedikit demi sedikit. Kita tidak perlu perubahan yang besar dalam sehari. Cukuplah satu kebaikan kecil setiap hari untuk diri kita sendiri. Lama-kelamaan, kebaikan kecil itu akan menjadi benteng yang kuat untuk hati kita.

Bila Kita Tenang, Kita Nampak Jalan Yang Sebelum Ini Tertutup

Apabila kita memilih untuk tenang, kita akan perasan satu perubahan yang halus tetapi sangat bermakna. Hati kita yang sebelum ini sempit, mula menjadi lapang. Fikiran kita yang sebelum ini berserabut, mula menjadi jernih. Tidur kita mula menjadi lebih lena. Senyuman kita mula menjadi lebih ikhlas, bukan lagi senyuman yang dipaksa untuk menutup kesedihan.

Ini kerana ketenangan itu bukan sekadar diam. Ia tanda kita sudah melepaskan beban yang tidak perlu kita pikul lagi. Kita sudah tidak lagi mahu mengawal apa yang di luar kawalan kita dan tidak lagi memaksa sesuatu yang bukan lagi untuk kita. Tidak semua perkara perlu kita fahami sekarang. Ada perkara yang akan menjadi jelas dengan sendirinya, apabila hati kita sudah cukup tenang untuk melihatnya.

Perkara paling indah, apabila kita tenang, kita akan mula nampak bahawa masih banyak perkara baik di sekeliling kita. Masih ada keluarga yang menyayangi kita. Masih ada sahabat yang mendoakan kita dalam diam. Masih ada rezeki yang sedang menanti kita. Masih ada masa depan yang lebih baik yang sedang dibina perlahan-lahan untuk kita.

Semua ini tidak kelihatan semasa kita masih marah dan kecewa, kerana hati yang keruh tidak dapat melihat keindahan yang dekat dengannya tetapi apabila hati sudah jernih, barulah kita sedar betapa banyak nikmat yang masih tinggal untuk kita syukuri.

Kecewa itu mungkin akan datang lagi. Itu lumrah kehidupan tetapi setiap kali ia datang, biarlah kita menyambutnya dengan hati yang lebih matang daripada sebelum ini. Biarlah kita tidak lagi menyerahkan ketenangan kita kepada perkara yang tidak dapat kita kawal. Cukuplah kita lebih cepat sedar, lebih cepat diam dan lebih cepat kembali kepada diri kita.

Kita tidak perlu menjadi orang yang paling gembira. Cukuplah kita menjadi orang yang paling tenang kerana orang yang tenang, walau dikecewakan berkali-kali, dia tetap akan mampu bangun semula, tanpa perlu menyakiti sesiapa dan tanpa perlu menyakiti dirinya sendiri.