AL-`AQAR HEALTHCARE REIT CATATKAN PENINGKATAN 13.6% DALAM MASA 9 BULAN, MENGAGIHKAN PULANGAN LEBIH TINGGI KEPADA PEMEGANG UNIT

Screenshot 2026-11-27 100133

KUALA LUMPUR, 27 November 2026 – JLG REIT Managers Sdn. Bhd., Pengurus Al-Aqar Healthcare REIT (Al-Aqar REIT), REIT penjagaan kesihatan Islam pertama di dunia dan satu-satunya REIT penjagaan kesihatan patuh Syariah di Malaysia, mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (S3 2026), sekali gus mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun untuk suku keempat berturut-turut sejak selesai mengambil alih dua hospital KPJ pada Oktober 2025.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 (9B 2026), Al-`Aqar REIT merekodkan hasil sebanyak RM99.6 juta, meningkat 13.6% berbanding RM87.7 juta pada tahun sebelumnya. Pendapatan Bersih Hartanah (NPI) turut meningkat sebanyak 14.6% kepada RM87.5 juta daripada RM76.3 juta setahun lalu. Peningkatan hasil dan NPI ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh pendapatan sewaan daripada bangunan yang baru diperoleh, iaitu KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital dan KPJ Penang Specialist Hospital.

Keuntungan Selepas Cukai (PAT) bagi 9B 2026 berjumlah RM51.8 juta, mencatatkan peningkatan sebanyak 7.9% tahun ke tahun berbanding RM48.0 juta pada tahun sebelumnya.

Bagi prestasi suku tahunan, Al-`Aqar REIT merekodkan pertumbuhan hasil dan NPI masing-masing sebanyak 13.7% dan 15.7%, manakala PAT meningkat sebanyak 14.9% kepada RM18.7 juta pada S3 2026.

Al-`Aqar REIT mengisytiharkan agihan pendapatan interim ketiga sebanyak 2.07 sen seunit bagi S3 2026, menjadikan jumlah keseluruhan agihan pendapatan bagi 9B 2026 sebanyak 5.76 sen seunit, berbanding 5.20 sen yang diagihkan pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurus, Zulhilmy Kamaruddin, berkata, “Al-`Aqar REIT terus mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, disokong oleh sumbangan pendapatan sewaan yang berterusan daripada bangunan baharu KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital dan KPJ Penang Specialist Hospital. Peningkatan prestasi operasi kami mencerminkan manfaat daripada pengembangan portfolio serta tumpuan berterusan terhadap pengurusan perbelanjaan hartanah.

“Melangkah ke hadapan, kami kekal positif terhadap prospek jangka panjang sektor penjagaan kesihatan Malaysia. Peruntukan sebanyak RM200 juta oleh Kerajaan menerusi Belanjawan 2027 bagi memperluas Program Outsourcing Perkhidmatan Hospital (HSOP) mencerminkan sokongan berterusan terhadap kerjasama sektor awam dan swasta dalam penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan. Bersama-sama dengan akses yang lebih meluas kepada perlindungan perubatan melalui MediAsas, inisiatif ini menyokong permintaan berterusan terhadap fasiliti penjagaan kesihatan swasta yang berkualiti dan seterusnya nilai jangka panjang aset hartanah penjagaan kesihatan milik kami.

“Walaupun ketegangan geopolitik global dan peningkatan tekanan kos mungkin menimbulkan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan secara lebih meluas, aset penjagaan kesihatan secara historiknya menunjukkan ciri-ciri defensif, disokong oleh sifat perkhidmatan penjagaan kesihatan yang penting dan bukan bersifat pilihan.

“Dalam keadaan ini, tumpuan kami kekal kepada pengukuhan daya tahan portfolio melalui struktur pajakan jangka panjang dan pengurusan modal yang berdisiplin, di samping meneroka peluang terpilih yang mampu meningkatkan hasil bagi memastikan pulangan jangka panjang yang mampan kepada pemegang unit kami.”