AL-SALĀM REIT CATATKAN PENINGKATAN 78.8% DALAM KEUNTUNGAN SELEPAS CUKAI BAGI 9 BULAN 2026, SEIRING PERSIAPAN KOMTAR JBCC MENJELANG OPERASI RTS LINK

Screenshot 2026-11-27 101552

KUALA LUMPUR, 27 November 2026 – JLG REIT Managers Sdn Bhd., Pengurus Al-Salām Real Estate Investment Trust (Al-Salām REIT), hari ini mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (S3 2026).

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9B 2026), Al-Salām REIT merekodkan hasil sebanyak RM68.5 juta, meningkat 4.3% berbanding RM65.7 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya. Peningkatan ini sebahagian besarnya didorong oleh sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada KOMTAR JBCC, disokong oleh peningkatan pendapatan sewaan.

Pendapatan Bersih Hartanah (NPI) bagi 9B 2026 meningkat sebanyak 6.8% kepada RM47.8 juta berbanding RM44.7 juta pada tahun sebelumnya. Peningkatan NPI, bersama-sama kos pembiayaan Islam yang lebih rendah, menyumbang kepada kenaikan 71% dalam Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) kepada RM17.2 juta, manakala Keuntungan Selepas Cukai (PAT) meningkat sebanyak 78.8% kepada RM17.2 juta berbanding RM9.6 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagi suku yang dikaji, Al-Salām REIT merekodkan hasil sebanyak RM23.3 juta dan NPI sebanyak RM15.9 juta, masing-masing meningkat 4.8% berbanding suku sama tahun sebelumnya. Peningkatan NPI ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh prestasi lebih kukuh daripada segmen peruncitan, pejabat dan perindustrian. PBT meningkat sebanyak 46.7% kepada RM5.5 juta, disokong oleh peningkatan NPI dan kos pembiayaan Islam yang lebih rendah, manakala PAT meningkat sebanyak 66.1% kepada RM5.5 juta.

Al-Salām REIT mengisytiharkan agihan pendapatan interim ketiga sebanyak 0.86 sen seunit bagi S3 2026, menjadikan jumlah keseluruhan agihan pendapatan bagi 9B 2026 sebanyak 2.68 sen seunit berbanding 1.50 sen seunit dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurus, Zulhilmy bin Kamaruddin, berkata, “Prestasi kami bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 mencerminkan kemajuan berterusan dalam memperkukuh keupayaan portfolio sedia ada untuk menjana pendapatan. KOMTAR JBCC kekal sebagai pemacu utama prestasi kami, dengan peningkatan pendapatan sewaan menyumbang kepada pertumbuhan segmen peruncitan. Bersama-sama sumbangan lebih kukuh daripada segmen pejabat dan perindustrian serta penjimatan kos pembiayaan Islam, penambahbaikan ini telah menyokong peningkatan keuntungan sepanjang tempoh tersebut.

“Dengan perkhidmatan penumpang Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS Link) kini dijangka bermula pada Februari 2027, tumpuan kami adalah untuk meletakkan KOMTAR JBCC pada kedudukan terbaik bagi memanfaatkan jangkaan peningkatan jumlah pengunjung yang merentasi sempadan. Pada tahun ini sahaja, kami telah menerima 12 penyewa baharu di pusat beli-belah tersebut, merangkumi sektor makanan dan minuman (F&B), farmasi dan penjagaan diri, serta kecantikan dan kesejahteraan. Usaha ini menyokong inisiatif pembaharuan dan penyusunan semula penyewa yang sedang dilaksanakan di pusat beli-belah berkenaan.

“Usaha berterusan kami untuk mengoptimumkan campuran penyewa, meningkatkan kualiti penyewaan serta memperbaiki kesalinghubungan melalui projek Jejantas Pejalan Kaki yang akan menghubungkan KOMTAR JBCC dengan stesen RTS Link Bukit Chagar bertujuan memperkukuh potensi aset ini dalam menjana pendapatan jangka panjang.

“Pelanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia hingga 2027 turut memberikan momentum tambahan kepada usaha ini. Singapura kekal sebagai antara sumber pelawat terbesar Malaysia, dan dengan KOMTAR JBCC terletak dalam jarak berjalan kaki dari kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), kami berada pada kedudukan strategik untuk memenuhi keperluan pengunjung yang merentasi sempadan serta pelancong.

Peruncitan – Pertumbuhan Sewaan yang Berterusan

Segmen peruncitan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak RM3.1 juta bagi 9B 2026 berbanding 9B 2025, sebahagian besarnya disumbangkan oleh pendapatan sewaan dan pendapatan promosi yang lebih tinggi daripada KOMTAR JBCC.

Sehingga 30 September 2026, kadar penghunian KOMTAR JBCC berada pada paras 66% berbanding 70% pada tahun sebelumnya. Sejak awal 2026, pusat beli-belah tersebut telah memperoleh 12 penyewa baharu merangkumi pelbagai kategori seperti makanan dan minuman (F&B), peruncitan barangan runcit, perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan, kecantikan dan kesejahteraan, farmasi dan penjagaan diri serta jam tangan dan barang kemas.

Dengan perkhidmatan penumpang RTS Link dijangka bermula pada Februari 2027, KOMTAR JBCC berada pada kedudukan strategik untuk mendapat manfaat daripada peningkatan jumlah pengunjung yang merentasi sempadan, memandangkan lokasinya yang strategik di Johor Bahru. RTS Link akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura, dengan kapasiti maksimum sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah.

Perindustrian dan Lain-lain – Sumbangan NPI yang Stabil

Segmen perindustrian dan lain-lain mencatatkan sedikit peningkatan hasil bagi 9B 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, sebahagian besarnya disumbangkan oleh kadar sewaan yang lebih tinggi susulan pembaharuan perjanjian penyewaan. NPI kekal stabil sepanjang tempoh tersebut, disokong oleh pengaturan pajakan induk dan penyewaan jangka panjang yang memberikan keterlihatan pendapatan serta mengurangkan risiko kekosongan premis.

Pejabat – Peningkatan Pendapatan Sewaan dan NPI

Segmen pejabat turut mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 5.8% bagi 9B 2026, terutamanya didorong oleh kadar sewaan yang lebih tinggi. NPI meningkat sebanyak 20.7% bagi 9B 2026, disokong oleh peningkatan pendapatan sewaan dan pengurangan perbelanjaan operasi hartanah.

Makanan dan Minuman (F&B) – Rasionalisasi Portfolio

Segmen makanan dan minuman (F&B) mencatatkan sedikit penurunan hasil sebanyak RM0.7 juta bagi 9B 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan pelupusan KFC Jalan Kuchai Lama. Selepas tempoh pelaporan, pelupusan KFC Bandar Sunway telah selesai pada Oktober 2026.