Lapan sekolah mara ke separuh akhir Kuiz Perakaunan Negeri Pahang 2025
Peringkat separuh akhir dan akhir akan diadakan secara bersemuka di UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah pada 26 April 2025.

MUADZAM SHAH, 21 April 2025 – Sebanyak lapan pasukan dari seluruh negeri Pahang berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Kuiz Perakaunan Negeri Pahang (KPNP) 2025 yang merupakan edisi sulung anjuran UNITEN Business School dengan kerjasama pelbagai rakan strategik.
Peringkat saringan yang berlangsung secara dalam talian menerusi platform Zoom pada 16 April 2025 telah menyaksikan penyertaan luar biasa daripada 157 pasukan yang terdiri daripada pelbagai sekolah menengah di seluruh negeri Pahang.
Majlis perasmian peringkat saringan telah disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Mat Isa yang turut menyampaikan ucapan semangat dan sokongan kepada para peserta.
Selepas persaingan sengit di peringkat saringan, lapan sekolah terpilih untuk mara ke peringkat separuh akhir ialah SMK Sultan Abu Bakar, SMJK Tanah Puteh, SMJK Hwa Lian, SMK Seri Bahagia, Maahad Tahfiz Negeri Pahang, MRSM Muadzam Shah, MRSM Kuantan dan SMK Agama Pahang.
Peringkat separuh akhir dan akhir akan diadakan secara bersemuka di UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah pada 26 April 2025, sekali gus memberi peluang kepada para pelajar untuk menunjukkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang perakaunan secara langsung.
Menambahkan lagi debaran, lapan pasukan ini akan bersaing untuk merebut hadiah utama berupa tajaan yuran pengajian di UNITEN bernilai RM12,000,wang tunai bernilai RM600, trofi kejuaraan serta sijil penghargaan yang ditawarkan kepada para pemenang.
Pengarah Program, Nik Abdul Qayyum Nik Azhar berkata, program sebegini amat signifikan dalam memberi impak positif kepada para peserta bukan sahaja dari aspek pengetahuan akademik tetapi turut menyumbang kepada pembentukan karakter, nilai diri dan keyakinan pelajar sebagai persediaan menghadapi alam pengajian tinggi.
“KPNP bukan sekadar satu pertandingan ilmu tetapi merupakan sebuah platform pemerkasaan pelajar, mencungkil bakat muda dalam bidang perakaunan, menyemai minat yang mendalam serta memupuk budaya kecemerlangan dalam kalangan pelajar sekolah menengah di negeri Pahang,” ujar beliau.
Sebagai penganjuran kali pertama, program ini diharap dapat menjadi platform tahunan yang berprestij dalam meningkatkan minat pelajar terhadap subjek Perakaunan serta mendedahkan mereka kepada suasana pembelajaran yang lebih interaktif dan kompetitif.
Penganjuran program ini turut disokong oleh rakan strategik iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Yayasan Canselor UNITEN (YCU), Malaysian Institute of Accountants (MIA), The Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) dan Yayasan Pahang.
Kerjasama padu antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan badan profesional ini menjadi bukti komitmen bersama dalam memperkasa pendidikan serta melahirkan generasi celik akaun yang berdaya saing.