KUALA LUMPUR, 23 April 2024 – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkongsi gambar 10 mangsa korban kejadian dua buah helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada Selasa.
TLDM dalam satu kenyataannya berkata, kesemua mangsa merupakan tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM telah terkorban dalam nahas tersebut.
Katanya, mereka yang terkorban adalah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad; Leftenan T Sivasutan (juruterbang Skuadron 502) serta Pegawai Waran II, Mohd Shahrizan Mohd Termizi (Kuartermaster Udara Skuadron 502).
Selain itu menurutnya, mangsa terlibat adalah Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin serta Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd Marzukhi.
“Mangsa seterusnya adalah Kuartermaster Udara Skuadron 503, Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun.
“Sementara itu, tiga anggota wanita yang maut adalah Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna daripada Markas Udara TLDM; Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy (Depot Bekalan Armada Barat) serta Bintara Muda Nor Rahiza Anuar (Depot Bekalan Armada Barat),” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut, TLDM meminta orang ramai agar tidak menularkan foto dan video bagi menjaga sensitiviti serta privasi keluarga serta tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.
Sementara itu, prosedur bedah siasat 10 jenazah dijangka selesai disempurnakan lewat tengah hari esok.
Timbalan Pengarah Perubatan I, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr Liaw Kok Toon memaklumkan pihaknya telah menerima kesemua jenazah bagi prosedur bedah siasat sekitar jam 6 petang tadi di perkarangan Jabatan Forensik HRPB.
Terdahulu, media melaporkan jenazah 10 mangsa tragedi dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut tiba di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini petang Selasa.
Jenazah kesemua mangsa dibawa dengan van jenazah TLDM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk dua ambulans tiba pukul 6 petang untuk tujuan bedah siasat setelah menjalani proses pengecaman waris di Hospital Angkatan Tentera Malaysia Lumut, sejak tengah hari tadi.
Nahas membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6) yang berlaku pada 9.32 pagi tadi semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.