Kuala Lumpur, 7 Mei 2024 – Seorang lelaki berusia 47 tahun maut manakala seorang lagi lelaki berusia 26 tahun cedera dalam insiden pokok besar tumbang di Jalan Sultan Ismail pada petang Selasa.
Penolong Pengarah Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, M. Fatta M. Amin berkata, dua mangsa tersebut tersepit dalam kenderaan masing-masing dan berjaya dikeluarkan anggota bomba.
“Salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) manakala seorang lagi yang cedera terus menerima rawatan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memaklumkan, insiden itu menyebabkan 17 buah kenderaan rosak dan landasan monorel berhampiran turut terhalang oleh dahan daripada pokok tumbang tersebut.
Kejadian itu juga menyebabkan kerosakan fasiliti awam di kawasan itu termasuk perhentian bas di tepi laluan berkenaan.
“Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur terima panggilan kecemasan pada jam 14.19 petang, seterusnya menghantar jentera ketempat kejadian.
“Keluaran pasukan operasi daripada BBP Jalan Hang Tuah bersama tiga balai bantuan, BBP Titiwangsa, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Sentul bersama jentera FRT-4 dan EMRS-4, dengan kekuatan 27 orang anggota lain-lain pangkat,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mewujudkan semula garis panduan untuk memantau pemuliharaan pokok-pokok tua di sekitar Kuala Lumpur.
Katanya, DBKL telah mengenal pasti banyak pokok berusia 50 sehingga 80 tahun di sekitar ibu negara.
Tindakan itu bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan penjalan kaki terjamin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemeriksaan semua pokok di Kuala Lumpur dilakukan dua tahun sekali.
“Pokok yang tumbang hari ini pokok lama berusia lebih 50 tahun dan ia di bawah pemantauan pihak swasta,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, DBKL akan memperincikan bentuk bantuan dan pampasan kepada mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan.