Video kreatif kemerdekaan menjelmakan potensi, bakat seni

Pelbagai aktiviti disusun untuk mengekspresi semangat jiwa merdeka melalui program dan pertanding antaranya program pemasangan bendera Jalur Gemilang, tayangan filem patriotik, ceramah dan forum.

Feature Image (1)

SAMBUTAN Hari Kemerdekaan adalah salah satu acara yang dinantikan disemua peringkat organisasi, jabatan, agensi, persatuan, komuniti setempat dan keseluruhan rakyat Malaysia.

Sambutan yang menterjemahkan semangat patriotik, penghayatan perpaduan dan menghargai sejarah perjuangan negara.

Terdapat pelbagai aktiviti yang telah disusun untuk mengekspresi semangat jiwa merdeka melalui program dan pertanding antaranya program pemasangan bendera Jalur Gemilang, tayangan filem patriotik, ceramah dan forum serta pelbagai lagi.

Tidak ketinggalan juga pertandingan yang memfokuskan sentuhan bakat kreatif seperti penulisan esei, membina replika atau bangunan ikonik/bersejarah dan penghasilan video kreatif.

Kesemua ini dirangkum untuk menyemai dan menyantuni semangat cintakan tanah air terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Melalui penulisan kali ini, perhatian adalah menjurus kepada pertandingan video kreatif kemerdekaan yang dilihat mampu untuk menjelmakan potensi dan bakat seni melalui lensa.

Kebiasaannya penganjur bagi setiap pertandingan video kreatif akan menetapkan syarat dan terma tertentu mengikut kesesuaian pertandingan kerana pada akhirnya hasil karya kreatif akan dinilai bagi tujuan pemilihan pemenang.

Pihak penganjur akan menentukan kategori penyertaan yang dipertandingkan seperti format video dan golongan peserta sasaran.

Antara format yang popular untuk dipertandingkan adalah seperti sketsa pendek, pesanan khidmat masyarakat, gubahan lagu, mini dokumentari dan pelbagai lagi mengikut tema yang telah ditetapkan.

Kategori penyertaan juga akan ditentukan pengkhususan sama ada terbuka kepada semua lapisan masyarakat secara umum atau dibahagikan mengikut kategori peringkat umur.

Lazimnya durasi video diantara satu hingga tiga minit mengikut kesesuaian format dan sudah semestinya mesej serta naratif yang mengangkat tema secara kreatif adalah tunjang yang menjadi keutamaan dalam menentukan kemenangan.

Pembikinan video kreatif yang bertemakan kemerdekaan dan semangat patriotik adalah suatu galakan positif dalam ertikata mendidik masyarakat tentang erti kemerdekaan dalam konteks yang luas.

Video kreatif dilihat antara platform terbaik untuk meluahkan dan menunjukkan rasa cinta kepada negara mengikut acuan pemikiran kreatif para peserta yang mempunyai idea serta gagasan yang berbeza dalam menzahirkan semangat kemerdekaan.

Pertandingan video kreatif berupaya menjadi galakan kesedaran untuk meningkatkan rasa cinta kepada negara dan menyatukan rakyat tanpa mengira bangsa, agama, budaya dan latar belakang yang berbeza.

Mengeratkan perpaduan dan keharmonian bersempena hari kemerdekaan merupakan usaha murni yang harus diberi pujian.

Melalui persembahan video kreatif dapat menginspirasi semangat dan jati diri andainya berupaya memaparkan alur cerita menarik dalam menyemai dan membangkitkan jiwa merdeka serta perasaan positif mendepani hari-hari mendatang yang semakin mencabar.

Daripada pertandingan ini kita dapat lihat generasi muda datang dengan pelbagai idea kreatif berdasarkan pemerhatian dan pengalaman serta gaya penyampaian mereka kerana zaman, keadaan dan persekitaran serta cara berfikir generasi muda hari ini sudah tentunya berbeza dengan generasi sebelumnya.

Sememangnya video dan seni kreatif itu sentiasa berubah, tidak bersifat statik dan senada dengan zamannya.

Yang pasti garapan idea mengikut konteks generasi muda adalah didambakan bagi takrifan kepada sebuah erti kemerdekaan dengan nafas baharu.

Jalan cerita yang menarik dengan sokongan teknologi suntingan berupaya menghasilkan ekspresi merdeka dengan lebih berkesan dan meyakinkan.

Antara tips ringkas yang perlu diberi perhatian dalam penghasilan video kreatif kemerdekaan adalah antaranya kekuatan mesej yang diutarakan, kaedah penyampaian dan naratif emosi yang berpadanan.

Mesej merupakan kekuatan yang harus dijelmakan dalam persembahan video kreatif.

Dengan durasi yang singkat, lontaran idea harus ringkas dan jelas dalam mengungkap mesej yang bertepatan.

Mesej mestilah berkisar tentang semangat cintakan negara, perpaduan, keamanan, pengorbanan dan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang menjadi sandaran kepada aspirasi negara.

Rangkuman mesej harus dilakukan dengan cermat agar penonton dapat turut serta menyelami apa yang cuba disampaikan.

Tidak terhenti disitu, mesej juga harus mempunyai kelangsungan dari segi keaslian berdasarkan plot penceritaan yang meliputi idea baharu berpaksikan rangkuman sejarah, keadaan terkini dan harapan masa hadapan.

Kaedah penyampaian pula harus disulam dengan paparan yang istimewa. Naratif atau jalan cerita harus perlahan dari segi olahan bagi mengimbangi kecepatan waktu yang diperuntukan.

Perlahan bermaksud peralihan babak ke suatu babak yang lain harus jelas. Kesinambungan antara dialog, lakonan dan unsur bunyi harus diadun dengan kemas.

Tidak semestinya perlu untuk menunjukkan pergerakan watak secara terperinci, cukup sekadar penonton tahu apakah situasi yang cuba dijelmakan. Disisi inilah tahap kreativiti teruji dalam mengajak penonton bersama menyelami situasi yang diilhamkan.

Biarkan penonton meneka dan mentafsirkan babak berdasarkan keupayaan pemahaman mereka secara aktif.
Unsur senyap (silent) juga boleh dijelmakan bagi memberi ruang waktu untuk penonton berfikir sejenak berkenaan jangkaan jalan cerita yang bakal berlaku.

Terakhir ialah penjelmaan emosi melalui watak yang dipilih untuk diketengahkan. Unsur semiotik dapat direalisasikan melalui watak yang membawa kepada penghuraian dengan pelbagai maksud iaitu sebagai pemangkin kepada luahan emosi secara fizikal dan juga makna yang tersirat atau pun simbolik yang terarah.

Seperti contoh babak perbualan antara Atuk dan cucunya berkisar sejarah perjuangan kemerdekaan. Maka perbualan dan riak wajah ketika itu dapat menggambarkan emosi yang jelas terpapar seperti ekspresi wajah kedua-dua watak samada gembira, sedih, marah dan takut yang mudah terlihat.

Gambaran emosi akan lebih jelas apabila disokong melalui lontaran dialog yang berlangsung.

Maka maksud yang tersirat pula diilustrasi melalui usia watak yang menjadi denotasi tersembunyi yang mendalam darisegi penyampaian makna. Contohnya usia Atuk mewakili jalinan pengalaman dan perjalanan hidup yang mencerminkan perit getir kehidupan yang telah dilalui.

Watak cucu pula menimbulkan emosi harapan dan cita-cita yang terbentang untuk generasi muda. Asas inilah yang menjadikan hasil karya video akan lebih bersifat penghuraian dan meninggalkan kesan terhadap emosi penonton dengan sistem makna yang mendalam.

Justeru, gapailah peluang yang ada dengan mengetengahkan bakat melalui penyertaan video kreatif kemerdekaan.

Pengalaman berfikir dan menterjemahkan situasi dalam mengungkap erti kemerdekaan melalui video kreatif merupakan sebuah kejayaan diri serta menimbulkan rasa bangga sebagai anak Malaysia.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.