Sel pembunuh semula jadi berpotensi sebagai imunoterapi kanser payudara
Saintis kini memberi tumpuan kepada imunoterapi iaitu rawatan yang menggunakan sistem imun tubuh untuk melawan kanser.

KANSER payudara merupakan antara penyebab utama kematian dalam kalangan wanita di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.
Walaupun rawatan konvensional seperti pembedahan, kemoterapi dan radioterapi masih menjadi pilihan utama, terdapat banyak cabaran yang timbul.
Antaranya kesan sampingan yang serius, keberkesanan rawatan yang terhad untuk jenis kanser tertentu, serta risiko kanser berulang selepas rawatan selesai.
Dalam usaha mencari rawatan yang lebih berkesan dan kurang memudaratkan, saintis kini memberi tumpuan kepada imunoterapi iaitu rawatan yang menggunakan sistem imun tubuh untuk melawan kanser.
Salah satu pendekatan yang semakin mendapat perhatian ialah penggunaan sel Pembunuh Semula Jadi (Natural Killer atau NK cells) melalui kaedah imunoterapi angkat (adoptive immunotherapy).
Sel Pembunuh Semula Jadi (NK cells) merupakan sebahagian daripada sistem imun kita. Fungsinya boleh diibaratkan seperti pengawal keselamatan dalam tubuh manusia.
NK cells sentiasa meronda di dalam aliran darah dan tisu untuk mengesan sel-sel yang tidak normal, seperti sel yang dijangkiti virus ataupun sel kanser.
Berbeza dengan sel imun lain yang memerlukan pengenalan sasaran tertentu sebelum dapat bertindak, NK cells boleh bertindak balas dengan cepat tanpa memerlukan pengaktifan yang kompleks.
Apabila mereka menemui sel yang mencurigakan, mereka segera menyerang dan memusnahkannya. Ciri unik inilah yang menjadikan NK cells sangat penting dalam rawatan kanser.
Kajian menunjukkan bahawa NK cells berupaya membantu melawan kanser payudara agresif, termasuk jenis triple-negative breast cancer iaitu sejenis kanser yang biasanya kurang memberi tindak balas terhadap rawatan biasa seperti hormon terapi atau terapi sasaran.
Konsep imunoterapi angkat
Imunoterapi angkat adalah rawatan kanser inovatif yang semakin berkembang pesat. Kaedah ini melibatkan pengambilan sel imun daripada pesakit atau penderma, kemudian sel-sel tersebut diperbanyakkan dan diperkukuh di makmal sebelum dimasukkan semula ke dalam tubuh pesakit.
Apabila NK cells digunakan dalam kaedah ini, ia dikenali sebagai NK cell adoptive immunotherapy. Prosesnya melibatkan beberapa langkah iaitu pengumpulan sel NK (Doktor mengambil sampel darah pesakit untuk mengekstrak NK cells).
Pengukuhan di makmal, NK cells ini kemudiannya diperbanyakkan dan dilatih agar lebih cekap mengenal pasti sel kanser.
Ada juga yang diubah suai menjadi CAR-NK cells (Chimeric Antigen Receptor NK cells) supaya mereka lebih khusus menyerang sel kanser tertentu.
Pemberian semula kepada pesakit iaitu etelah diperkukuh, NK cells dimasukkan semula ke tubuh pesakit untuk membantu melawan kanser dengan lebih berkesan.
Pendekatan ini bertujuan memberi tubuh pesakit ‘tentera tambahan’ untuk melawan kanser, terutamanya bagi pesakit yang sistem imunnya sudah lemah atau menghadapi jenis kanser yang sukar dirawat.
Sumbangan Malaysia dalam penyelidikan
Malaysia turut memainkan peranan penting dalam usaha global membangunkan rawatan imunoterapi. Institusi penyelidikan seperti Universiti Sains Malaysia (USM) serta Institut Perubatan & Pergigian Termaju (AMDI) di Bertam, Pulau Pinang giat menjalankan kajian berkaitan kanser dan imunoterapi.
Walaupun tidak ramai masyarakat yang menyedari peranan institusi ini, sumbangan mereka sangat besar dalam bidang rawatan kanser moden.
Kajian yang dijalankan bukan sahaja mengambil kira perkembangan antarabangsa, malah turut memberi perhatian kepada keunikan genetik dan keperluan kesihatan rakyat Malaysia.
Ini penting kerana keberkesanan rawatan kanser boleh berbeza mengikut latar belakang genetik dan faktor persekitaran.
Walaupun terapi NK cells dilihat sangat menjanjikan, ia tetap mempunyai beberapa kekangan yang perlu diatasi. Antaranya kesukaran menghasilkan jumlah mencukupi NK cells untuk rawatan kerana ia memerlukan teknologi bioperubatan yang canggih.
Sel kanser mampu mencipta perisai biologi yang menghalang NK cells daripada menyerang dengan berkesan. Kos rawatan yang tinggi menjadikan terapi ini sukar diakses oleh semua pesakit.
Namun begitu, penyelidik sedang berusaha untuk mencari penyelesaian. Antaranya dengan membangunkan teknik baharu untuk memperbanyakkan NK cells, menggabungkannya dengan rawatan lain seperti ubat sasaran molekul serta menambah baik teknologi agar kos rawatan dapat dikurangkan.
Kajian dalam bidang ini sangat penting kerana ia berpotensi menyediakan rawatan yang lebih selamat dan berkesan.
Tidak seperti kemoterapi yang boleh merosakkan sel sihat dan menimbulkan banyak kesan sampingan, terapi NK cells lebih khusus menyasarkan sel kanser sahaja. Hal ini boleh meningkatkan kualiti hidup pesakit dengan mengurangkan penderitaan akibat rawatan.
Selain itu, terapi ini membuka jalan ke arah perubatan peribadi (personalized medicine) iaitu rawatan yang direka khusus mengikut jenis kanser dan keperluan individu pesakit. Bagi mereka yang tidak memberi tindak balas kepada rawatan standard, pendekatan ini memberi harapan baharu.
Untuk memastikan penyelidikan dalam bidang ini terus berkembang, Malaysia memerlukan lebih ramai anak muda yang berminat dengan bidang sains, bioteknologi dan perubatan.
Program pendidikan seperti STEM in Cancer memainkan peranan penting dengan memperkenalkan pelajar kepada dunia penyelidikan kanser melalui kaedah interaktif dan menyeronokkan.
Inisiatif seperti ini mampu membina generasi saintis, doktor dan pendidik kesihatan yang akan menyumbang kepada pembangunan negara di masa hadapan.
Masa depan terapi NK cells
Masa depan terapi NK cells dilihat sangat cerah. Saintis kini sedang membangunkan NK cells yang diubah suai secara genetik agar lebih cekap dan tahan lama dalam melawan kanser. Teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) juga digunakan untuk memperbaiki diagnosis kanser dan merancang rawatan yang lebih tepat.
Dengan sokongan kerajaan, kewujudan institusi penyelidikan yang kukuh, serta minat masyarakat terhadap sains, Malaysia berpotensi menjadi peneraju dalam bidang imunoterapi kanser.
Bukan sahaja untuk manfaat rakyat tempatan, malah untuk menyumbang kepada perkembangan rawatan kanser di peringkat global.
Secara keseluruhannya, terapi NK cells ini menawarkan pendekatan baharu dan berkuasa dalam rawatan kanser payudara.
Dengan mengukuhkan sistem imun tubuh sendiri, terapi ini berpotensi membantu pesakit melawan kanser dengan lebih berkesan dan selamat. Walaupun cabaran masih wujud, usaha penyelidik di Malaysia dan seluruh dunia menunjukkan bahawa masa depan rawatan ini amat menjanjikan.
Dengan penyelidikan berterusan, pendidikan yang menyeluruh dan kesedaran masyarakat, Malaysia mampu memainkan peranan penting dalam membawa rawatan inovatif ini kepada lebih ramai pesakit serta meningkatkan kualiti hidup mereka.
* Projek penyelidikan ini dibiayai oleh Majlis Kanser Nasional melalui Anugerah Penyelidikan Kanser MAKNA 2023 dan satu daripada projek Breast Cancer Translational Research Programme@IPPT.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.