Bahaya rasuah: Peringatan berulang, integriti teguh
Rasuah akan terus subur jika kita letih mengulang peringatan, dan integriti hanya teguh jika kita berani menjadikannya amalan.

RASUAH bukan sekadar salah laku undang-undang tetapi racun yang perlahan-lahan meruntuhkan negara. Sebab itu, peringatan tentang bahaya rasuah tidak boleh sekali-sekala tetapi mesti diulang berkali-kali agar sentiasa segar dalam ingatan.
Integriti pula perlu diperkukuh sejak awal supaya generasi muda tidak mudah terjebak dalam budaya songsang ini.
Kes rasuah sering muncul di media, melibatkan pelbagai peringkat masyarakat. Walaupun undang-undang dan tindakan pencegahan sudah dilaksanakan, masalah ini tidak pernah reda.
Hakikatnya, isu ini bukan hanya soal penguatkuasaan tetapi juga kelemahan nilai dan integriti. Tanpa asas yang kukuh, kedudukan dan peluang boleh saja mendorong seseorang untuk tergelincir.
Dalam kesibukan mengejar kejayaan dan kekayaan, manusia mudah lupa. Justeru, mesej tentang bahaya rasuah perlu sentiasa diulang, sama ada di sekolah, universiti, tempat kerja mahupun media massa.
Setiap kali mesej ini diulang, ia berfungsi sebagai “alarm” yang menyedarkan masyarakat tentang kesan buruk rasuah terhadap ekonomi, keadilan dan masa depan negara.
Benteng utama untuk melawan rasuah ialah pendidikan sejak awal. Kanak-kanak perlu diasuh dengan nilai kejujuran dan amanah, manakala pelajar sekolah wajar diberi pendedahan khusus tentang akibat rasuah. Universiti pula harus berperanan lebih aktif sebagai agen integriti.
Kursus etika dan tadbir urus, forum bersama agensi berkaitan serta simulasi kes rasuah boleh membuka mata mahasiswa tentang realiti sebenar.
Lebih penting, universiti sendiri mesti menunjukkan teladan melalui dasar yang telus dan bebas salah laku. Mahasiswa belajar bukan sahaja daripada kuliah, tetapi juga daripada contoh yang ditunjukkan oleh institusi mereka.
Namun, mendidik generasi berintegriti bukan tanggungjawab universiti semata-mata. Ia perlu digalas oleh keluarga, sekolah, masyarakat dan media. Ibu bapa perlu menjadi teladan di rumah, guru menanamkan nilai murni di sekolah dan media konsisten mengangkat naratif antirasuah. Hanya dengan kerjasama semua pihak, mesej ini akan kekal berulang dalam kehidupan seharian.
Bahaya rasuah terlalu besar untuk dipandang ringan. Ia memusnahkan keadilan, menghakis kepercayaan dan merompak masa depan negara. Oleh itu, peringatan tentang bahaya rasuah mesti sentiasa bergema, bukan sekadar sekali lalu.
Integriti pula perlu diperkukuh sebagai amalan hidup, bukan sekadar slogan. Jika kita mahu Malaysia bebas daripada budaya rasuah, benteng itu mesti dibina dalam hati generasi muda hari ini.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.