Filem genre patriotik, wakili imej dan sejarah budaya bangsa
Terdapat banyak kisah sejarah di layar skrin dipaparkan sebagai tanda ingatan mengenai jasa dan pengorbanan galur masyarakat terdahulu.

MASIH lagi dalam suasana sambutan bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia maka antara topik yang masih menyelinap difikiran masyarakat adalah tentang menghargai sejarah perjuangan bangsa dan harapan masa hadapan yang bakal dilalui dengan penuh keazaman.
Ini merupakan anjakan kesedaran saban tahun yang perlu dihayati demi kelangsungan masa depan negara.
Sejarah merupakan suatu tekad kesedaran atau cerminan kehidupan masa lalu yang menjadi asas nyata terhadap segala yang mampu kita nikmati pada hari ini. Setiap cerita lampau mempunyai jalinan kejayaan yang dikecapi hari ini dan seharusnya penghargaan diberikan berpaksikan rasa bertuah dengan nikmat yang telah kita warisi.
Maka kisah sejarah harus diberi penelitian dan perhatian yang wajar dalam erti kata mendidik masyarakat agar ianya difahami, diteladani dan dihargai serta meletakkan gagasan didalam jiwa masyarakat madani.
Dalam kita berbicara berkenaan mendidik masyarakat untuk menghayati sejarah negara, kita tidak dapat lari daripada membincangkan dari sudut seni filem dan peranannya dalam menyampaikan ilmu pengetahuan secara teratur melalui penguasaan penghayatan cerita.
Kekuatan yang ada pada persembahan audio visual seperti filem sememangnya sudah terbukti berkesan dalam membentuk pemahaman berupa pendidikan kepada golongan sasaran.
Filem dilihat sebagai pelengkap kepada daya pemahaman imaginasi visual masyarakat terhadap sesuatu kisah sejarah.
Terdapat banyak kisah sejarah di layar skrin dipaparkan sebagai tanda ingatan mengenai jasa dan pengorbanan galur masyarakat terdahulu.
Jika kita mampu menyenaraikan untuk menggamit memori filem-filem yang merungkai semangat patriotik yang membawakan latar belakang perjuangan seperti filem Sarjan Hassan, Bukit Kepung, Laftenan Adnan, Paloh, Embun, 1957: Hati Malaya dan Tanda Putera serta beberapa lagi yang berjaya menerjah ke panggung.
Ternyata senarai ini tidak asing dalam pemikiran kita dalam memperkatakan semangat cintakan tanah air dan perjuangan kemerdekaan dan kemakmuran negara.
Industri perfileman negara memperlihatkan kejayaan dalam usaha untuk menjadikan filem dan sasaran didikan.
Mungkin ada yang tidak mengiakan bahawa bagaimana filem yang lebih terarah sebagai fungsi menghibur mampu mendidik masyarakat.
Mungkin tidak mudah untuk membayangkan perkaitannya tetapi sukar juga untuk dinafikan kebenaran bahawa filem berupaya untuk menguasai fikiran apabila nilai-nilai patriotik mampu meresap secara terus dan terancang.
Keunikan filem terserlah dalam menyajikan persembahan audio visual lengkap yang mungkin tidak dapat dijelmakan melalui pembacaan teks apabila ianya diadun dengan jalan cerita pengkisahan yang lebih jelas dan memukau daya imaginasi.
Penonton dapat menyelinap semangat yang terkandung melalui dialog yang dibawakan oleh watak-watak dan mendalami sendiri sudut pemikiran dan pengalaman mereka. Bentuk pengertian dan kewajaran tindakan tokoh terdahulu mampu untuk diperhalusi dengan lebih berkesan.
Melalui filem bercorak patriotik inilah justeru itu masyarakat dapat memaklumi kembali sejarah perjuangan dalam mendaulatkan bangsa dan negara serta membangkitkan rasa sayangkan negara sehingga ditahap yang mampu dinikmati pada hari ini.
Turutan aksi dan lakonan mantap akan menyerlahkan lagi jalan cerita dalam usaha membawa penonton melalui detik pengalaman yang berbeza.
Diperkemaskan dengan kesan bunyi dan kesinambungan penggunaan teknologi visual mampu membangkitkan lagi kesempurnaan pengkisahan.
Jika sebelum ini terdapat sangkaan bahawa filem bercorak patriotik sulit dihasilkan atas beberapa faktor yang dilihat sebagai cabaran utama dalam penghasilannya.
Salah satunya mungkin ia adalah rangkuman atau bersifat sejarah maka adalah suatu penelitian cerita dan pembuktian yang harus dilakukan dengan berhati-hati tanpa mengubah maksud asal cerita.
Selain itu, filem sejarah atau bercorak patriotik kebiasaannya melibatkan struktur dana yang agak besar kerana banyak hal yang perlu diberi perhatian agar realiti sejarah mampu digamit melalui persembahannya.
Ia meliputi pemilihan set lokasi, pakaian, peralatan sokongan, suasana persekitaran dan pemilihan konteks sejarah beserta pembuktian yang mampu menjelmakan jalan cerita yang bakal meninggalkan kesan yang ketara dalam pembikinan filem bercorak patriotik.
Malah kekuatan skrip juga perlu diseragamkan dengan olahan yang tepat, yang mempunyai nilai-nilai yang sebati dalam resam dan budaya masyarakat sebagai suatu keistimewaan untuk dititipkan dalam penyampaian melalui watak yang dijelmakan.
Bukan mudah untuk membayangkan sesuatu diluar batasan pengetahuan dalam mengukir persembahan cerita atau kisah sejarah.
Ia perlukan imaginasi yang luas dan kebolehan untuk menyampaikan dengan keterbatasan masa tayangan yang agak singkat.
Ia perlu dilakukan dengan penuh kesedaran untuk memberi mesej pada akal dan jiwa penonton berkenaan perkara kebaikan dan kebenaran disebalik sebuah cerita bercorak patriotik.
Ini merupakan sebuah tanggungjawab para pengkarya dalam arahannya kerana pasti akan ada seseorang yang harus menggalas tugas untuk mendidik masyarakat melalui karyanya.
Dengan bersandarkan tempoh lima tahun kebelakangan ini atau lebih tepat selepas kejayaan negara mendepani pendamik COVID-19, kita dapat mentaksirkan penerimaan positif masyarakat berhubung filem bercorak patriotik.
Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan misalnya berjaya melakar sejarah apabila meraih kutipan yang tinggi berbanding filem lain yang pernah diterbitkan.
Filem ini juga turut menerima ulasan dan penanda aras yang positif dari penonton walaupun terdapat suara-suara kecil yang mengkritik dari pelbagai sudut.
Namun kejayaannya tidak boleh dipertikaikan dalam mengangkat mesej patriotik melalui filem. Ia berjaya membangkitkan semangat anak Malaysia melalui ketokohan watak pahlawan, kekuatan pengertian dialog, aksi perkelahian yang mantap, keberkesanan susunan babak, sentuhan kreativiti visual pengarahan dan ketika tayangan tepat pada masanya.
Terdapat juga beberapa percubaan filem bercorak patriotik yang lain menjengah di pawagam namun masih tidak dapat menyaingi tahap penerimaan penonton walaupun mempunyai sudut naratif penceritaan yang baik dan kreativiti sentuhan pengarahan yang sangat positif.
Walaupun begitu dari sudut pendidikan melalui filem, ia tidak boleh dipandang sepi oleh masyarakat kerana kewibawaan dalam menerbitkan semangat patriotik kelihatan tampil dengan jayanya.
Setiap negara mempunyai cerita patriotiknya sendiri. Sebagai perbandingan, lihatlah Hollywood yang aktif menghasilkan filem bercorak patriotik yang bukan tertumpu membawakan kisah sejarah lampau sahaja tetapi semangat patriotik yang dititipkan dalam filem berlatarkan masyarakat moden, isu semasa, peristiwa/kejadian terkini dan apa sahaja naratif yang bersesuaian untuk diketengahkan hasil daripada kreativiti pengarahan.
Hakikatnya, penerapan filem bercorak patriotik adalah mewakili imej dan sejarah budaya bangsa, perintis tokoh kepimpinan, keindahan falsafah kehidupan serta berpaksikan jati diri sesuatu bangsa.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.