Melembutkan ‘lidah keras’, mendekatkan al-Quran

Dalam bidang fonetik dan fonologi, fenomena kekerasan lidah ini dikenali sebagai fosilisasi fonologi atau ‘phonological fossilization’.

Feature Image (1)

KEKERASAN lidah merupakan satu istilah yang tidak asing lagi dalam masyarakat Melayu sejak dahulu lagi. Istilah ini digunakan bagi menggambarkan keadaan seseorang penutur yang sukar untuk menyebut bunyi bahasa asing termasuklah bahasa Arab.

Dalam bidang fonetik dan fonologi, fenomena kekerasan lidah ini dikenali sebagai fosilisasi fonologi atau ‘phonological fossilization’.

Istilah ini lahir bagi merujuk kepada fenomena kesalahan dalam sebutan bunyi yang dilakukan secara berulang kali.

Meskipun begitu, fenomena kekerasan lidah ini sudah diterima umum dalam masyarakat Melayu hari ini. Bunyi yang terhasil dengan tidak tepat tidak dipandang sebagai kesalahan besar.

Persoalannya, sejauh manakah masalah ini menjadi cabaran bagi penutur Melayu dalam menyebut bunyi huruf Arab atau membaca al-Quran?

Apabila sebut perkataan ‘lidah keras’, ramai yang bayangkan kanak-kanak kecil yang susah sebut huruf ‘س’ atau ‘ر’.

Namun, masalah ‘lidah keras’ bukan sekadar isu loghat atau sebutan tetapi ia boleh menjadi ‘tembok’ yang membataskan seseorang daripada menikmati, memahami, malah mendekati al-Quran.

Dalam konteks ini, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘lidah keras’, dan bagaimana ia menjejaskan kesempatan untuk membaca ayat suci al-Quran?

Apabila menyentuh tentang bacaan al-Quran, fenomena yang sudah dianggap norma ini lantas dipandang sebagai permasalahan.

Berikutan itu, penulis tetap berpandangan bahawa fenomena yang sudah sebati dalam masyarakat sekalipun tetap dikira sebagai permasalahan sekiranya melibatkan hukum-hakam dalam tajwid al-Quran.

Kekerasan lidah dan usia

Isu kekerasan lidah atau kesukaran sebutan bunyi bahasa asing termasuklah bahasa Arab seringkali dikaitkan dengan usia seseorang penutur.

Sejauh mana fenomena ini dilihat sebagai ‘tembok’ bagi seseorang penutur yang ingin memperbaiki sebutan bunyi Arab khususnya bagi tujuan amal ibadah harian? Fenomena ini telah dikaji oleh beberapa sarjana di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Kesukaran sebutan yang dialami oleh penutur bukan natif tidak asing lagi kerana terdapat perbezaan sistem bunyi dan artikulasi yang berbeza antara satu bahasa dengan bahasa yang lain.

Kita lihat bahasa Arab dengan bahasa Melayu seakan-akan tidak jauh perbezaannya. Malah, masyarakat Melayu menggunakan bahasa Arab setiap hari dalam amal ibadah harian seperti solat, zikir dan membaca al-Quran.

Walau bagaimanapun, fenomena kekerasan lidah atau dalam istilah fonetiknya ‘fosilisasi fonologi’ masih kuat membelenggu penutur Melayu.

Kesukaran bunyi dan asimilasi

Kita sedia maklum bahawa perbezaan cara artikulasi antara bahasa Arab dan bahasa Melayu menimbulkan kesukaran kepada penutur Melayu. Namun begitu, penutur Melayu seringkali menyesuaikan cara artikulasi bagi sesuatu bunyi yang hampir sama kepada bunyi seakan-akan padanan dalam bahasa Melayu, bagi menggantikan bunyi Arab tersebut.

Dalam ilmu linguistik di bawah fonetik dan fonologi, istilah ini dikenali sebagai ‘asimilasi persepsi’.

Bahasa Arab adalah bahasa asing di Malaysia. Pelajar yang mempelajari bahasa Arab di Malaysia terdedah kepada situasi al-Lughaṯ al-Marḥaliyyat iaitu perbezaan sistem linguistik antara bahasa pertama (B1) dan bahasa kedua (B2).

Situasi tersebut kemudian mendorong kepada perlakuan salah satu jenis masalah bahasa iaitu al-Taḥajjur al-Lughawiy atau Fosilisasi Bahasa Antara (FBA). Salah satu bentuk Fosilisasi Bahasa Antara ialah al-Taḥajjur al-Ṣautiy atau Fosilisasi Fonologi (FF).

Fenomena al-Taḥajjur al-Ṣautiy merujuk kepada kesalahan penyebutan bunyi bahasa Arab yang sudah sinonim dan sebati dalam kalangan kanak-kanak Melayu. Fenomena tersebut mengakibatkan berlaku masalah kekerasan lidah atau kesukaran penyebutan bunyi bahasa Arab.

Pemerhatian terhadap aspek pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab oleh orang Melayu mendorong kepada persoalan mengenai pertembungan bahasa ibunda dengan B2 yang mengakibatkan berlaku masalah al-Lughaṯ al-Marḥaliyyaṯ dan gangguan bahasa.

Situasi ini juga secara tidak langsung mendorong kepada masalah kekerasan lidah (kesukaran sebutan) bunyi bahasa Arab khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Walaupun masyarakat Melayu Islam di Malaysia menggunakan bahasa Arab dalam amalan ibadah harian mereka dan amalan keagamaan yang lain, namun penggunaannya tidak mencukupi untuk mengurangkan kekerasan lidah dalam sebutan bunyi huruf Arab.

Situasi ini menunjukkan bahawa orang yang mengalami masalah kekerasan lidah tidak mudah untuk meningkatkan tahap sebutan mereka dengan cara hanya menggunakannya dengan kerap.

Oleh itu, sangat digalakkan kepada semua orang Melayu Islam untuk mengetahui tahap penyebutan bunyi bahasa Arab mereka.

Langkah pelik tapi praktikal

Menyedari bahawa pembelajaran sebutan huruf Arab lebih daripada sekadar memperoleh kemahiran bertutur dalam bahasa Arab, sudah tiba masanya untuk menerapkan kemahiran penyebutan dengan mengawal organ artikulasi iaitu teknik pengawalan tekanan udara di saluran suara untuk menyoroti kepentingan persepsi (kefahaman) pelajar dalam menghasilkan penyebutan bunyi bahasa Arab.

Kemahiran pengawalan organ artikulasi memberi penekanan terhadap kesedaran fonologi juga.

Umumnya, manusia tidak benar-benar mengetahui mekanisme penyebutan bunyi bahasa tertentu melainkan mereka telah berjaya mencapai matlamat yang dikehendaki.

Teknik kemahiran pengawalan organ atau elemen artikulasi mengambil kira kesedaran fonemik (phonemic awareness) dan kefahaman pembelajar (perception) serta matlamat untuk membantu mereka memperoleh teknik baharu kemahiran pengawalan artikulasi tersebut.

Terapi fonetik dan latihan mulut

Latihan seperti ‘tongue twister’ Arab seperti: ‘يغني الغصن في Jadikan aktiviti ‘عصفور permainan ini secara berulang-ulang dengan perlahan, kemudian semakin bergerak laju.

Sel kapasiti lidah perlahan-lahan akan mula lancar. Seterusnya, Permainan War Game Huruf iaitu permainan kreatif seperti ‘Huruf Flip’: Tulis huruf tarbiyah pada kad, bacai bersama kumpulan, tukar kad, sambung.

Kemudian, ‘Sebut huruf dalam 1 minit’: anak cuba sebut sebanyak mungkin huruf Arab yang sukar dalam masa singkat.

Selain itu, pendekatan gabungan antara audio dan visual seperti Video Berkapsyen & Audio Visual Interaktif turut boleh diaplikasikan semasa pembelajaran. Video berkapsyen boleh memaparkan video yang menunjuk gerak bibir dan lidah semasa menyebut huruf seperti Youtube.

Kelas mini bersama guru tajwid atau pendidik awam

Sekarang sudah banyak aplikasi dan kelas online murah, contohnya modul video ringkas 10 minit tiap hari, fokus satu huruf sahaja (huruf saakin, huruf sir, dan sebagainya). Boleh bantu latih lidah secara konsisten.

Penggunaan Alat Fizikal. Terdapat juga alat seperti tongue depressor (digunakan dalam terapi pertuturan) atau alat suis latihan mulut kanak-kanak yang boleh dibimbing dengan betul, bagi tujuan membantu ‘fokus fizikal’.

Galakkan Amalan Bacaan Harian. Mewajibkan anak-anak membaca al-Quran dan semasa itulah ibu bapa atau guru berpeluang untuk menegur sebutan bacaan mereka dengan hikmah dan kasih sayang.

Sebaiknya lagi, ibu bapa boleh menyertai bersama anak-anak dalam program tadarus al-Quran di surau atau masjid kawasan setempat, terutamanya pada bulan Ramadan. Intihanya, ‘lidah keras’ tidak semestinya menjadi halangan yang kekal bagi setiap orang.

Apabila pendekatan yang dijalankan adalah bersesuaian dan tepat untuk penyebutan bunyi sesuatu huruf seperti gabungan latihan, galakan dan sokongan keluarga, maka lidah yang pada awalnya tersekat-sekat, akan berupaya untuk menyebut huruf Arab dengan lebih baik.

Alangkah indahnya jika anak yang bermula dengan ‘lidah keras’, kemudian tiba-tiba dengan tenang boleh membaca surah-surah dalam al-Quran?

Itulah keajaiban ilmu dan kasih yang disemai dari awal usia. Semoga setiap anak mendapat peluang tersebut.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.