Pilihlah untuk berasa gembira berada dalam talian

Hampir setiap orang di Malaysia mahu berada dalam talian dan ianya membuka banyak risiko, peluang dan keseronokan.

Feature Image

KEGEMBIRAAN apabila berada dalam talian bukanlah satu kebetulan tetapi ia lebih kepada seni, satu kemahiran reka bentuk untuk menggayakan hidup kita.

Dasawarsa ini, rakyat Malaysia mengakses internet bagi menyempurnakan pekerjaan masing-masing, selain daripada menjalinkan hubungan sosial, tanpa mengira waktu dan keadaan.

Ini bermaksud, untuk berasa gembira melayari dunia tanpa sempadan ini, ia dibentuk oleh apa yang dilakukan oleh para pengguna, bagaimana mereka berhubung dan samada platform-platform digital ini membantu mereka memasuki momen penglibatan yang sangat fokus dan tenggelam dalam dunia dalam talian.

Bukan setakat menatal layar peranti tetapi menikmati momen bermakna dalam dunia digital sebenarnya penting bagi kita semua.

Di negara ini, pada awal tahun 2024, total pengguna internet adalah sebanyak 33.59 juta, bersamaan dengan 97.4 peratus jumlah penetrasinya.

Jumlah sedemikian menggambarkan hampir setiap orang di Malaysia mahu berada dalam talian dan ianya membuka banyak risiko, peluang dan tidak dilupakan juga, keseronokan.

Turut tercatat, rakyat Malaysia menghabiskan masa yang agak lama menatap layar gajet masing-masing iaitu secara puratanya lebih daripada lapan jam setiap hari.

Seperti kesimpulan daripada banyak kajian, penggunaan yang panjang boleh mencetuskan pelbagai emosi berdasarkan konteks semasa, samada berasa biasa sahaja, rasa gembira atau ada juga rasa disakiti.

Oleh itu, apakah kriteria pengalaman dalam talian yang boleh membuatkan kita berasa gembira, berasa nyaman? Pertama ialah hubungan dalam talian.

Platform sosial menjadi tempat di mana hubungan baru dicipta dan hubungan lama dikekalkan. Namun demikian, kualiti hubungan ini sebenarnya yang perlu diambilkira.

Para pakar menyatakan media sosial atau singkatannya, medsos merupakan lokasi awam yang baru dan bagi anak-anak remaja, ruang ini menemukan mereka, untuk berkongsi cerita dan perasaan antara satu sama lain.

Keadaan emosi menjadi lebih baik dan bermakna apabila hubungan dalam talian ini bersifat timbal balik dan menyokong sesama sendiri, bukan sekadar menunjuk-nunjuk kehidupan peribadi.

Keduanya, perhatian dan cabaran apabila berada dalam talian. Konsep penglibatan yang sangat fokus di mana kita berasa tenggelam sepenuhnya dalam aktiviti atau tugas yang memuaskan hati, boleh terjadi samada dalam dunia digital atau nyata.

Aktiviti-aktiviti yang mengasyikkan walaupun sekadar mempelajari kemahiran baru melalui video tutorial tetapi dengan fokus yang tinggi, boleh memberikan kepuasan hati, meningkatkan kecekapan malah kita boleh berasa gembira kerana dapat menghabiskan masa dengan kualiti.

Sekiranya sebaliknya yang terjadi, misalnya diganggu dengan bunyi notifikasi yang kerap, maka kita tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya dan seterusnya, mengurangkan peluang untuk mencapai kepuasan hati yang tinggi.

Terakhir sekali, pengurusan aktiviti dalam talian. Pengguna-pengguna yang membentuk suapan sendiri, mencari komuniti yang bermakna dan memilih kandungan yang selari dengan pemikiran mereka mengalami momen dalam talian yang lebih baik berbanding mereka yang melayari apa sahaja yang ditontonkan oleh algoritma platform.

Dengan erti kata lain, tabiat yang mudah seperti mengikut kumpulan yang menyokong ahli-ahlinya, menyenyapkan akaun yang mengundang tekanan dan menjadualkan slot khas untuk mempelajari sesuatu yang bermanfaat, boleh mengubah lapan jam menatal secara pasif kepada pengalaman yang menyeronokkan.

Namun begitu, perlu diingatkan juga, sisi sebaliknya apabila berada di dalam talian ternyata wujud. Zaman pandemik membuktikan masalah kesihatan mental meningkat secara global dan negara kita, Malaysia tidak terkecuali.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan kebimbangan dan kemurungan meningkat di seluruh dunia sebanyak 25 peratus pada tahun pertama era pandemik. Walaupun pelbagai faktor yang menyebabkan tekanan ini, pengalaman dalam talian juga termasuk salah satu puncanya.

Justeru, situasi semasa dunia mengingatkan kita semua bahawa kehidupan dalam talian boleh melegakan dan juga boleh memburukkan lagi tekanan, bergantung kepada bagaimana dunia dalam talian ini digunakan.

Selain itu, kajian tempatan semasa dan selepas pandemik menemui simptom-simptom yang semakin ketara dalam sesetengah kumpulan demografik, menyimpulkan perlunya usaha-usaha untuk merekabentuk tabiat dalam talian yang sihat.

Para pakar mengutarakan, untuk berasa lebih gembira semasa menyelusuri dunia digital, cara-caranya adalah jelas dan mudah.

Antaranya ialah membina tabiat mesra kepuasan (mempunyai objektif yang jelas dan mengharungi cabaran yang boleh diselesaikan), mengurangkan gangguan (mematikan notifikasi semasa penumpuan fokus yang tinggi) dan membentuk ruang sosial yang menyediakan interaksi dua hala, menyokong sesama sendiri.

Di samping itu, pembuat platform boleh menyumbang ke arah kegembiraan para penggunanya apabila berada dalam talian dengan menukar perhatian kepada aplikasi yang berfokuskan peningkatan kecekapan, bukan hanya perbandingan antara penggunanya.

Kegembiraan digital itu bukanlah satu hasil pasif tetapi ia adalah satu situasi kesejahteraan akibat berada dalam talian, yang boleh digalakkan oleh kita semua, pengguna dunia maya.

Apabila rakyat Malaysia menggunakan internet untuk mencipta, mempelajari sesuatu dan menjalinkan silaturahim dalam kondisi yang kurangnya gangguan tetapi tingginya pengurusan yang baik, dunia digital dapat mewujudkan ruang untuk kita berkembang, berjaya bersama-sama.

Kawalan perhatian yang baik ialah rahsia kepada kehidupan yang berkualiti dan bagi kehidupan dalam talian, kawalan ini merupakan tanggungjawab awam, tanggungjawab kita semua bersama.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.