Jessica Jung pilih Malaysia destinasi pertama Jelajah Konsert ‘Reflections’ 2026

Tiket Jessica Concert Tour 2026 ‘Reflections’ in Malaysia mula dijual pada 20 November 2025

Feature Image (1)

KUALA LUMPUR, 11 November 2025 – Tahun baharu 2026 bakal bermula dengan penuh meriah buat peminat bintang Korea-Amerika, Jessica Jung apabila beliau memilih Malaysia sebagai destinasi pertama siri jelajah konsert terbaharunya bertajuk Jessica Concert Tour 2026 ‘Reflections’ in Malaysia.

Konsert tersebut akan diadakan pada Ahad, 11 Januari 2026, pukul 7.00 malam di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Persembahan itu dijangka menjadi hadiah istimewa buat peminat setia yang digelar Golden Stars, dengan gabungan vokal memukau, persembahan bertenaga dan elemen visual yang artistik. Siri jelajah Reflections ini menggambarkan perjalanan seni Jessica sejak awal pembabitannya dalam dunia hiburan, sebagai penghargaan kepada sokongan para peminat sepanjang kariernya.

Konsert berkonsepkan audio visual imersif itu turut menampilkan penceritaan emosi yang menyentuh hati, disertai vokal lembut dan koreografi yang mempesona.

Sejak kemunculan sulungnya bersama kumpulan Girls’ Generation (SNSD) pada tahun 2007, Jessica telah membina nama sebagai artis serba boleh. Beliau melahirkan beberapa karya solo seperti EP With Love, J dan Wonderland (2016), My Decade (2017) serta Beep Beep (2023).

Antara lagu popularnya termasuk Fly (feat. Fabolous), Get It? Got It? Good (feat. Amber Liu), Big Mini World, Summer Storm dan Falling Crazy in Love.

Selain bidang muzik, Jessica turut mencipta nama di China apabila meraih tempat kedua dalam rancangan Sisters Who Make Waves 3 serta muncul dalam program The Treasured Voice musim keempat.

Di luar dunia nyanyian, beliau merupakan pengasas jenama fesyen Blanc & Eclare, penulis novel Shine dan sambungannya Bright serta pernah membintangi pementasan muzikal Legally Blonde di Korea dan filem-filem seperti I Love That Crazy Little Thing serta My Other Home di China.

Tiket konsert akan mula dijual pada Khamis, 20 November 2025, bermula pukul 3 petang melalui laman sesawang www.fantopia.io dan rwgenting.com
.

Harga tiket adalah seperti berikut: VIP: RM988, PS1: RM788, PS2: RM588, PS3: RM488 dan PS4: RM288
(Semua harga tertakluk kepada caj pemprosesan RM4.)

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti @ht.entertainmentcompany di Instagram.