MIST’25 2.0 serlah potensi pelajar UPSI dalam Sains dan Teknologi

Program yang berlangsung dari 23 hingga 28 November itu memberi peluang kepada pelajar menonjolkan kepakaran.

Feature Image (2)

Mohd Faizal (kiri) ketika menyempurnakan gimik Perasmian Penutupan Muallim International Science, Technology, Mathematic and Sustainability Fiesta 2025 (MIST’25) 2.0 di foyer bangunan FSM UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah.

Oleh: BAZLI RAZAK

KUALA LUMPUR, 28 November 2025 — Muallim International Science, Technology, Mathematic and Sustainability Fiesta 2025 (MIST’25) 2.0 anjuran Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menjadi platform komprehensif dalam memupuk minat, kreativiti dan daya saing pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Inovasi, Matematik dan Kemampanan.

Dekan FSM, Prof. Dr. Mohd. Faizal Nizam Lee Abdullah berkata, penganjuran program yang berlangsung dari 23 hingga 28 November itu memberi peluang kepada pelajar menonjolkan kepakaran melalui pertandingan, pameran, penganugerahan serta sesi perkongsian ilmu melibatkan pelbagai bidang.

“MIST 2025 2.0 merupakan platform terbaik untuk menonjolkan potensi dan kepakaran pelajar FSM dalam bidang Sains, Teknologi, Matematik dan kelestarian,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan program berkenaan di foyer bangunan FSM UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah.

Menurut beliau, antara program dianjurkan termasuk Pertandingan Roket Air, SAPOVIDA, Mission Impossible, Faculty Tour, Luminous Fun Run, Glow Revive, Ceramah Bicara Alam, Jejak Prestasi serta Majlis Anugerah Dekan dan Majlis Anugerah Keterampilan Pelajar.

Mohd Faizal (tengah) bergambar bersama barisan pengurusan FSM serta mahasiswa UPSI di foyer bangunan FSM UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah.

Tambah beliau, program seperti anugerah kecemerlangan dan Jejak Prestasi memainkan peranan penting dalam mengiktiraf pencapaian pelajar dalam akademik, penyelidikan dan kokurikulum, manakala aktiviti seperti Faculty Tour, Luminous Fun Run dan Pertandingan Roket Air meningkatkan kemahiran pelajar melalui aktiviti kompetitif dan berimpak.

“Keseluruhan program bukan sahaja menggalakkan kreativiti dan pemikiran kritis, malah mewujudkan platform kolaborasi antara sekolah, industri dan komuniti bagi memperkukuh pembangunan bakat muda,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Program MIST’25 2.0, Nur Alyana Maisara Norsharol Nizam, yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Biologi Semester Lima berkata, fiesta tersebut berperanan menggabungkan elemen sains, teknologi, inovasi dan matematik melalui penganjuran program yang bersifat holistik.

“MIST’25 2.0 memperkasa potensi peserta dalam bidang STEM melalui pendedahan kepada pengalaman dan ilmu dunia sebenar.

Menurut Alyana, penganjuran Anugerah Dekan dan Anugerah Keterampilan Pelajar pada edisi kali ini memberi nilai tambah dalam mengiktiraf kecemerlangan pelajar dalam akademik dan kokurikulum.

“Saya berharap semua peserta memanfaatkan peluang sepanjang program, menyertai setiap aktiviti dengan semangat dan keterbukaan. Ilmu dan pengalaman hari ini akan memberi kesan besar terhadap masa depan mereka,” katanya.