Budi bahasa komunikasi moden seiring maqasid al-syariah

Komunikasi kini lebih bersifat maya, pantas dan ringkas malah sering kali kurang disertai dengan elemen adab yang menjadi ciri penting dalam budaya masyarakat.

Feature Image (3)

KOMUNIKASI merupakan asas penting dalam pembentukan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Dalam konteks budaya Malaysia yang kaya dengan nilai sopan santun, hormat-menghormati dan hubungan kekeluargaan yang erat, komunikasi berkesan menjadi tonggak kepada keharmonian sosial.

Tradisi masyarakat Malaysia menekankan adab dalam berbahasa, penggunaan kata sapaan yang halus serta interaksi bersemuka yang penuh hikmah, khususnya dalam kalangan keluarga dan komuniti.

Namun demikian, perkembangan pesat teknologi masa kini, khususnya melalui penggunaan gajet moden telah membawa perubahan yang ketara dalam komunikasi masyarakat. Kemunculan budaya digital yang merangkumi penggunaan media sosial serta pelbagai aplikasi komunikasi sama ada secara virtual atau fizikal telah merombak norma interaksi sosial, termasuk dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

Komunikasi kini lebih bersifat maya, pantas dan ringkas malah sering kali kurang disertai dengan elemen adab yang menjadi ciri penting dalam budaya masyarakat. Perkembangan komunikasi dalam teknologi pada hakikatnya membawa kepada pelbagai kesan positif dalam hidup manusia.

Di Malaysia, budaya digital ini dapat dilihat melalui kecenderungan masyarakat berkongsi maklumat melalui WhatsApp, mengikuti dakwah tokoh Muslim di TikTok serta penggunaan aplikasi seperti Telegram, Instagram dan YouTube dalam kehidupan seharian.

Menurut Internet Users Survey 2023 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), lebih 90 peratus pengguna internet di Malaysia menggunakan aplikasi pemesejan dan media sosial, menunjukkan betapa dominannya budaya komunikasi digital dalam kehidupan harian masyarakat pada hari ini.

Kesan ketara budaya ini antaranya ialah fenomena ‘phubbing’ iaitu sikap mengabaikan orang sekeliling kerana terlalu memberi tumpuan kepada gajet.

Antara punca fenomena ‘phubbing’ termasuklah perasaan takut untuk tertinggal maklumat (Fear of Missing Out – FOMO) serta ketakutan melampau apabila tidak memiliki telefon (Nomophobia – No Mobile Phone Phobia). Fenomena ini semakin menular dalam kalangan belia Malaysia, di mana kajian menunjukkan remaja menggunakan telefon pintar secara purata antara 2 hingga 10 jam sehari. Keadaan ini secara langsung menjejaskan kemahiran komunikasi interpersonal.

Komunikasi yang tidak baik dalam budaya digital turut menjadi antara penyumbang utama kepada pelbagai masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi di Malaysia. Statistik menunjukkan peningkatan yang membimbangkan termasuklah dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan belia.

Walaupun teknologi ini memberi kemudahan kepada pelajar untuk berinteraksi secara cepat dan tanpa had, namun ia juga berisiko menyumbang kepada kemerosotan kecekapan komunikasi bersemuka kerana mengabaikan unsur bukan lisan seperti intonasi suara, ekspresi wajah, dan bahasa tubuh yang menjadi asas komunikasi bersemuka yang berkesan.

Kecanggihan komunikasi menimbulkan isu-isu yang membimbangkan seperti ketagihan gajet, ketiadaan adab ketika berkomunikasi di alam maya, serta penyebaran maklumat palsu yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Adab berkomunikasi dalam i
Islam

Kepentingan berkomunikasi telah wujud dari zaman dahulu dan Rasulullah SAW adalah sebaik-baik teladan bagi umat Islam untuk mencontohi adab berkomunikasi dengan baik. Prinsip dan adab dalam komunikasi berasaskan etika Islam harus dipraktikkan dalam budaya digital kerana ia kekal relevan untuk diamalkan dalam konteks dunia moden hari ini.

Justeru, adab dalam komunikasi berdasarkan perspektif Islam perlu dihebahkan dan dididik kepada masyarakat di era teknologi. Antara adab dan etika dalam Islam adalah bercakap dengan nada yang sopan dan lemah lembut sama ada melalui lisan atau tulisan, menuturkan perkataan benar, bersikap tabayyun dan berkata baik atau diam.

Diriwayatkan oleh Hafs bin Asim RA, sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Cukuplah seseorang itu dianggap sebagai pendusta apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar (tanpa tabayyun)” (Riwayat Muslim).

Hadis ini adalah sebagai peringatan untuk tidak berdusta ketika menyampaikan sesuatu perkara kerana boleh jadi apa yang didengari adalah perkara yang ditokok tambah dan mungkin juga benar atau salah. Situasi ini telah menjadi semakin membimbangkan dalam kalangan pengguna teknologi moden apabila penyampaian dan hebahan maklumat yang tidak sahih semakin menjadi normalisasi akibat ingin menjadi orang pertama dalam menyampaikan berita melalui komunikasi digital.

Justeru, komunikasi melalui teknologi moden perlu dilestarikan dengan adab dan nilai murni dalam kalangan pengguna. Teknologi digital bukan sahaja sebagai alat komunikasi tetapi ia menjadi medium penting kepada pembentukan pemikiran, tingkah laku dan nilai masyarakat yang terhasil melalui komunikasi secara atas talian.

Penggunaan bahasa yang baik dan berhemah melambangkan budi pekerti luhur yang membentuk personaliti seseorang individu, dan ia menepati objektif syariah yang menekankan penjagaan maruah dan peribadi individu khususnya dalam penggunaan teknologi komunikasi pada masa kini.

Kesedaran terhadap pentingnya memperkasakan penggunaan bahasa yang baik dalam komunikasi berasaskan teknologi adalah seiring dengan maqasid al-syariah dalam menjaga akhlak demi kemaslahatan sosial.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.