Signature bawa keriangan Krismas kepada warga Rumah Hope

Menerusi pengubahsuaian ruang kediaman serta penyediaan peralatan dan kelengkapan baharu di bawah program komuniti Signature Cares.

Feature Image (2)

PASUKAN pengurusan Signature International Berhad bergambar bersama penjaga dan kanak-kanak Rumah Hope.

KUALA LUMPUR, 17 Disember 2025 – Warga Rumah Hope yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja bersekolah menerima hadiah Krismas awal yang bermakna tahun ini hasil sumbangan Signature International Berhad (Signature) menerusi pengubahsuaian ruang kediaman serta penyediaan peralatan dan kelengkapan baharu di bawah program komuniti Signature Cares.

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (TSK) Kumpulan Signature dan komitmennya terhadap aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), sekali gus mencerminkan iltizam syarikat untuk mentransformasikan ruang fizikal bagi meningkatkan keselesaan, maruah dan kesejahteraan emosi kanak-kanak.

Sejajar dengan misi Signature untuk menaikkan martabat komuniti, program itu dilaksanakan sebagai transformasi holistik yang mengutamakan kesejahteraan kanak-kanak. Selain pengubahsuaian fizikal, Signature turut bekerjasama dengan Children’s Protection Society (CPS atau Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak) dan Makchic bagi memperkenalkan pendidikan keselamatan serta aktiviti pemerkasaan emosi melalui pendekatan penceritaan kanak-kanak.

Acara tersebut turut dihadiri Duta Jenama Signature Amelia Henderson dan Duta Selebriti Signature Diana Danielle yang meluangkan masa berinteraksi bersama kanak-kanak Rumah Hope bagi menyampaikan mesej keriangan, kasih sayang dan kesejahteraan komuniti.

Sepanjang beberapa minggu lalu, Signature menyumbang pelbagai kelengkapan kediaman termasuk tilam, cadar, tuala, langsir, perkakas elektrik dan perabot bagi meningkatkan keselesaan, keselamatan, privasi serta kualiti kehidupan harian 50 penghuni Rumah Hope.

LAU semasa ucapan alu-aluan di Rumah Hope.

“Penambahbaikan meliputi bilik tidur dan ruang bersama itu berjaya mewujudkan suasana yang tenang, selamat, rapi dan lebih teratur.

“Kami memilih Rumah Hope kerana tersentuh oleh kekuatan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak, serta dedikasi para penjaga di sini. Rumah Hope telah sekian lama menjadi tempat perlindungan yang memberikan kasih sayang kepada kanak-kanak dari latar belakang yang kurang bernasib baik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Signature, Lau Kock Sang.

Lau berkata lawatan awal mendapati rumah yang dijaga dengan teliti itu menunjukkan tanda-tanda kehausan dan kerosakan, sekali gus menjadi panduan kepada Signature untuk mereka bentuk penambahbaikan yang mampu memberi impak jangka panjang yang lebih bermakna.

“Kami melihat ruang untuk menghiasi semula bilik-bilik bagi memberikan lebih privasi dan keselesaan kepada penghuni Rumah Hope, agar mereka boleh beristirahat dengan lebih baik dalam menjalani rutin harian mereka. Kualiti rehat yang lebih baik dalam ruang yang lebih bersusun atur dan kemas mampu menyokong semangat keyakinan dan kesejahteraan kanak-kanak,” katanya.

Pengetua Rumah Hope Edwin Roch merakamkan penghargaan terhadap usaha Signature dan menyifatkan sumbangan itu memberi impak jelas dari segi keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan kanak-kanak, selaras dengan misi Rumah Hope untuk membentuk insan muda yang berdaya tahan.

Transformasi fizikal berkenaan turut disokong rakan komuniti Signature yang menyumbangkan pelbagai hadiah, selain sumbangan ikhlas daripada syarikat pengacaraan yang membantu mewujudkan suasana ceria dan bermakna untuk para hadirin. Usaha kolektif itu mencerminkan komitmen bersama dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti serta membentuk persekitaran yang memupuk perkembangan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Aktivasi Signature itu juga bersempena pengenalan identiti baharu Signature Cares iaitu platform bersepadu yang selari dengan rangka kerja baharu Kumpulan Signature seperti diketengahkan dalam ucapan GCEO.

DARI kiri, Amelia Henderson (Duta Jenama Signature), Liyana Taff (Ketua Pegawai Eksekutif Makchic), Natasha Hashim (Pengurus Besar Jenama & Penglibatan Pelanggan, Signature International Berhad), Lau Kock Sang (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Signature Group), Edwin Roch (Pengetua Rumah Hope), Nawiza Ariff (Naib Pengerusi Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak Malaysia, Kuala Lumpur) dan Diana Danielle (Duta Selebriti Signature).

Di bawah Signature Cares, Kumpulan Signature berazam memberikan impak melalui empat tunggak iaitu memupuk amalan kepenggunaan berhemah melalui kitar semula dan guna semula, memperkasakan komuniti melalui penglibatan kakitangan, rakan niaga dan rangkaian pembekal, menyokong kesejahteraan jangka panjang melalui persekitaran yang selamat dan selesa untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik serta memperkasakan kerjasama lokal dengan jenama-jenama Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membangunkan rangkaian komuniti yang mampan.

“Signature Cares mengukuhkan keserasian antara janji jenama kami iaitu Transforming Spaces, Elevating Lives, Touching Hearts (Mentransformasikan Ruang, Meningkatkan Kehidupan, Menyentuh Jiwa) dengan cara kami menyumbang kepada komuniti,” kata Lau.

Beliau menegaskan hubungan Signature dengan Rumah Hope tidak berakhir dengan pengubahsuaian ini, sebaliknya Kumpulan Signature akan terus meneroka pelbagai inisiatif bermakna bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, sihat dan berdaya tahan untuk kanak-kanak di Rumah Hope.