KUALA LUMPUR, 1 Ogos 2024 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan tegas kepada Meta supaya tidak menjadi bacul dan perkakas kepada rejim zalim Zionis Israel.
Amaran Anwar itu susulan tindakan Meta yang sekali lagi memadam kandungan di laman sosial Facebook beliau, kali ini berkenaan ucapan takziah kepada pejuang Palestin, Ismail Haniyeh yang dibunuh yang dimuat naik semalam.
Tegas Anwar, adalah tidak masuk akal apabila hantaran menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan dianggap berbahaya.
“Meta sekali lagi bertindak biadab dan telah menghina perjuangan rakyat Palestin apabila menurunkan hantaran video serta ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan Almarhum Ismail Haniyeh.
“Peringatan tegas saya terhadap Meta – usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel!” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, Bahagian Media & Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri (PMO) turut mengecam tindakan Meta menurunkan hantaran gambar di Instagram yang memaparkan perjumpaan Anwar dengan pemimpin Hamas itu di Doha, Qatar pada Mei lalu.
Dalam kenyataan itu, bahagian terbabit memaklumkan, tindakan Meta ternyata memperlihatkan diskriminasi pemilik platform media sosial itu terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara terbabit.
Sehubungan itu, bahagian terbabit turut menuntut penjelasan berhubung perkara tersebut dan mendesak Meta memohon maaf.