Teknologi kesihatan mental perlu disertai empati, etika dan perlindungan data
UPSI menekankan kepentingan inovasi teknologi dalam kesihatan mental yang disokong pengawasan profesional, etika, privasi data dan literasi maklumat bagi memastikan pendekatan kekal berorientasikan manusia.
NORIHA (tengah) ketika merasmikan MINDNOVA 2026: Global Mental Health Symposium di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.
Oleh: BAZLI RAZAK
KUALA LUMPUR, 3 Oktpber 2026 – Inovasi teknologi dalam bidang kesihatan mental perlu disertai pengawasan profesional, kawalan etika serta perlindungan privasi data bagi memastikan kemajuan digital kekal berorientasikan manusia.
Ketua Pustakawan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Noriha Muhammad berkata perkembangan teknologi sememangnya membuka ruang lebih luas kepada akses maklumat dan perkhidmatan kaunseling, namun pada masa sama turut mewujudkan cabaran seperti buli siber, maklumat mengelirukan, tekanan perbandingan sosial dan keletihan digital.
Beliau berkata perkara itu amat relevan dalam usaha menangani peningkatan isu kesihatan mental, justeru pendekatan yang menggabungkan sains, teknologi dan hubungan kemanusiaan perlu diperkukuh secara bersama.
“Dalam penggunaan Kecerdasan Buatan (AI), inovasi mestilah disertai pengawasan profesional, kawalan etika dan perlindungan privasi data,” katanya ketika merasmikan MINDNOVA 2026: Global Mental Health Symposium bertemakan Innovating Mental Health: Bridging Science, Technology, and Human Connection di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, pada Khamis.

Noriha berkata berdasarkan laporan WHO pada September 2025, lebih satu bilion penduduk dunia hidup dengan gangguan kesihatan mental, manakala di Malaysia, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda kepada 4.6 peratus berbanding 2.3 peratus pada 2019.
Katanya, sebanyak 16.5 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 15 tahun turut mengalami masalah kesihatan mental, sekali gus menunjukkan keperluan usaha pencegahan dan intervensi dilaksanakan seawal mungkin.
Dalam pada itu, Noriha berkata UPSI terus memperkukuh komitmennya terhadap kesejahteraan mental menerusi pelbagai inisiatif termasuk Counselors on Wheels (C.O.W) yang sehingga 8 September lalu telah menjangkau 38 lokasi di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata inisiatif berkenaan menyediakan saringan serta psikopendidikan secara terus kepada masyarakat, manakala latihan Pertolongan Cemas Psikologi (PFA) pula memberi kemahiran kepada komuniti untuk mendengar dan memberikan bantuan awal secara berperikemanusiaan.
“UPSI turut memperkenalkan inovasi MyCounselor UPSI, iaitu platform digital bagi pengurusan temu janji dan rekod sesi kaunseling secara sistematik dengan kawalan kerahsiaan yang ketat,” katanya.

Noriha berkata perpustakaan juga mempunyai peranan penting dalam memperkukuh kesejahteraan digital melalui pemerkasaan literasi maklumat dalam kalangan warga kampus.
Katanya, warga universiti perlu dibimbing supaya mampu menilai kesahihan sumber maklumat, mengelakkan penyebaran kandungan tular yang mengelirukan serta tidak melabel individu secara sewenang-wenangnya.
“Sinergi antara Perpustakaan, Pusat Kaunseling, fakulti dan persatuan pelajar penting dalam membina budaya kampus yang prihatin,” katanya.
MINDNOVA 2026 dianjurkan oleh Pusat Kaunseling UPSI dengan menghimpunkan pengamal, pakar, penyelidik dan peserta bagi membincangkan perkembangan serta inovasi dalam bidang kesihatan mental, khususnya dalam mendepani perubahan era digital.
