Membina kesihatan emosi anak sejak kecil

Kanak-kanak perlu dibimbing untuk mengenali dan mengurus emosi, bukan dipaksa sentiasa kuat atau berhenti menangis. Sokongan, batas yang jelas dan teladan ibu bapa membantu membina kesejahteraan emosi mereka.

Feature Image (2)

“JANGAN menangis. Tak ada apa-apa pun.” “Adik kena kuat.” “Benda kecil macam ini pun nak menangis?” Ayat-ayat seperti ini mungkin kedengaran biasa dalam kehidupan seharian, terutama apabila ibu bapa berhadapan dengan anak yang sedang menangis, marah atau kecewa.

Niatnya mungkin untuk menenangkan anak, tetapi dari sudut psikologi, pengalaman seperti ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada proses anak belajar mengenali dan mengurus emosinya. Bagi orang dewasa, mainan yang rosak, kalah dalam permainan atau tidak mendapat sesuatu yang diingini mungkin kelihatan sebagai perkara kecil. Namun, bagi kanak-kanak, pengalaman tersebut boleh membawa emosi yang besar kerana keupayaan mereka untuk memahami dan mengawal emosi masih berkembang.

Kesihatan emosi kanak-kanak bukan bermaksud mereka perlu sentiasa gembira, tenang atau mampu mengawal perasaan sepanjang masa. Sebaliknya, perkembangan emosi yang sihat melibatkan keupayaan untuk mengenali apa yang dirasakan, memahami puncanya dan secara beransur-ansur belajar mengurus emosi tersebut dengan cara yang sesuai.

Proses ini tidak berlaku secara automatik. Kanak-kanak memerlukan bimbingan daripada orang dewasa, khususnya ibu bapa, untuk mempelajari kemahiran tersebut. Apabila anak menangis, marah atau takut, respons ibu bapa boleh menjadi satu bentuk pembelajaran emosi yang sangat bermakna.

Dalam keadaan seperti ini, ibu bapa boleh membantu dengan mengakui perasaan anak terlebih dahulu. Contohnya, “Adik kecewa sebab permainan itu rosak, ya?” atau “Ibu tahu adik marah sebab adik sangat mahukan benda itu.” Pengakuan seperti ini bukan bermaksud ibu bapa bersetuju dengan semua tingkah laku anak.

Sebaliknya, ia membantu anak membina kesedaran emosi, iaitu keupayaan mengenal pasti dan menamakan apa yang sedang dirasakan. Apabila kanak-kanak mempunyai kosa kata emosi yang lebih baik, mereka secara beransur-ansur dapat menyampaikan keperluan dan perasaan melalui kata-kata, bukannya hanya melalui tangisan, jeritan atau tingkah laku yang mencabar.

Dalam psikologi, kemampuan mengurus emosi sering dikaitkan dengan regulasi emosi. Bagi kanak-kanak, kemahiran ini masih berkembang dan mereka belum mempunyai kapasiti yang sama seperti orang dewasa untuk menenangkan diri ketika berhadapan emosi yang kuat. Oleh sebab itu, mereka memerlukan orang dewasa untuk membantu mereka bertenang sebelum mereka mampu melakukannya sendiri.

Ibu bapa boleh menggunakan suara yang tenang, berada dekat dengan anak dan memberikan masa untuk mereka kembali stabil. Daripada terus berkata, “Jangan marah”, lebih membantu jika ibu bapa berkata, “Ibu tahu adik sedang marah. Kita bertenang dahulu, kemudian kita bincang.” Pendekatan ini mengajar bahawa emosi boleh dirasai tanpa perlu diterjemahkan kepada tingkah laku yang menyakiti diri sendiri atau orang lain.

Namun begitu, menerima emosi tidak bermaksud membenarkan semua tingkah laku. Anak boleh berasa marah, tetapi mereka tidak boleh memukul. Anak boleh kecewa, tetapi mereka tidak boleh merosakkan barang. Anak boleh menangis, tetapi mereka masih perlu belajar menghormati orang lain.

Batas yang jelas tetap penting dalam perkembangan psikologi kanak-kanak kerana ia memberikan struktur dan rasa selamat. Apabila ibu bapa mampu menggabungkan penerimaan emosi dengan batas tingkah laku yang konsisten, anak belajar bahawa perasaan mereka diterima tetapi terdapat cara yang sesuai untuk meluahkannya.

Peranan ibu bapa juga penting kerana kanak-kanak banyak belajar melalui pemerhatian. Teori pembelajaran sosial menjelaskan bahawa tingkah laku boleh dipelajari melalui melihat dan meniru orang lain. Oleh itu, cara ibu bapa mengurus tekanan, konflik dan kemarahan boleh menjadi model kepada anak.

Jika anak sering melihat orang dewasa menjerit apabila tertekan, mereka mungkin menganggap jeritan sebagai cara biasa untuk meluahkan kemarahan. Sebaliknya, apabila ibu bapa menunjukkan bahawa mereka boleh berhenti seketika, menarik nafas, mengakui kesilapan dan berbincang dengan tenang, anak mendapat contoh bagaimana emosi boleh diuruskan secara lebih sihat.

Hubungan ibu bapa dan anak juga memainkan peranan besar dalam kesejahteraan emosi. Kanak-kanak memerlukan hubungan yang memberikan rasa selamat, diterima dan dihargai. Apabila anak merasakan bahawa ibu bapa boleh menjadi tempat untuk mereka kembali apabila takut, sedih atau keliru, mereka lebih berpeluang membina keyakinan untuk menghadapi cabaran.

Rasa selamat ini tidak semestinya memerlukan perkara besar. Ia boleh dibina melalui rutin harian seperti mendengar cerita anak, bertanya tentang pengalaman mereka, meluangkan masa tanpa gangguan telefon atau memeluk mereka apabila mereka memerlukan ketenangan.

Dalam kesibukan mengejar pencapaian akademik dan memenuhi tuntutan harian, kita mungkin lebih kerap bertanya, “Sudah siap kerja sekolah?” atau “Kenapa markah kamu rendah?” berbanding bertanya, “Bagaimana perasaan kamu hari ini?” Pencapaian tetap penting, tetapi perkembangan kanak-kanak tidak seharusnya diukur melalui kejayaan akademik semata-mata. Keupayaan memahami diri, membina hubungan yang sihat, mengurus kekecewaan dan mendapatkan bantuan apabila diperlukan juga merupakan sebahagian daripada perkembangan yang penting.

Ibu bapa juga tidak perlu menjadi sempurna. Ada masanya kita penat, hilang kesabaran atau tersilap memberikan respons. Dari sudut psikologi, apa yang penting bukan kesempurnaan tetapi usaha membina semula hubungan selepas berlaku konflik. Apabila ibu bapa berkata, “Tadi ibu marah dan cara ibu bercakap tidak baik. Ibu minta maaf,” anak belajar bahawa kesilapan boleh diperakui dan hubungan boleh diperbaiki.

Akhirnya, membesarkan anak yang sihat dari segi emosi bukan tentang membina anak yang tidak pernah menangis, takut, marah atau kecewa. Ia tentang membantu mereka memahami bahawa semua emosi mempunyai tempat, tetapi tidak semua tingkah laku boleh diterima. Anak tidak perlu sentiasa kuat.

Mereka perlu tahu bahawa apabila emosi terasa terlalu besar untuk mereka, ada orang dewasa yang sudi mendengar, membantu mereka bertenang dan membimbing mereka mencari jalan. Daripada situlah kekuatan emosi sebenar mula terbina.