Mengembalikan makna istito’ah

Seruan Istito’ah membawa pendekatan baharu terhadap sistem giliran haji dengan menekankan kemampuan dan kesiapsiagaan bakal haji, selain memastikan pengurusan kuota lebih cekap dan selaras dengan prinsip syariah.

Feature Image (6)

BAGI kebanyakan umat Islam, mengerjakan haji merupakan cita-cita yang disemai sejak kecil, dipupuk sepanjang hidup dan diterjemahkan melalui perancangan bertahun lamanya. Namun, dalam keadaan kuota haji yang terbatas, kos yang terus meningkat dan jumlah bakal haji berdaftar yang semakin bertambah, persoalan tentang siapa yang wajar didahulukan tidak lagi dapat ditentukan berdasarkan hasrat semata-mata.

Dalam Islam, kewajipan haji tidak hanya bersandarkan keinginan, tetapi juga kemampuan atau istito’ah. Prinsip ini mengingatkan bahawa haji bukan sekadar gagasan kerohanian tetapi suatu ibadah yang menuntut kesiapsiagaan dari segi kewangan, fizikal dan tanggungjawab terhadap keluarga.

Justeru, apabila sistem pengurusan haji menentukan siapa yang diberikan peluang untuk berangkat terlebih dahulu, persoalan yang wajar dikemukakan ialah sejauh mana sistem tersebut memaknakan prinsip istito’ah. Persoalan inilah yang perlu menjadi landasan dalam menilai reformasi sistem giliran haji yang diperkenalkan oleh Tabung Haji (TH) menerusi Seruan Istito’ah.

Sejak diumumkan, polemik seputar Seruan Istito’ah seringkali tertumpu pada syarat simpanan minimum RM15,000 untuk memperoleh kelayakan giliran haji secara automatik. Ada yang melihatnya sebagai pembaharuan yang diperlukan, manakala sebahagian yang lain bimbang syarat tersebut bakal menyukarkan golongan berpendapatan rendah menunaikan rukun Islam kelima.

Kedua-dua pandangan ini mempunyai asas yang wajar dihormati. Namun, jika perbahasan hanya berkisar pada angka RM15,000, kita sebenarnya sedang melihat reformasi ini daripada sudut yang terlalu sempit. Persoalan yang lebih mendasar ialah sama ada sistem giliran haji masih mencerminkan tahap kemampuan dan kesiapsiagaan bakal haji apabila tiba giliran mereka.

Apabila giliran tidak lagi menggambarkan kemampuan

Sistem pendaftaran haji yang diamalkan selama ini telah memainkan peranan penting dalam membudayakan amalan menabung. Dengan simpanan minimum RM1,300, seseorang boleh terus mendaftar dan memperoleh nombor giliran, sekali gus mendorong umat Islam memulakan persediaan haji lebih awal.

Namun, dinamika semasa menuntut kita menilai semula sistem yang pernah berjasa ini. Walaupun kos menunaikan haji kini mencecah RM33,300 seorang bagi musim 2027, seseorang masih boleh memperoleh giliran dengan simpanan RM1,300.

Jurang antara syarat pendaftaran dengan kos sebenar haji, ditambah dengan pertambahan jumlah bakal haji berdaftar, telah menyebabkan tempoh menunggu dilaporkan melebihi 150 tahun, jauh melangkaui jangka hayat manusia. Tanpa pembaharuan terhadap mekanisme sedia ada, tempoh tersebut tidak mustahil mencecah 200 tahun, justeru menzahirkan hakikat pesimis yang fardu haji bukan lagi urusan yang boleh digapai ketika hayat masih dikandung badan.

Dalam keadaan sedemikian, sistem yang sepatutnya menyusun keutamaan berdasarkan prinsip istito’ah akhirnya lebih mencerminkan hasrat daripada kesiapsiagaan. Nombor giliran menjadi lambang harapan, tetapi belum tentu menandakan kemampuan untuk berangkat apabila tawaran diterima.

Giliran harus mencerminkan kesiapsiagaan

Impak kecanggungan ini dapat dilihat melalui laporan TH bagi tahun 2025. Hampir separuh daripada bakal haji yang menerima tawaran dilaporkan terpaksa menolak atau menangguhkan keberangkatan ke tanah suci kerana simpanan yang tidak mencukupi. Dalam konteks kuota Malaysia sebanyak 31,600 jemaah, keadaan ini memperlihatkan jurang yang ketara antara pendaftaran awal dengan kesiapsiagaan sebenar.

Implikasinya melangkaui kegagalan seseorang untuk berangkat pada tahun berkenaan. Setiap penolakan mencetuskan proses pemilihan dan penawaran semula, sekali gus menambah beban operasi, meningkatkan kos pentadbiran dan memendekkan tempoh untuk mengisi kuota yang tersedia. Jika berlaku pada skala yang besar, keadaan ini menjejaskan kecekapan perancangan serta meningkatkan risiko kuota tidak dimanfaatkan secara optimum.

Justeru, persoalannya bukan sama ada pendaftaran haji perlu dipermudah atau diperketat, tetapi bagaimana memastikan mereka yang berada dalam senarai menunggu mempunyai laluan yang munasabah untuk menyahut panggilan haji apabila tiba giliran. Reformasi ini bukan bertujuan menafikan keutamaan mereka yang mendaftar lebih awal, sebaliknya memastikan keutamaan tersebut seiring dengan usaha berterusan untuk membina kemampuan.

Pembaharuan berasaskan bukti

Reformasi sistem giliran haji bukanlah keputusan yang dibuat secara mendadak. Keperluan untuk menilai semula syarat pendaftaran telah dibangkitkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji (RCI) setelah meneliti kecanggungan antara jumlah simpanan minimum, kos sebenar haji dan tempoh menunggu yang semakin panjang.

Dalam laporannya yang disiapkan pada Julai 2022, RCI berpandangan bahawa syarat simpanan RM1,300 tidak lagi selaras dengan realiti semasa. RCI mengesyorkan agar kelayakan pendaftaran ditentukan berdasarkan tahap simpanan yang lebih hampir dengan kos menunaikan haji. Langkah ini dijangka menghasilkan senarai menunggu yang lebih mencerminkan tahap persediaan bakal haji dan menyokong pengurusan kuota yang lebih cekap.

Syor tersebut menjadi antara asas kepada pengenalan Seruan Istito’ah. Melalui pendekatan baharu ini, pendeposit yang mempunyai simpanan minimum RM15,000 akan memperoleh kelayakan giliran secara automatik. Jumlah itu bersamaan kira-kira 45 peratus daripada kos haji semasa.

Kendatipun begitu, simpanan minimum RM15,000 bukanlah ukuran mutlak istito’ah tetapi penanda aras pentadbiran bagi menentukan kelayakan memasuki sistem giliran. Prinsip keutamaan bagi mereka yang mendaftar lebih awal kekal terpelihara. Pembaharuan ini hanya menilai semula syarat kemasukan ke dalam sistem agar giliran yang diberikan lebih mencerminkan kemampuan kewangan untuk menunaikan haji.

Istito’ah sebagai asas tadbir urus

Pada peringkat individu, istito’ah menuntut persediaan yang dibina melalui disiplin menyimpan, perancangan kewangan yang berhemah dan iltizam yang berterusan. Dengan mengambil kira persediaan tersebut, sistem giliran terkini menzahirkan kesinambungan semula operasi pengurusan haji dengan prinsip kemampuan yang mendasari kewajipannya.

Pada peringkat pentadbiran pula, prinsip yang sama menuntut agar kuota haji yang terbatas diuruskan secara adil, cekap dan beramanah. Setiap tempat yang diperuntukkan membawa tanggungjawab untuk memastikan peluang tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang bersedia apabila tiba giliran.

Justeru, Seruan Istito’ah bukan sekadar perubahan prosedur tetapi usaha menyelaraskan pengurusan kuota dengan prinsip syariah, tuntutan kecekapan dan realiti semasa.

Membina kemampuan, bukan menyekat peluang

Kebimbangan bahawa syarat baharu ini boleh menjejaskan golongan berpendapatan rendah tidak wajar diketepikan. Namun, keadilan tidak hanya bererti memudahkan seseorang memperoleh nombor giliran. Dalam kerangka maqasid syariah, keadilan juga menuntut agar sistem membantu bakal haji membina kemampuan untuk menyahut tawaran apabila tiba masanya.

Atas pertimbangan itu, TH memberikan tempoh sehingga 31 Disember 2028 kepada pendeposit yang mendaftar di bawah syarat terdahulu untuk mencapai simpanan minimum RM15,000 dan mengekalkan kelayakan giliran. Kemudahan Multi Tabung pula membolehkan tabungan khusus untuk haji diasingkan daripada simpanan bagi keperluan lain, sekali gus membantu pendeposit merancang kewangan secara lebih teratur.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan reformasi ini perlu terus mengambil kira perubahan kos sara hidup, kemampuan isi rumah dan tempoh yang munasabah untuk menabung. Penanda aras simpanan tidak seharusnya dilaksanakan secara kaku atau dibiarkan kekal tanpa penilaian berkala. Reformasi perlu teguh pada matlamatnya, tetapi anjal dan berperikemanusiaan dalam pelaksanaannya.

Mengembalikan makna istito’ah

Perbahasan mengenai Seruan Istito’ah tidak seharusnya berkisar pada angka RM15,000 semata-mata, tetapi menyentuh asas yang membentuk sistem giliran haji. Dalam keadaan kos yang meningkat, kuota yang terbatas dan permintaan yang kian bertambah, keutamaan berdasarkan tarikh pendaftaran perlu diseimbangkan dengan kemampuan untuk menunaikan haji apabila tiba giliran.

Jika kewajipan haji terikat pada istito’ah, maka sistem yang menguruskan perjalanan ke arah penyempurnaannya juga wajar berteraskan prinsip yang sama. Reformasi ini mungkin tidak menyelesaikan setiap persoalan dengan serta-merta, tetapi membuka jalan ke arah sistem yang lebih berpijak pada realiti, lebih cekap menguruskan kuota dan lebih selaras dengan hikmah syariah.

Akhir kalam, keadilan bukan sekadar memberikan tempat dalam barisan, tetapi memastikan bahawa apabila giliran tiba, setiap bakal haji benar-benar bersedia untuk menyahut panggilan-Nya. Labbaikallah bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi jawapan yang lahir daripada hasrat yang tulus, ikhtiar yang berterusan dan kemampuan yang dibina sepanjang perjalanan menuju Tanah Suci.