IAS UM menyemarak semangat merdeka dengan amalan hidup sihat, rapi
Institut Pengajian Termaju, Universiti Malaya menganjurkan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 yang menghimpunkan warga IAS dan pelajar antarabangsa menerusi aktiviti patriotik, kecergasan serta Gotong-Royong 5S.
KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2026 – Institut Pengajian Termaju (IAS), Universiti Malaya telah menganjurkan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 bagi menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh kebersamaan warga institut serta menghayati erti kemerdekaan dalam suasana yang ceria dan harmoni.
Program yang berlangsung dari pukul 8.15 pagi hingga 12.00 tengah hari itu menghimpunkan warga IAS bersama para pelajar antarabangsa menerusi pelbagai aktiviti menarik, termasuk ucapan alu-aluan oleh Dekan IAS, senamrobik, nyanyian lagu Kita Anak Malaysia, upacara simbolik kemerdekaan, iaitu sesi memotong kek dan pelepasan dua ekor burung tekukur, sesi fotografi beramai-ramai serta aktiviti Gotong-Royong 5S.
Sambutan ini membuka ruang kepada warga IAS untuk menzahirkan rasa cinta kepada negara melalui penyertaan dalam setiap aktiviti yang dianjurkan. Pengisian berbentuk kecergasan, nyanyian patriotik, upacara simbolik dan penjagaan kebersihan persekitaran turut mencerminkan semangat perpaduan, tanggungjawab bersama serta budaya kerja yang positif.
Pada masa yang sama, program ini memberikan pengalaman bermakna kepada kakitangan IAS dan para pelajar antarabangsa untuk bersama-sama mengenali, merasai serta menghayati semangat kemerdekaan di Malaysia. Penglibatan mereka turut mempererat hubungan antara warga tempatan dengan komuniti antarabangsa, sekali gus mengetengahkan IAS sebagai sebuah institut yang meraikan kepelbagaian, keharmonian dan semangat kebersamaan.
Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 di Institut Pengajian Termaju (IAS), Universiti Malaya diselaraskan oleh Puan Normuhaini Abdul Roni selaku Pengurus Program. Beliau mengetuai penyelarasan pengisian, persediaan tempat dan gerak kerja jawatankuasa bagi memastikan setiap aktiviti dapat dilaksanakan dengan teratur.

Program ini dirangka untuk menyemarakkan semangat patriotisme serta mempererat hubungan antara warga IAS dan pelajar antarabangsa. Gabungan aktiviti kecergasan, nyanyian lagu patriotik, upacara simbolik kemerdekaan dan gotong-royong 5S memberi ruang kepada semua peserta untuk menghayati nilai perpaduan, kebersamaan dan tanggungjawab terhadap persekitaran.
Kejayaan sambutan ini turut didukung oleh komitmen ahli jawatankuasa dan penyertaan warga IAS sepanjang program. Kerjasama tersebut menjadikan sambutan lebih tersusun, ceria dan bermakna, sekali gus memperkukuh semangat cintakan negara dalam komuniti IAS.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan IAS, Profesor Dr. Ramesh T. Subramaniam, yang menekankan kepentingan perpaduan sebagai asas kepada keharmonian dan kemajuan negara. Beliau menyeru seluruh warga IAS agar terus menghormati kepelbagaian budaya, agama dan latar belakang serta memperkukuh hubungan sesama warga institusi. Menurut beliau, semangat kemerdekaan bukan sekadar diraikan melalui sambutan tahunan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui kebersamaan, sikap saling menghormati dan komitmen dalam melaksanakan amanah kepada institusi serta negara.
Sesi senamrobik yang diketuai oleh Erna Achbar menyusul sebagai aktiviti kecergasan bersama yang mendapat sambutan meriah daripada staf IAS dan pelajar antarabangsa. Mereka mengambil bahagian dengan penuh semangat, sekali gus mewujudkan suasana yang bertenaga, mesra dan inklusif. Selain meningkatkan kecergasan fizikal, aktiviti tersebut turut menjadi medium untuk mengeratkan hubungan serta memupuk semangat kebersamaan antara staf IAS dengan pelajar antarabangsa sebelum program diteruskan dengan pengisian berunsur patriotik.
Semangat patriotisme diteruskan menerusi nyanyian dua buah lagu, iaitu Aku Anak Malaysia dan Aku Janji nyanyian Faizal Tahir. Semua warga IAS bersama pelajar antarabangsa menyanyikan lagu-lagu tersebut dengan penuh semangat sambil mengibarkan Jalur Gemilang serta memegang belon berwarna merah, putih, biru dan kuning yang melambangkan warna bendera kebangsaan. Suasana meriah itu membangkitkan rasa cinta akan negara, sekali gus menyerlahkan semangat patriotisme, perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan warga IAS.
Upacara simbolik kemerdekaan dimulakan dengan acara memotong kek bertemakan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026. Warga IAS berkumpul bagi menyaksikan acara tersebut sambil menyanyikan lagu Happy Birthday khas untuk Malaysia sebagai tanda meraikan semangat kemerdekaan dan kebersamaan.

Upacara simbolik diteruskan dengan Dekan melepaskan burung tekukur. Momen tersebut menjadi refleksi kepada kebebasan, keharmonian dan harapan untuk terus melangkah maju dalam semangat Malaysia yang teguh dalam memajukan Institut Pengajian Termaju sebagai sebuah PTj yang cemerlang di UM.
Laungan “Merdeka!” bergema dipimpin oleh Dekan IAS, Profesor Dr. Ramesh T. Subramaniam, dan disambut penuh semangat oleh warga IAS bersama para pelajar antarabangsa sebagai simbol patriotisme dan kebersamaan.
Program diteruskan dengan aktiviti Gotong-Royong 5S yang melibatkan kerja pembersihan, penyusunan dan pengemasan ruang pejabat IAS. Staf IAS bekerjasama membersihkan ruang pantri, menyapu kawasan kerja serta mengelap kabinet dan ruang penyimpanan.
Amalan 5S berasal daripada budaya pengurusan tempat kerja di Jepun, iaitu Seiri (Sisih), Seiton (Susun), Seiso (Sapu), Seiketsu (Seragam) dan Shitsuke (Sentiasa Amal). Pelaksanaan amalan ini membantu memastikan persekitaran kerja IAS sentiasa bersih, teratur, selamat dan kondusif, di samping memperkukuh rasa tanggungjawab bersama terhadap kemudahan institut.
Secara keseluruhannya, Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 berjaya menghimpunkan warga IAS dalam program yang menggabungkan elemen patriotisme, kecergasan, penghargaan, simbolik kemerdekaan dan tanggungjawab terhadap persekitaran kerja. Penganjuran ini memperlihatkan semangat kerjasama serta komitmen warga IAS dalam menyemarakkan Bulan Kebangsaan di peringkat institut.
