Imitasi adalah seni menuntut ilmu

Kemahiran imitasi sangat memainkan peranan penting dalam disiplin menuntut ilmu tanpa terhad kepada mana-mana bidang sekalipun.

Feature Image (2)

DALAM dunia ilmu dan pembelajaran, ada satu kemahiran yang sering dilupakan namun menjadi asas kepada segala bentuk kemajuan manusia kemahiran imitasi atau dalam bahasa mudahnya, ‘keupayaan meniru untuk belajar’.

Kemahiran imitasi sangat memainkan peranan penting dalam disiplin menuntut ilmu tanpa terhad kepada mana-mana bidang sekalipun. Dalam kehidupan seharian manusia, kita juga menerapkan amalan yang telah lazim dilakukan oleh orang-orang terdahulu. Bahkan dalam agama Islam, umat Islam sangat dianjurkan untuk mengikut Sunnah Nabi Muhammad SAW bagi mencapai kejayaan dalam kehidupan. Begitu juga lanskap dalam ilmu yang berkaitan dengan bahasa dan bunyi.

Semua manusia tidak terlepas daripada melalui proses imitasi ini sama ada secara sedar mahu pun tidak. Contoh kemahiran imitasi yang paling asas ialah pemerhatian. Sejak kecil lagi, semua manusia belajar melalui pemerhatian dan peniruan. Anak-anak kecil juga lazimnya akan meniru atau mereplikasi cara dana gaya perbualan ibu bapa mereka. Namun begitu, imitasi dengan sedar tidak semudah proses imitasi tanpa sedar.

Hal ini adalah kerana proses imitasi tanpa sedar berlaku secara alami dan tidak berasaskan pengetahuan sedia ada, sebaliknya imitasi secara sedar perlu mengaplikasikan pengetahuan sedia ada dengan konteks semasa. Itulah yang membezakan antara kedua-dua ini iaitu proses (tanpa sedar) dan kemahiran (sedar).

Meniru sebagai proses pembelajaran semula jadi

Keupayaan meniru pasti merupakan salah satu faktor yang besar dalam usaha memperoleh penyebutan bunyi yang paling tepat dalam bahasa bahasa kedua atau bahasa asing. Menurut Profesor Brown dari Amerika Syarikat dalam kajiannya pada tahun 2008, pelajar yang baik lazimnya menyedari kemampuan dan keupayaan mereka dalam menguasai aspek penyebutan bunyi dengan cara mengajuk (meniru) suara yang dibunyikan oleh penutur natif bagi bahasa sasaran tersebut. Kemampuan pelajar untuk meniru penyebutan bunyi seperti seolah-olah sebutan jati juga merupakan salah satu aspek terpenting dalam kemampuan penggunaan bahasa yang dapat dikuasai dengan cara praktikal yang konsisten.

Bagaimanapun, proses imitasi bukanlah sekadar mekanikal, bahkan ia merupakan satu proses kognitif dan sosial yang kompleks serta menjadi asas kepada perkembangan intelektual dan profesionalisme seseorang. Dalam psikologi pembelajaran, konsep imitasi dikaitkan dengan teori social learning oleh Albert Bandura, yang menjelaskan bahawa manusia belajar bukan hanya melalui pengalaman sendiri, tetapi juga dengan memerhati dan meniru tingkah laku orang lain.

Daripada lensa agama Islam pula, konsep ini diangkat ke tahap yang lebih tinggi. Umat Islam bukan sekadar meniru, bahkan mencontohi akhlak, perbuatan dan tutur kata Rasulullah SAW. Keadaan ini jelas merupakan satu bentuk imitasi yang berasaskan kefahaman, keikhlasan dan niat yang suci.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka dia mencintaiku. Dan sesiapa yang mencintaiku, dia akan bersamaku di syurga.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Jelaslah di sini bahawa meniru dengan tujuan meneladani kebaikan bukanlah kelemahan atau keburukan, bahkan merupakan satu jalan tepat untuk menuju kesempurnaan akhlak dan ilmu.

Daripada imitasi kepada inovasi

Terdapat kajian yang dilakukan oleh pensyarah kanan di Jerman pada tahun 2019 mengenai kelebihan kemampuan meniru. Kajian itu mencadangkan model yang menggunakan Generative Adversarial Network (GAN) untuk meningkatkan ketepatan penyebutan bunyi dalam kalangan bukan penutur natif bahasa Inggeris.

Kajian mengenai latihan penyebutan berteraskan komputer mendapati bahawa semakin baik perbandingan antara suara pelajar dan penutur natif, semakin positif kesannya terhadap latihan penyebutan. Kaedah tersebut menekankan kepentingan persamaan suara pelajar dan guru untuk peningkatan kemahiran sebutan. Dalam maklum balas bagi aktiviti meniru diri sendiri (self-imitation), ciri-ciri dalam penyebutan bunyi natif diekstrak dan ditransplantasikan kepada sebutan pelajar.

Mendengarkan penyebutan yang dimanipulasi, lalu membolehkan pelajar memahami perbezaan antara sebutan mereka yang beraksen dan rakannya serta menghasilkan sebutan seperti bunyi penutur natif dengan meniru diri sendiri.

Intihanya, imitasi ialah langkah pertama dalam tangga ilmu. Kemahiran ini dapat memberi banyak manfaat kepada pelajar yang bijak menggunakan akal fikiran selari dengan arus pemodenan zaman kini. Kemahiran ini mengajar manusia mengenal corak, sistem dan disiplin. Tanpa imitasi, tiada permulaan. Namun, setelah memahami dan menguasai sesuatu ilmu, barulah seseorang layak melangkah ke tahap inovasi bagi menyumbang kepada pembaharuan metodologi ilmu tanpa menyeleweng daripada landasan asas.

Maka, meniru bukan kelemahan, tetapi seni menuntut ilmu yang menuntut kesungguhan, adab, dan kefahaman. Selagi peniruan itu berasaskan niat yang betul dan disertai ilmu, ia akan menjadi jalan menuju kecemerlangan dan keberkatan.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.