UM angkat isu kedaulatan makanan bersama murid sekolah agama
Satu program pendayaan komuniti Universiti Awam (UniMADANI) di bawah Kementerian Kewangan yang diselenggarakan oleh Pusat Jaringan Komuniti Universiti Malaya (UMCares).
Oleh: AHMAD FARHAN AHMAD FAUZI dan DR. MOHD ISTAJIB MOKHTAR
KUALA LUMPUR, 02 Disember 2025 – Universiti Malaya (UM) menerusi Kolej Kediaman Pertama (KK1) menganjurkan Bengkel Teori dan Amali Akuaponik #GreenDeen 2025 pada 22 dan 23 Oktober lalu, dengan matlamat memperkukuh kesedaran tentang isu kedaulatan makanan di kalangan pelajar sekolah agama.
Projek itu merupakan salah satu program pendayaan komuniti Universiti Awam (UniMADANI) di bawah Kementerian Kewangan yang diselenggarakan oleh Pusat Jaringan Komuniti Universiti Malaya (UMCares).
Program dua hari itu menghimpunkan 40 pelajar tingkatan satu dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam (INTERSABER) dan MRSM Ulul Albab Sungai Besar, bersama enam guru pembimbing yang terdiri dari Guru Pendidikan Islam, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan guru-guru Sains dan Matematik.

Turut serta dalam projek ini ialah pegawai penyelidik kanan dari MARDI iaitu Encik Johaary Abdul Hamid dan Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) Encik Yusaimi Md Yusof yang bertindak sebagai rakan strategik.
Kedaulatan makanan ialah konsep yang menegaskan hak rakyat, komuniti dan negara untuk menentukan sendiri sistem makanan dan pertanian mereka. Ia menolak dominasi korporat dan pasaran global yang mengawal pengeluaran serta pengedaran makanan.
Dalam erti kata lain, makanan bukan sekadar komoditi perdagangan, tetapi merupakan hak asasi manusia yang perlu dijamin oleh negara bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat.
Konsep ini mula diperkenalkan oleh gerakan petani antarabangsa La Via Campesina pada tahun 1996 sebagai reaksi terhadap globalisasi pertanian dan dasar perdagangan bebas yang sering meminggirkan petani kecil.
Antara prinsip utama kedaulatan makanan ialah keutamaan kepada pengeluaran tempatan, akses adil terhadap tanah, air dan benih, serta penghasilan makanan yang sihat dan lestari terhadap alam sekitar. Ia juga menekankan keadilan sosial dan gender serta perlindungan terhadap budaya makanan tradisional.
Berbeza dengan konsep keselamatan makanan (food security) yang hanya menekankan ketersediaan makanan, kedaulatan makanan memberi perhatian kepada siapa yang menghasilkan dan bagaimana makanan dihasilkan.

Dalam konteks Malaysia, pelaksanaan prinsip ini penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada import, memperkukuh ekonomi luar bandar, dan menjamin makanan halal serta berkhasiat kepada rakyat. Pendekatan ini selaras dengan agenda pembangunan lestari dan usaha memperkasakan petani tempatan sebagai tunjang keselamatan dan kemandirian negara.
Menurut Pengarah Projek, Ahmad Farhan Ahmad Fauzi, bengkel ini dirangka untuk mendidik pelajar mengenai sistem pertanian moden berasaskan akuaponik, sambil menghubungkannya dengan nilai Islam dan konsep keterjaminan makanan.
“Pelajar bukan sekadar belajar teknologi pertanian tetapi juga memahami bahawa menjaga sumber makanan adalah sebahagian daripada tanggungjawab agama,” jelasnya.
Pada hari pertama, peserta diberi penerangan oleh pegawai penyelidik MARDI mengenai konsep asas akuaponik iaitu sistem yang menggabungkan ternakan ikan dan tanaman dalam satu ekosistem lestari. Mereka turut didedahkan kepada potensi ekonomi dan kaitannya dengan Dasar Keterjaminan Makanan Negara.
Tidak sekadar teori, peserta juga berpeluang mengikuti sesi praktikal pada hari kedua di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi. Mereka dibimbing untuk memasang sendiri kit akuaponik asas, termasuk penyediaan tangki ikan, sistem pam air, serta media tanaman. Aktiviti ini mendapat sambutan hangat kerana murid dapat melihat sendiri bagaimana konsep yang dipelajari diaplikasikan dalam realiti.
Pada sebelah malam, Presiden GRASS Malaysia berkongsi pandangan tentang Islam dan kedaulatan makanan, menekankan kepentingan mengawal sumber asas seperti tanah, air dan benih, serta mengelakkan monopoli luar yang boleh menggugat keselamatan negara.

Peserta didedahkan bahawa konsep halalan thayyiban dan prinsip mengelakkan pembaziran adalah asas penting dalam pengurusan makanan menurut Islam.
Program ini berjaya meningkatkan minat pelajar terhadap bidang STEM melalui pendekatan teoritikal dan praktikal, selain menanam kesedaran mengenai isu global seperti perubahan iklim dan keterjaminan makanan. Guru pengiring pula memperoleh pengalaman baharu untuk mengintegrasikan akuaponik dalam pengajaran di sekolah.
Ketua Penyelidik, Dr. Mohd Istajib Mokhtar menegaskan bahawa usaha ini bertepatan dengan hasrat negara memperkukuh keterjaminan makanan melalui pendidikan.
“Projek #GreenDeen adalah sebuah model integrasi bagaimana STEM boleh digabungkan dengan nilai agama menerusi medium akuaponik untuk membina generasi muda yang berdaya saing, inovatif dan berakhlak lestari,” katanya.
Bengkel ini diharap dapat diperluas ke sekolah-sekolah lain di seluruh negara sebagai platform pendidikan integratif, sekali gus menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, kemandirian ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
