Apakah Ebola bakal mengancam kita?
Virus Ebola merebak melalui sentuhan langsung dengan darah dan cecair badan individu yang dijangkiti.

PADA 17 Mei 2026, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak Ebola di Congo dan Uganda sebagai Kecemasan Kesihatan Awam Kepentingan Antarabangsa (PHEIC).
Sehingga artikel ini ditulis, ratusan kes disyaki telah direkodkan dengan angka kematian melepasi 200 orang. Dunia sekali lagi diingatkan bahawa walaupun Ebola bukan penyakit baharu, ia masih mampu mencetuskan krisis kesihatan yang serius apabila berlaku dalam keadaan sistem kesihatan yang rapuh dan pengesanan yang lewat.
Bagi Malaysia, perkembangan ini tidak seharusnya mencetuskan panik. Namun, ia wajar mengundang perhatian yang serius. Dalam dunia yang saling terhubung melalui perjalanan antarabangsa, wabak di sebuah rantau yang jauh tetap membawa pengajaran penting kepada negara lain termasuk Malaysia.
Ebola pertama kali dikenal pasti pada tahun 1976 di Afrika Tengah. Sejak itu, beberapa wabak besar pernah berlaku, termasuk epidemik di Afrika Barat pada tahun 2014 yang mengorbankan lebih 11,000 nyawa. Wabak terkini pula melibatkan strain Bundibugyo ebolavirus, iaitu strain yang sehingga kini masih belum mempunyai vaksin yang diluluskan secara meluas.
Virus Ebola merebak melalui sentuhan langsung dengan darah dan cecair badan individu yang dijangkiti. Ia bukan penyakit bawaan udara seperti COVID-19. Namun, Ebola tetap digeruni kerana kadar kematiannya yang tinggi serta keupayaannya merebak dengan pantas apabila kes tidak dikesan awal.
Inilah yang sedang berlaku di wilayah Ituri di Congo. Wabak dipercayai bermula pada awal Mei tetapi hanya dilaporkan secara rasmi beberapa hari kemudian. Dalam tempoh singkat, jumlah kes meningkat dengan mendadak. Situasi ini menunjukkan betapa berbahayanya sesuatu wabak apabila ia berkembang dalam keadaan sistem kesihatan yang lemah.
Wilayah yang terjejas juga sedang berdepan konflik keselamatan dan perpindahan penduduk berskala besar. Ramai penduduk hidup dalam keadaan serba kekurangan dengan akses kesihatan yang terhad. Dalam suasana seperti ini, penyakit mudah tersebar kerana ramai pesakit tidak mendapatkan rawatan awal, manakala petugas kesihatan pula kekurangan peralatan perlindungan dan kemudahan asas.
Pengalaman lalu menunjukkan bahawa Ebola sering menjadi paling berbahaya apabila ia gagal dikenali pada peringkat awal. Individu yang dijangkiti mungkin hanya mengalami demam dan sakit badan pada permulaan, lalu meneruskan rutin harian seperti biasa. Ahli keluarga yang menjaga pesakit tanpa perlindungan juga boleh dijangkiti. Dalam sesetengah kes, pengurusan jenazah tanpa prosedur keselamatan turut menjadi faktor penyebaran.
Dalam konteks ini, pengisytiharan PHEIC oleh WHO perlu difahami dengan betul. Ia bukan bermaksud dunia sedang menuju pandemik seperti COVID-19. Sebaliknya, ia merupakan amaran bahawa wabak ini mempunyai potensi merentas sempadan dan memerlukan kerjasama antarabangsa untuk dikawal sebelum menjadi lebih besar.
WHO sendiri tidak mencadangkan penutupan sempadan antarabangsa. Risiko kepada negara di luar Afrika, termasuk Malaysia, masih dianggap rendah. Namun, rendah tidak bermaksud sifar.
Malaysia merupakan negara yang terbuka kepada pergerakan antarabangsa. Setiap tahun, rakyat Malaysia mengembara ke pelbagai negara Afrika atas urusan perniagaan, pendidikan, misi kemanusiaan dan pelancongan. Dalam masa yang sama, Malaysia juga menerima kehadiran pelawat dari seluruh dunia. Keadaan ini bermakna kemungkinan kes import sentiasa wujud walaupun kecil.
Atas sebab itu, kesiapsiagaan menjadi lebih penting daripada ketakutan.
Malaysia sebenarnya mempunyai pengalaman yang baik dalam mengurus ancaman penyakit berjangkit. Pandemik COVID-19 telah memperkukuh banyak aspek kesiapsiagaan negara termasuk kapasiti makmal, sistem pengawasan kesihatan awam dan koordinasi antara agensi. Namun, ancaman seperti Ebola tetap memerlukan latihan dan persediaan yang khusus.
Antara perkara paling penting ialah keupayaan petugas kesihatan mengenali gejala awal Ebola, khususnya di unit kecemasan dan klinik yang menerima pesakit antarabangsa. Pada peringkat awal, Ebola boleh kelihatan seperti penyakit biasa seperti influenza atau demam denggi. Tanpa sejarah perjalanan yang jelas dan tahap kewaspadaan yang tinggi, diagnosis awal boleh terlepas pandang.
Hospital-hospital rujukan juga perlu sentiasa bersedia dengan bilik isolasi, peralatan perlindungan diri dan protokol pengendalian pesakit berjangkit berisiko tinggi. Persediaan seperti ini bukan hanya penting untuk Ebola tetapi juga untuk menghadapi kemungkinan ancaman penyakit baharu pada masa hadapan.
Dalam masa yang sama, komunikasi awam perlu dikendalikan dengan berhati-hati. Ketakutan sering merebak lebih pantas daripada virus itu sendiri. Penggunaan istilah yang sensasi atau mengelirukan boleh menyebabkan panik yang tidak perlu. Rakyat perlu diberikan maklumat yang jelas tentang bagaimana Ebola merebak, siapa yang berisiko, dan apakah langkah yang perlu diambil sekiranya mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan terjejas.
Yang paling penting, masyarakat perlu memahami bahawa Ebola bukan COVID-19. Ia tidak merebak melalui udara dan tidak mudah tersebar dalam komuniti umum tanpa kontak rapat dengan pesakit yang dijangkiti. Dengan pengesanan awal, isolasi yang pantas dan prosedur kesihatan yang ketat, risiko penyebaran boleh dikawal dengan berkesan.
Wabak Ebola di Congo dan Uganda mungkin berlaku jauh dari Malaysia, tetapi ia tetap memberi peringatan bahawa dunia kesihatan awam hari ini saling berkait. Sesebuah negara tidak perlu menunggu ancaman tiba di depan pintu sebelum mula bersedia.
Persediaan yang tenang, berasaskan fakta dan disokong sistem kesihatan yang cekap sentiasa lebih berguna daripada panik. Itulah juga makna sebenar wabak Ebola kepada Malaysia.

